Categories
NASIONAL SELANGOR

Siasat Urus Niaga Tanah Ketua Wanita Umno Selangor

faekah husin (2)

SHAH ALAM, 31 DIS : Kerajaan Negeri Selangor akan menyiasat dakwaan penjualan tanah lebih 200 ekar yang dimiliki Awan Megah Sdn Bhd bernilai RM130 juta kepada Bakti Wira Development Sdn Bhd yang digazetkan untuk kem tentera.

Menurut Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memandang serius dakwaan laporan berkenaan yang didedahkan oleh Deepak Jaikishan baru-baru ini.

“Kerajaan Selangor sangat hairan bagaimana tanah yang telah digazetkan untuk kem tentera boleh diurusniaga secara komersil melainkan dengan arahan dan campurtangan pihak yang benar-benar berkuasa,” kata Faekah dalam kenyataan medianya.

Jelasnya, Abdul Khalid yang kini berada di luar negara telah mengarahkan Pengarah Tanah dan Galian Selangor untuk memantau sebarang bentuk transaksi yang melibatkan hartanah tersebut.

Ujarnya, semakan awal yang dilakukan, tanah-tanah di Bukit Raja tersebut diberimilik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan melalui proses pengambilan tanah pada tahun 1980an bertujuan sebagai Tapak Kem 9 Briged.

“Kerajaan Selangor juga akan menyiasat bagaimana tanah tersebut dikatakan telah diberikan kepada syarikat Awan Megah Sdn Bhd yang mana pengarahnya adalah Ketua Wanita Umno Selangor, Senator Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah,” katanya.

Tambah Faekah, kerajaan negeri juga akan meneliti samada benar telah berlaku proses jual beli tanah tersebut kepada Raja Ropiah pada harga RM7 kaki persegi atau RM72 juta.

Di mana akhirnya Raja Ropiah juga didakwa menjual sebahagian daripada tanah di Bukit Raja itu kepada syarikat lain dengan harga RM16 kaki persegi bagi mendapat untung atas angin.

“Kita akan melihat semula dokumen-dokumen yang berkaitan.

“Sekiranya kita dapati berlaku perlanggaran prosedur dan urusniaga yang menyalahi peraturan sebelum 2008,

“kita tidak akan teragak-agak untuk menghentikan sebarang urusniaga yang melibatkan tanah tersebut sama ada urusan pindah milik atau penjualan yang sedang dirancang,” tegas Faekah.

Katanya, semakan juga akan dilakukan terhadap semua permohonan pembangunan yang bercanggah dengan matlamat pengambilan tanah tersebut yang dilakukan seawal tahun 1980an.

Kerajaan negeri berpandangan bahawa semua urusniaga ini perlu dipandang serius kerana melibatkan dana awam yang datangnya dari wang pencen anggota tentera.

“Kerajaan Selangor tidak akan membenarkan niat Umno untuk menyalahgunakan dana awam ini bagi menyelamatkan pemimpin-pemimpin mereka yang menyalahguna kuasa demi kepentingan politik dan peribadi.

“Nampaknya Umno tidak serik dengan aib yang mereka hadapi setelah kehilangan dana awam RM250 juta menerusi projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang melibatkan pemimpin tertinggi mereka,” kata Faekah.

Ujarnya, Raja Ropiah cuba menonjolkan watak seorang pemimpin yang membela hak rakyat dengan sering hadir setiap kali ibu tunggal mengadakan perhimpunan menuntut hak dari kerajaan Selangor setelah dilantik sebagai Senator.

“Kini wujud pula pengkhianatan yang melibatkan bukan sahaja dana awam tetapi hartanah yang dikhususkan untuk Angkatan Tentera, juga oleh pimpinan kanan dan pemimpin wanita Umno Selangor,” katanya.

Categories
NASIONAL

Saifuddin: Cadangan SPRM Tidak Menambahbaik

SHAH ALAM 02 JUN : Pengumuman terbaru cadangan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPRM) yang mahukan ahli keluarga menteri, timbalan menteri dan anggota pentadbiran perlu mengisytihar pinjaman kepada kabinet dan enam cadangan lain tidak akan menambahbaik lagi imej dan reputasi serta kewibawaan SPRM di mata rakyat.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata cadangan itu tidak akan membuatkan rakyat yakin dengan SPRM kerana rakyat di negara ini mahukan SPRM berani mengambil tindakan secara terpilih.

“Keyakinan rakyat hanya akan meningkat terhadap badan itu sekiranya SPRM lebih berani mengambil tindakan ke atas jerung besar bukannya ikan bilis.

“Mengapa SPRM tidak memberi sebarang komen berkenaan isu skandal rasuah pembelian kapal selam Scorpene?. Sehingga memaksa rakyat Malaysia melalui Suaram membuat laporan kepada Kerajaan Perancis itu pun selepas dua tahun,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, cadangan terbaru itu dilihat merupakan hanya merangkumi hal aspek prosedur sahaja.

Beliau berkata ini membuktikan SPRM tidak berani mengambil tindakan terhadap jerung besar malah hanya pandai bercakap tentang hal-hal berkenaan prosedur sedangkan isu pokok juga tidak diselesaikan.

“Banyak kes besar yang sepatutnya SPRM berikan tumpuan demi membanteras rasuah dan mengembalikan kenyakinan rakyat.

“Tetapi SPRM tidak berbuat demikian sebaliknya tampil mengemukakan saranan atau cadangan yang sebenarnya tidak melibatkan isu pokok,” katanya.

Hal itu juga katanya, membuktikan SPRM hanya mementingkan kroni-kroni Umno-BN kerana mahu melindungi mereka.

Semalam, SPRM mengesyorkan tujuh pendekatan bagi mengelak penyelewengan dan salah laku susulan projek kontroversi Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

SPRM turut mengisytiharkan Ketua Wanita Umno, Datuk Shahrizat Abdul Jalil bersih daripada tuduhan salah laku rasuah melibatkan projek NFC.

Tujuh cadangan itu merangkumi peruntukan baru iaitu mewajibkan agar ahli keluarga menteri dan timbalan menteri mengisytiharkan status mereka sekiranya terdapat mana-mana ahli keluarga anggota pentadbiran memohon projek kerajaan.

Sebelum ini SPRM juga membuat saranan supaya semua jamaah kabinet serta keluarga mereka mengistiharkan harta masing-masing. Namun saranan tersebut tidak dilaksana disebabkan beberapa menteri kabinet menolaknya dengan alasan tidak selamat.

SPRM kemudiannya mendiamkan isu tersebut kerana tunduk dengan kepentingan pemimpin politik kerajaan Umno-BN.