Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tengku Permaisuri Norashikin serikan Majlis Ramah Mesra PUSPANITA

SHAH ALAM, 18 OKT: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA), hari ini.

Ketibaan baginda disambut Penaung PUSPANITA, Masdiana Muhamad dan Pengerusi PUSPANITA Selangor, Datin Habbulmatain Maliki di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, di sini.

Tengku Permaisuri Norashikin (dua,kiri) bersama Masdiana Muhammad (kiri) menyampaikan sumbangan kepada ahli PUSPANITA yang mengalami masalah kesihatan ketika Majlis Ramah Mesra Tengku Permaisuri Selangor Bersama PUSPANITA Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 18 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Baginda berkenan melafazkan ucapan perasmian, sekali gus menyempurnakan gimik majlis dan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada dua ahli badan bukan kerajaan terbabit yang mengalami masalah kesihatan.

Pada masa sama, Tengku Permaisuri turut berkenan berangkat ke gerai pameran PUSPANITA yang mempamerkan pelbagai barangan buatan antaranya tulisan khat, anyaman, kerepek, kraftangan dan produk tradisional.

PUSPANITA Selangor adalah badan bukan kerajaan bernaung di bawah PUSPANITA Kebangsaan yang mula ditubuhkan pada 1 Mac 1983.

Sehingga kini, PUSPANITA Selangor mempunyai kira-kira 7,583 ahli dianggotai penjawat awam wanita dan isteri kepada kakitangan Kerajaan Selangor.

Categories
PBT SELANGOR

Skuad Prihatin PUSPANITA MPSJ santuni anak yatim

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUCHONG, 29 MAC: Skuad Prihatin PUSPANITA Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengadakan kunjungan kasih ke Rumah Kebajikan Baitul Hidayah bagi menyantuni lebih 20 anak yatim perempuan, di sini.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, program pertama kali diadakan sejak penubuhan skuad itu bertujuan mendekatkan anggota PUSPANITA dengan masyarakat.

Katanya, ia selaras hasrat Kerajaan Negeri iaitu ‘Selangor Maju Bersama’ serta ke arah mewujudkan bandar mesra Wanita pertama, di Malaysia.

“Program kali ini lebih istimewa kerana ia bersifat sukarela, segala perbelanjaan dan sumbangan adalah kutipan anggota skuad itu sendiri.

“Kita berharap program sebegini dapat diteruskan, sekali gus berusaha mencapai aspirasi Kerajaan Negeri dan Persekutuan,” katanya ketika berkunjung ke rumah kebajikan terbabit.

Antara aktiviti dijalankan ialah gotong-royong mencuci dan mengemas seluruh kawasan rumah serta demonstrasi membuat kek cawan.

Skuad disertai 40 orang itu turut membantu membaikpulih dan menyumbang kelengkapan untuk dua buah kabin rumah yang digunakan sebagai kelas ulang kaji pembelajaran.

Pada masa sama, PUSPANITA juga menyumbangkan sejumlah RM4,045 kepada Baitul Hidayah.

Sementara itu, Guru Besar Baitul Hidayah, Noraini Abdul Aziz berkata, pihaknya gembira di atas kehadiran skuad terbabit yang turut menghulurkan bantuan.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kerana sudi hadir dan memberi sumbangan terutama rumah kabin.

“Sebelum ini, anak-anak hanya guna ruang asrama untuk makan belajar dan tidur tetapi bila ada kabin ini, ada ruang untuk mereka belajar, jadi ruang asrama tidak terlalu serabut,” katanya.