Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Usaha pulih ekonomi diteruskan dalam Belanjawan #Selangor2022

SHAH ALAM, 24 NOV: Usaha memulihkan ekonomi rakyat negeri ini akan diteruskan dalam Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentangkan Jumaat ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbelanjaan bernilai RM2.323 bilion melalui Belanjawan Selangor 2021 dan RM627.437 juta dalam dua siri Pakej Kita Selangor membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menurutnya, refleksi ekonomi ditonjolkan sepanjang tahun ini membuktikan kestabilan dan kecekalan Kerajaan Negeri berkhidmat demi rakyat.

“Di sebalik krisis kesihatan global, Belanjawan Selangor 2021 berjaya menyeimbangkan keperluan rakyat, komuniti perniagaan dan pembangunan ekonomi negeri.

“Menerusi lima strategi utama dikepalai agenda digitalisasi, Kerajaan Negeri telah meminimumkan kesan teruk pandemik yang terbukti dengan kutipan hasil mencecah RM2 bilion setakat ini,” tulisnya di Facebook.

Beliau berkata peruntukan disalurkan melalui dua Pakej Kita Selangor masing-masing pada 20 Januari dan 9 Jun lalu berjaya menampan dampak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Jelas Amirudin, Kerajaan Negeri juga memperkenalkan program Vaksin Selangor (Selvax) bagi meningkatkan kadar suntikan pelalian dalam kalangan rakyat Selangor.

“Strategi ini bukan sahaja mengurangkan beban hospital malah meningkatkan aktiviti ekonomi serta keyakinan pelabur,” katanya.

Pembentangan Belanjawan #Selangor2022 boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV (selangortv.my) dan menerusi media sosial https://www.facebook.com/MediaSelangor

Liputan berita majlis penting itu yang bermula jam 3 petang boleh diikuti melalui portal Selangorkini (selangorkini.my) dan tiga edisi lain, termasuk Mandarin (selangorkini.my/zh-hans/) serta Tamil (selangorkini.my/ta/).

Edisi Inggeris boleh dicapai melalui pautan http://selangorjournal.my 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor laksana pelbagai inisiatif, pulihkan ekonomi dan industri

Oleh Alang Bendahara

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Selangor kini rancak membina semula ekonomi negeri bagi mengekalkan kedudukan sebagai gedung ekonomi negara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor akan melaksanakan pelbagai inisiatif pasca wabak untuk memulihkan sektor ekonomi dan industri.

“Kerajaan Negeri sedang bersiap sedia untuk membina semula ekonomi dengan pelbagai inisiatif pemulihan jangka pendek dan panjang dengan mewujudkan langkah-langkah bantuan pandemik yang berkesan.

“Dalam bajet negeri 2022 yang akan saya bentangkan pada 26 November, beberapa inisiatif baharu akan diperkenalkan bagi memastikan kesinambungan pelan pemulihan ekonomi kita untuk negeri ini,” katanya dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang mewakili Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Amirudin berkata Selangor juga bertindak segera mengatur strategi dan fokus semasa dan pasca pandemik bagi memenuhi keperluan rakyat serta industri.

“Bagi memastikan ekonomi negeri dan seterusnya ekonomi negara kekal berdaya tahan dan bangkit daripada krisis kesihatan pada landasan yang kukuh.

“Walaupun Selangor berusaha untuk menyokong rakyat, industri dan perniagaan semasa krisis kesihatan, kami juga kekal komited memudahkan kejayaan pelabur dalam memastikan operasi mereka dapat bangkit dan berjalan lancar.

“Kekukuhan fokus ini membolehkan pelabur di Selangor terus berkembang maju di tengah-tengah pandemik Covid-19 dan terus menjadi faktor utama yang mendorong minat pelabur ke Malaysia khususnya ke Selangor,” katanya.

Menurut Amirudin kedudukan Selangor sebagai penggerak utama ekonomi Malaysia dan destinasi pilihan pelabur dalam dan luar negara menerusi sektor pembuatan dan perkhidmatan benar-benar teruji semasa penularan wabak.

Beliau mengakui pandemik Covid-19 menjadi ujian bagi negeri itu menjejaskan kehidupan, pekerjaan dan perniagaan di seluruh dunia dalam tempoh dua tahun lepas.

“Walaupun begitu, pada 2020, Selangor menerima RM38.7 bilion pelaburan langsung domestik dan asing di mana sektor pembuatan menyumbang RM18.4 bilion manakala selebihnya sektor perkhidmatan dan utama,” katanya.

Menurut Amirudin SIBS 2021, persidangan tahunan anjuran Kerajaan Negeri merupakan landasan utama membolehkan peniaga Asean dan antarabangsa untuk berhubung bagi mengetahui peluang yang ada di negeri ini.

Tambah beliau, acara itu penting di tengah-tengah persekitaran ekonomi yang sangat mencabar hari ini.

“Melalui pelbagai persidangan dan pameran, SIBS 2021 akan membentangkan peluang pertumbuhan yang terdapat di negeri ini terutamanya dalam lima kluster teras Selangor.

“Lima kluster teras ini termasuk rangkaian industri, daripada aeroangkasa hingga farmaseutikal, yang mempunyai potensi tertinggi untuk memacu pertumbuhan ekonomi bagi tempoh terdekat dan masa depan.

“Selain itu, kluster makanan dan minuman (F&B) adalah antara industri yang paling pesat berkembang, terutamanya pasaran halal, yang berpotensi untuk memacu ekonomi negeri dan negara dengan hebat,” katanya.

Dengan tema ‘Selangor Gerbang Ke Asean’, persidangan itu berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 18 hingga 21 November dalam format hibrid.

Persidangan edisi ke-5 sejak diperkenalkan pada 2016 itu menghimpunkan jenama global dan mengumpul pemain industri dari seluruh dunia.

Acara fizikal berkenaan menampilkan kira-kira 500 pempamer manakala bentuk mayanya boleh diakses melalui www.selangorbusinesshub.my melibatkan 800 reruai.

SIBS 2021 menampilkan ekspo khusus kepada empat sektor utama iaitu makanan dan minuman; produk dan perkhidmatan perubatan; penyelidikan dan pembangunan dan inovasi; dan taman perindustrian.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana Selangor Dato’ Teng Chang Khim, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Datuk Hasan Azhari Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital (Sidec) Selangor Yong Kai Ping.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Ng Suee Lim, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan Penasihat Undang-undang Negeri Dato’ Salim Soib @ Hamid.