Categories
BERITA UTAMA

Sisa minyak dibuang ke Sungai Liam punca pencemaran bau

SHAH ALAM, 20 JUL: Pembuangan bahan berasaskan minyak dilepaskan dari bengkel kenderaan dipercayai menjadi punca pencemaran bau sehingga menyebabkan gangguan bekalan air kepada lebih satu juta pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur sejak semalam.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, hasil siasatan mendapati terdapat kemasukan discaj tanpa kebenaran ke paip pembentungan awam.

Katanya, sebaik menerima aduan, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan siasatan bermula dengan pensampelan dari Sungai Selangor Fasa 1 hingga ke hilir Sungai Batang Kali.

“Hasil siasatan, bau terbabit dikesan di Sungai Batang Kali dan Sungai Liam. Rentetan itu, sebanyak enam beg activated carbon (AC) diletakkan di aliran punca di kawasan Sungai Liam sebagai langkah kawalan.

“Pihak LUAS mendapati terdapat lapisan minyak hitam di kebuk masuk Loji Rawatan Kumbahan Serantau, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) Batang Kali. Bau yang sama dikesan di kawasan muka sauk loji. Rentetan itu, kebuk masuk loji telah ditutup pada jam 9 pagi tadi.

“Disyaki terdapat kemasukan discaj tanpa kebenaran ke paip pembentungan awam yang berkemungkinan dari bengkel kenderaan di kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Loy Sian berkata, laporan polis dibuat di Balai Polis Bestari Jaya berhubung pencemaran yang berlaku dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti premis berkaitan.

Katanya, IWK juga akan menjalankan kerja-kerja penyedutan keluar lapisan minyak sebelum loji IWK beroperasi seperti biasa.

“Pemantauan statik pihak LUAS dan pengurusan Air Selangor akan dijalankan dalam memastikan tiada kesan bau di Sungai Liam.

“Sehingga kini, LUAS bersama pihak yang terlibat bekerjasama bagi menangani isu ini dengan kadar segera,” katanya.

Semalam, LUAS menerima aduan mengenai pencemaran bau di Sungai Selangor sehingga mengakibatkan LRA SSP1, SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang dihentikan operasinya.

Susulan itu, hampir 1.2 juta akaun pengguna di wilayah Petaling, Klang, Shah Alam,Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas serta mengalami gangguan bekalan air.

LUAS mengaktifkan operasi pengepaman air kolam di Bestari Jaya (OPAK) sebagai sumber alternatif.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kilang proses minyak sawit punca pencemaran bau di Sungai Semenyih

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 27 JUN: Pencemaran bau dekat Sungai Semenyih semalam dikenal pasti berpunca daripada sebuah kilang memproses minyak sawit di kawasan berdekatan, kata Hee Loy Sian.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna berkata, kerajaan telah mengarahkan kilang berkenaan menghentikan operasi dan pelepasan bagi membendung pencemaran menjadi lebih teruk.

“Langkah pembendungan menggunakan Activated Carbon (AC) dilakukan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pensempelan dijalankan di lokasi yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media.

Pada masa sama, Loy Sian berkata, pihaknya juga sedang meneliti tindakan yang boleh diambil berdasarkan Enakmen LUAS 1999 terhadap pelaku seperti perintah di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999.

Antara lokasi yang ditetapkan di antara titik pelepasan kilang berkenaan sehingga ke Sg Rinching yang sejauh 450 meter dimana ia mengalir seterusnya ke Sg Semenyih.

Sehingga jam 6 pagi tadi, kesan bau telah menurun sehingga 0 ton dan pihak Loji Rawatan Air (LRA) Sg Semenyih telah beroperasi semula secara berperingkat.