Categories
SELANGOR

Kesal isu keselamatan, kerosakan alam sekitar akibat pembinaan EKVE

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 1 DIS: Kerajaan Negeri kesal dan memandang serius isu keselamatan dan kerosakan alam sekitar yang berlaku berhampiran lokasi pembinaan projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) seperti dibangkitkan penduduk.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, pembinaan EKVE dipantau rapi Kerajaan Negeri berikutan beberapa kejadian berlaku sebelum ini selain mengadakan siri lawatan diketuai beliau.

“Jawatankuasa Pemantau Pelaksanaan Lebuhraya di Selangor yang diwujudkan tidak hanya bagi projek EKVE, bahkan untuk pembinaan projek lebuh raya lain bagi memastikan kerja tapak tidak berbahaya atau memberi ancaman kepada penduduk.

“Agensi penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), atau Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah diarahkan mengambil tindakan segera sekiranya mendapati sebarang unsur kecuaian atau ancaman terhadap kesejahteraan penduduk setempat,” katanya.

Zaidy berkata, LUAS telah mengeluarkan Notis Arahan dua kali kepada EKVE bagi pemuliharaan dan mitigasi kawalan pencemaran.

Manakala, katanya JAS mengarahkan Perintah Berhenti Kerja di bawah Seksyen 34AA, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 kepada EKVE mulai 24 Oktober lalu supaya EKVE menambah baik tindakan kawalan hakisan dan pemendapan bagi kerja tanah.

“Ia merangkumi pengurusan perangkap kelodak dan kolam pemendapan teratur, memastikan cerun yang dalam pembinaan tidak terdedah hakisan air hujan selain menyediakan longkang-longkang sementara yang berterusan untuk memintas air larian semasa hujan lebat.

“Kerajaan Negeri tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang aktiviti menjejaskan ketenteraman masyarakat dan akan meneruskan aktiviti-aktiviti pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan melalui LUAS, JAS dan MPKJ.

“Kami juga mendesak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang memantau pelaksanaan projek lebuh raya melalui Jawatankuasa Rundingan Teknikal Lebuhraya dapat memastikan pelaksanaan kerja pembinaan dipatuhi,” katanya dalam kenyataan.

Mengikut rekod terkini, selepas 10 November lalu, tidak berlaku kejadian banjir terbaharu sebelum JAS menarik balik notis pemberhentian kerja pada 29 November lalu ekoran berpuas hati dengan pelan tindakan dan langkah-langkah penambahbaikan di tapak.

JPS Hulu Langat turut memaklumkan, jumlah hujan turun setakat 27 November lalu, adalah sebanyak 2,407mm (93 peratus) dari ramalan 2,600mm di mana baki hujan sebanyak 193mm dijangka sehingga akhir tahun manakala jumlah hujan di Sungai Semungkis pada 14 November lalu adalah 67.5mm.