Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tanah mendap, Jalan Klang – Banting berhampiran Johan Setia ditutup

SHAH ALAM, 20 JULAI: Jalan Klang-Banting berhampiran Johan Setia ditutup ekoran kejadian tanah mendap dipercayai akibat kerja-kerja menanam cerucuk bagi pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisoner Shamsul Amar Ramli berkata mendapan itu dikesan berlaku kira-kira 3 petang di persimpangan lampu isyarat Kampung Johan Setia menghala ke Banting. Pada awal kejadian, polis membuka lorong kontra bagi kegunaan kenderaan yang menghala ke arah Banting.

“Bagaimanapun selepas beberapa jam, mendapan turut dikesan berlaku di laluan kontra berkenaan dan kini lorong bagi kedua-dua arah ditutup sepenuhnya.

“Pengguna bagi laluan tersebut dilencongkan ke arah Jalan Bayu Emas dan ke Lebuhraya Shah Alam atas faktor keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, insiden itu juga menjejaskan laluan utama dari arah Klang ke Banting.

Tambah Shamsul Amar, Jabatan Kerja Raya dan MRCB George Kent (MRCBGK) selaku kontraktor projek berkenaan sedang menyiasat kejadian itu dan pengguna laluan berkenaan diminta mematuhi arahan polis demi kelancaran lalu lintas.

Sementara itu, MRCBGK dalam kenyataan memaklumkan arahan berhenti kerja (SWO) telah dikeluarkan kepada kontraktor pakej kerja (WPC), SN Akmida Sdn Bhd yang melakukan aktiviti pengorekan.

“Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dimaklumkan dengan segera. Tiada laporan kemalangan jiwa dan kawasan yang terjejas telah ditutup,” menurut kenyataan itu.

MRCBGK menambah, bagi melindungi keselamatan awam, WPC telah memberi taklimat kepada penduduk Kampung Johan Setia yang tinggal berhampiran kawasan itu dan melaksanakan segera Pelan Pengurusan Trafik (TMP) untuk menutup jalan terjejas dan melencongkan lalu lintas sehingga diberitahu kelak.

“Kami masih menyiasat punca sebenar kejadian ini dan ingin memohon maaf kepada orang ramai atas kesulitan yang timbul buat masa ini,” menurut MRCBGK.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Projek LRT3 dijangka siap sepenuhnya Februari 2024

SHAH ALAM, 19 JULAI: Projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dijangka siap sepenuhnya pada 28 Februari 2024, kata Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Katanya, projek dengan jajaran sepanjang 37.8 kilometer itu, menghubungkan penumpang dari koridor barat Lembah Klang dan pusat bandar raya Kuala Lumpur, telah mencapai 33.12 peratus keseluruhan projek setakat 30 Jun lalu.

Beliau berkata, projek LRT3 bakal dimanfaatkan lebih dua juta penduduk di kawasan berkenaan, dan akan mengendalikan kira-kira 67,000 penumpang sehari pada peringkat permulaan, sebelum sistem rel urban ‘Greater Klang Valley’ siap sepenuhnya nanti.

“Selain mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di Lebuhraya Persekutuan Kuala Lumpur–Klang sekarang, penyambungan jajaran LRT3, yang berintegrasi dengan laluan LRT Kelana Jaya di Stesen Glenmarie, turut menjadi sandaran sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi,” katanya di Majlis Pelancaran U-Girder Projek LRT3 dan Majlis Makan Malam Pengerusi Prasarana bersama media, di sini, malam tadi.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Muhammad Nizam Alias dan Pengerusi MRCB George Kent Sdn Bhd Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim.

Tajuddin berkata, projek LRT3 ini buat pertama kali menggunakan blok ‘U-trough girder’ iaitu, komponen pembinaan akan diprabina terlebih dahulu, di sebuah fasiliti di Bandar Saujana Putra sebelum dibawa ke tapak pelancaran.

Jelasnya, kaedah pembinaan ini dipilih kerana kos yang lebih efisien, tempoh kerja pembinaan yang lebih cepat, selain improvisasi terhadap impak visual.

“Secara keseluruhan, projek ini akan menggunakan sebanyak 2,060 unit ‘U-trough girder’ bagi melengkapkan jajaran berkenaan. Setakat ini, 158 unit sudah dibina dengan 24 unit telah dilancarkan dan dipasang,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Guan Eng: Kerajaan akan biaya projek LRT3

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang dijadual siap menjelang 28 Februari 2024, akan menerima sokongan kerajaan dalam bentuk pembiayaan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, sebahagian besar pembiayaan projek dengan kosnya telah dikurangkan kepada RM16.63 bilion berbanding RM31.65 bilion sebelum ini, akan disalurkan Kementerian Kewangan berikutan kedudukan Prasarana Malaysia Bhd sebagai entiti milik kerajaan.

“Kita akan membiayai projek itu menerusi pinjaman serta jaminan kerajaan. Oleh itu, kontraktor terbabit boleh mendapat jaminan kerajaan dari segi pembayaran apabila mereka menyertai projek berkenaan,” katanya, lapor BERNAMA.

Lim berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian novasi antara Prasarana, MRCB George Kent Sdn Bhd (MRCBGK) dan sembilan Kontraktor Pakej Kerja (WPC).

Beliau bagaimanapun enggan mengulas kerangka kewangan berkaitan yang boleh memberi kesan terhadap harga akhir projek tersebut.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan kerajaan jika wujud keperluan untuk mendapatkan dana itu.

Malah, katanya, kerajaan juga akan memberi nasihat mengenai instrumen kewangan yang bersesuaian.

Dalam pada itu, kontrak novasi yang ditandatangani hari ini menyaksikan sembilan WPC beralih kepada model Kontrak Harga Tetap daripada skim Rakan Pelaksana Projek yang mana risiko berkaitan projek itu akan ditanggung oleh syarikat terbabit.

“Susulan pemeteraian kontrak itu hari ini, kita boleh menjangkakan bahawa projek itu akan berjalan dengan lancar. Projek itu memang sedang dijalankan sekarang namun pada kadar lebih perlahan,” katanya.

Projek LRT3 yang menghubungkan Petaling Jaya and Klang merangkumi pembinaan 20 stesen manakala lima stesen lain akan dibangunkan pada masa depan.

Selain itu, Lim turut diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membayangkan pengumuman mengenai tol lebuh raya.

Lim bagaimanapun enggan mengulas perkara itu sehingga tiba masa yang sesuai.

“Ini adalah sebahagian daripada manifesto. Kita mahu kotakan janji, namun biarlah tunggu pengumuman mengenainya,” katanya.