Categories
GLOBAL

PRU Thailand: Proses pemilihan semula lancar

BANGKOK, 22 APRIL: Proses pemilihan semula di enam stesen mengundi di lima wilayah Thailand semalam berjalan lancar, namun peratus yang keluar mengundi berada di bawah paras 50 peratus, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) Thailand.

Pesuruhjaya Pilihan Raya Lertwiroj Kowattana berkata pemilihan baru diadakan di enam stesen mengundi semalam- dua di wilayah Lampang, dan masing-masing satu di wilayah Phitsanulok, Yasothon, Bangkok serta Phetchabun, dan jumlah pengundi di setiap stesen adalah antara 400 dan 1,400 orang.

Beliau berkata proses mengundi di semua stesen mengundi yang dibuka dari pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang (waktu tempatan) itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang aduan dari mana-mana pihak.

“Peratus yang keluar mengundi adalah sekitar 40 peratus. Jumlah pengundi yang kecil memang mudah difahami, kerana ia diadakan ketika tempoh cuti yang panjang (cuti Festival Songkran).

Tambahan pula, memang biasanya pemilihan semula sering mencatatkan jumlah pengundi yang kecil yang keluar mengundi,” katanya kepada media semalam.

Pada 4 April, EC mengarahkan supaya diadakan pemilihan semula di enam stesen mengundi dan pengiraan semula jumlah undi di dua stesen susulan angka yang tidak konsisten pada jumlah undi serta daftar pemilih di stesen mengundi berkenaan.

Khamis lalu, EC turut mengarahkan satu lagi pemilihan semula di stesen mengundi di wilayah selatan Chumphon, serta satu pengiraan semula jumlah undi di kawasan pilihanraya Nakhon Pathom di Wilayah Tengah Thailand.

Pilihan Raya Umum Thailand diadakan pada 24 Mac lalu, namun keputusan rasmi pilihan raya itu masih dinantikan kerana EC dijangka akan membuat pengumumannya pada 9 Mei.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

PRU Thailand: Tentera kekal berkecuali

BANGKOK, 3 APRIL: Angkatan Tentera Thailand akan kekal berkecuali dan bebas daripada politik selepas keputusan Pilihan Raya Umum pada 24 Mac diketahui.

Panglima Angkatan Tentera Thailand Apirat Kongsompong berkata angkatan tentera akan sentiasa bersama rakyat untuk melindungi negara dan monarki.

“Tentera Diraja Thailand adalah profesional … Kita tidak akan membenarkan rakyat memerangi perbezaan mereka di jalanan,” katanya kepada anggota media asing di Markas Tentera Thailand di sini semalam.

Apirat menggesa rakyat Thailand untuk menerima dan menghormati keputusan pilihan raya yang dijangka diketahui pada 9 Mei.

“Ada yang menang dan ada yang kalah dalam mana-mana pilihan raya. Oleh itu, kita mesti menghormati keputusan muktamad. Buat masa ini, kita tunggu sahaja.

“Kita tidak seharusnya membiarkan sesetengah pihak menimbulkan konflik dan memecahbelahkan perpaduan rakyat Thailand, ” katanya sambil menambah bahawa parti-parti politik perlu menyelesaikan perbalahan mereka menerusi perlembagaan negara.

Apirat menggesa semua ahli politik untuk menghormati pemerintahan demokrasi negara itu dengan Raja sebagai ketua negara.

Selepas pilihan raya yang ditunggu-tunggu sejak rampasan kuasa tentera 2014 pada 24 Mac, parti Palang Pracharath, pro junta yang menyokong Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan-o-cha dan “Barisan Demokratik”, diketuai oleh Pheu Thai, parti yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra mendakwa mencapai kemenangan. Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengesahkan keputusan muktamad pada 9 Mei.

Apirat yang merupakan salah seorang daripada 250 anggota senat bersama 500 anggota parlimen yasng akan mengundi bagi pemilihan perdana menteri seterusnya berkata, “Saya akan memberi undi kepada ahli politik yang jujur yang boleh mentadbir negara dengan cara yang baik”.

“Saya sudah pun mempunyai calon yang terbaik. Mungkin bukan seorang tetapi dua atau tiga orang, semuanya bergantung kepada keputusan pada 9 Mei. Saya akan memilih yang terbaik, ” katanya.

Apirat merujuk kepada kenyataan Raja Maha Vajiralongkorn menjelang pilihan raya yang mengimbas kembali komen yang dibuat oleh ayahanda baginda tentang perlunya meletakkan “orang yang beramanah memegang tampuk kuasa dan menghalang anasir-anasir yang tidak diingini daripada mencetuskan kekacauan”

Berdasarkan keputusan tidak rasmi Syuruhanjaya Pilihan Raya bagi 350 kerusi, Pheu Thai memenangi 137 kerusi, Palang Pracharath (97), Parti Bhumjaithai (39), Demokrat (33) dan Future Forward (30).

Mengenai undi popular, Parti Palang Pracharath yang pro-junta memperoleh 8.4 juta undi daripada 350 kawasan pilihan raya di negara itu manakala Pheu Thai 7,920,630 undi, diikuti oleh Future Forward (6,265,950 undi), Demokrat (3,947,726 undi) dan Bhumjaithai (3,732,883 undi). -BERNAMA

Categories
GLOBAL

PRU Thailand Pheu Thai dijangka mulakan rundingan dengan ‘parti pro-demokrasi’

BANGKOK, 26 MAC: Parti Pheu Thai dijangka memulakan rundingan dengan mana-mana ‘parti pro-demokrasi’ bagi membentuk kerajaan gabungan di Thailand.

Calon Perdana Menteri Pheu Thai, Sudarat Keyuraphan berkata, parti itu berpegang kepada prinsipnya untuk menjalin kerjasama hanya dengan parti yang menentang pemerintahan tentera di Thailand.

“Parti dengan jumlah kerusi tertinggi harus membentuk kerajaan gabungan kerana kami mempunyai konsensus daripada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin malam.

Parti Pheu Thai, yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, kini mendahului dengan 137 daripada sejumlah 350 kerusi kawasan dalam pilihan raya umum Thailand yang berlangsung pada Ahad.

Parti Palang Pracharat yang pro-tentera berada di kedudukan kedua dengan 97 kerusi.

Sementara itu, pemimpin Parti Future Forward Thanathorn Juangroongruangkit berkata, Pheu Thai telah menemui pihaknya untuk membentuk kerajaan gabungan.

“Kami bersetuju atas prinsip bagi menghentikan pemerintahan tentera,” kata beliau.

Pengundian pada Ahad diadakan bagi memilih 500 anggota Dewan Rakyat dan 350 daripada mereka dipilih secara langsung melalui pilihan raya kawasan.

Sejumlah 150 lagi akan dipilih berdasarkan calon yang disenaraikan parti.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

PRU Thailand mungkin berlangsung November 2018 – PM

BANGKOK, 10 OKT: Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha berkata tarikh sebenar pilihan raya umum negara itu bakal diumumkan dalam Jun 2018 dan beliau meramalkan ia berlangsung pada November 2018.

Agensi Berita China XINHUA berkata menyentuh penarikan balik larangan berkaitan aktiviti oleh parti-parti politik, Prayut berkata beliau mempertimbang perkara itu dengan sewajarnya.

Prayut berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat kabinet di Rumah Kerajaan.

Thailand kali terakhir mengadakan pilihan raya umumnya pada 2011.

Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat – kedua-dua sekutu utama – telah menekan Prayut untuk mengadakan pemilihan ekoran sekatan ke atas kebebasan sivil yang dikenakan sejak pengambilalihannya.

Tahun lepas, tentera menolak satu perlembagaan baru yang dikatakan oleh para pengkritik akan meningkatkan daya ketenteraan dan mengehadkan pengaruh pegawai yang dipilih.

=EZY=