Categories
BERITA UTAMA

Wawancara: 17 tahun ditahan ISA, suatu perjalanan panjang…

Sebelum merdeka, tulisannya menyuntik kesedaran rakyat supaya bangkit menentang penjajahan Inggeris untuk mencapai kemerdekaan. Tulisannya tajam-menikam, dan panas membara. Pada pasca merdeka, perjuangannya tidak habis begitu sahaja. Kali ini berjuang memerdekakan Utusan Melayu daripada cengkaman Umno pula dan akhirnya membawa kepada mogok kakitangan media yang paling diingati yang dikenali sebagai ‘Mogok Utusan’.

Peristiwa Mogok Utusan itu juga akhirnya menyebabkan beliau terbuang di Singapura selama hampir 30 tahun termasuk 17 tahun di dalam tahanan ISA Singapura. Berdasarkan liku perjalanan panjang dan diisi dengan pengorbanan itu, maka memang wajarl Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengangkat nama Said Zahari sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan.

Sempena ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-58 tahun, Wartawan Selangor Kini, NAZLI IBRAHIM berpeluang menemubual secara ekslusif bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu itu yang lebih mesra dengan panggilan Pak Said di kediaman anaknya di Bandar Puncak Alam, baru-baru ini.

Apakah perkembangan terkini Pak Said?

Kesihatan saya kurang baik terutama dalam keadaan umur yang terus meningkat. Keduanya, saya juga sering mengalami tekanan dalam pekerjaan atau usaha meneruskan penulisan kerana faktor usia dam banyak perkara susah nak diselesaikan, tak seperti masa muda. Ini memang perkara yang tidak dapat dielakkan.

Tekanan itu sebenarnya banyak berkaitan dengan keadaan diri dan kemampuan untuk bergerak juga agak sukar tetapi saya tidak merasakan terlalu susah sangat diterima kerana sedia maklum dengan umur meningkat kemampuan juga terbatas. Alhamdullilah, apa yang saya hendak lakukan baik dalam penulisan atau hal lain bersangkutan kehidupan dapat juga dilakukan semolek-moleknya.

Benarkah draf memoir ketiga Pak Said dicuri dalam kejadian rumah dipecah masuk sebelum ini?

(Ketawa). Itu agak lucu sebenarnya kerana saya tak faham kenapa dia cuma mengambil draf itu. Kalau tak salah, kejadian itu berlaku ketika kami tinggal di Subang Jaya. Saya anggap kejadian itu melucukan kerana kalau mereka nak curi barang tmengapa hanya mengambil komputer riba sahaja.

Said ZahariJika mereka fikir dengan mengambil komputer riba itu akan menjejaskan usaha saya, mungkin mereka berjaya buat seketika sahaja kerana minat saya dalam kerja penulisan tidak akan terganggu disebabkan kejadian itu.

Saya fikir, agak kesal juga tetapi ia bukan suatu tragedi yang besar sampai mengganggu kemampuan saya meneruskan kerja penulisan.

Boleh ceritakan bagaimana Pak Said menyertai Utusan Melayu?

Utusan Melayu sebenarnya dengan saya mempunyai hubungan yang bersejarah kerana awal pekerjaan saya dalam penulisan adalah dengan Utusan Melayu walaupun saya pernah melakukan pekerjaan lain tetapi Utusan Melayu tempat mula-mula saya bertapak, pada awal 1951.

Ketika itu saya masih muda. Minat saya pada penulisan dan sejarah amat besar. Saya menganggap Utusan Melayu sumber yang sangat penting pada masa itu untuk mengikuti perkembangan yang berlaku di dalam negara dan seluruh dunia.

Ketika mula-mula menyertai Utusan Melayu, Pak Said bekerja di bawah Pak Sako? Boleh ceritakan sedikit pengalaman Pak Said bekerja di bawah beliau.

Sebenarnya pembabitan Pak Sako dalam Utusan Melayu ketika saya masuk sudah berkurangan tetapi beliau lebih aktif dalam politik. Dalam bidang kewartawanan, Pak Sako lebih terkenal sebagai penulis seperti novel dan rencana politik pada masa itu.

Pak Sako lebih aktif di zaman pemerintahan Jepun. Bila saya mencebur bidang kewartawanan, beliau sudah tidak aktif lagi dalam Utusan Melayu dan hanya terkenal sebagai penulis juga pengarang, bahkan bukunya itu amat terkenal hingga jadi bahan pelajaran kepada penulis Melayu tanah air pada masa itu.

Saya lebih aktif di dalam bahagian penulisan berita atau ‘reporter’. Saya lebih senang dengan kerja begitu sebab mendekatkan kepada peristiwa yang berlaku di tanah air, baik daripada segi perkembangan politik atau perkembagan dunia kewartawanan dan kesusasteraan penulisan.

Berkenaan peristiwa Mogok Utusan, apakah tindakan Pak Said ketika ketika mula-mula mengetahui ada percubaan Umno untuk mengambilalih Utusan ?

Saya cuba ingat sedikit. Sebenarnya, saya bukan menentang Umno nak ambil alih Utusan kerana daripada segi komersialnya mereka nak jadikan sumber perniagaan.

Apa yang saya cuba pertahankan adalah usaha daripada semua wartawannya sendiri untuk mendapat kebebasan dalam tugas penulisan. Tidak dikongkong, tidak mengikut sahaja. Maka, saya dalam bidang ini cuba mempertahankan hak wartawan dan penulis menentukan pendirian mereka sendiri. Ertinya mereka tidak dikongkong.

Said ZahariApabila berlaku Mogok Utusan boleh tak Pak Said ceritakan suasana pada masa itu dan bagaimana tekanan yang terpaksa dihadapi ketika itu dan kongsikan pengalaman Pak Said itu untuk tatapan anak muda masa kini.

Seperti yang disebut tadi, saya cuma mahu mempertahankan hak wartawan untuk meneruskan kerja mereka tanpa kongkongan ertinya diberi kebebasan.

Saya sendiri apabila menjadi Pengarang Utusan Melayu menentukan bahawa dasar syarikat akhbar itu sendiri yang harus mengelolakan aktivitinya adalah wartawan terutama pengarang.

Jadi, dengan sendirinya tugas itu terletak pada diri saya waktu itu. Saya mahu pastikan supaya wartawan tidak dikongkong, disekat dan diganggu gugat kerjanya.

Berapa ramai yang terlibat dalam mogok di depan Pejabat Utusan Melayu masa itu?

(Ketawa) Saya kena ingatkan dahulu. Waktu itu, saya memimpin Utusan Melayu di bahagian editorial, ada kira-kira 30 orang, ertinya pengarang di pelbagai bahagian, wartawan dan penulis rencana.

Jadi, kerja dalam surat khabar pada zaman itu jika ingin dibandingkan dengan zaman sekarang jauh bezanya dan tidak dapat kita jadikan bandingan.

Kita tak dapat mengukur khususnya bentuk Utusan Melayu di zaman itu terutama sebelum merdeka memainkan peranan besar untuk menyedarkan rakyat supaya mempertimbangkan dan menuntut kemerdekaan, bahkan itu yang paling utama sekali. Utusan Melayu pada masa itu menjadi obor kepada perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.

Utusan Melayu yang ada pada hari ini bagaimana pula Pak Said? Jika dulu Pak Said anggap sebagai obor perjuangan rakyat, adakah sekarang masih sama?

Sukar juga nak jawab (ketawa). Utusan Melayu juga sangat berjaya. Kalau boleh, mereka juga mahu meneruskan tugas itu tetapi kerana penguasaan berkenaan, mereka lebih tunduk kepada kemahuan tuan punya surat khabar daripada menjalankan tugas sebagai wartawan yang bertanggungjawab kepada pembaca.

Maksud saya, zaman itu ialah memperjuangkan kemerdekaan. Jadi, yang penting sekali surat khabar itu memainkan peranan sebagai penyedar kepada rakyat, bahkan memainkan peranan sebagai pemimpin dalam perjuangan kemerdekaan.

Usaha Utusan Melayu, kalau kita lihat daripada sejarah perjuangannya. Kita akan melihat Utusan Melayu itu memang punya tugas yang terkeluar daripada untuk mencari perniagaan tetapi berperanan memberi kesedaran kepada rakyat.

Anda sendiri melihatnya tidak begitu. Walaupun saya sebenarnya bekerja dengan Utusan Melayu tidak lama dan rasa dalam 10 tahun sahaja tetapi saya mementingkan apa itu tugas wartawan supaya lebih mirip kepada perjuangan rakyat.

Ertinya, rakyat yang kita sebut-sebut itu ertinya jika Utusan Melayu itu adalah pembacanya dan Utusan Melayu memang di zaman itu terkenal sebagai surat khabar yang memperjuangkan nasib orang Melayu dan mengikuti perjuangan kemerdekaan dengan gigih.

Selepas itu Pak Said pergi ke Singapura dan tidak dibenarkan balik semula ke Kuala Lumpur. Kalau tidak kerana dihalang memasuki Malaya pada masa itu, adakah Pak Said merasakan Mogok Utusan akan berterusan dan akhirnya berjaya?

Sebenarnya berjaya atau tidak bukan suatu perkara yang kita tumpukan. Apa yang penting, kita cuma mahu mempertahankan kebebasan wartawan dalam menjalankan kerjanya. Ada juga wartawan yang tidak menyokong perjuangan kita. Mereka surat khabar lain tetapi bagi Utusan Melayu yang penting sekali setiap wartawan yang bekerja dengan Utusan Melayu adalah sebagai pejuang kemerdekaan.

Pada zaman itu, memang lumrah semua orang tahu bahawakerja dengan Utusan Melayu adalah berjuang untuk rakyat Melayu mendapat kemerdekaan.

Sebenarnya kenapa Pak Said ke Singapura? Adakah bertujuan untuk mencari sokongan seperti yang didakwa sesetengah pihak?

Kerana pada waktu itu Singapura adalah sebahagian daripada Malaya. Kita tidak pernah memisahkan Singapura daripada Tanah Melayu. Jadi, apa yang berlaku di Tanah Melayu bererti berlaku juga kepada Singapura. Pada masa itu, tidak timbul soal Singapura berdiri sendiri sebagai sebuah negara. Bila kita katakan Malaya bererti termasuk Singapura. Apa yang kita perjuangkan untuk Malaya termasuk juga untuk Singapura sebab ia sebahagian daripada Malaya.

Selepas Pak Said ke Singapura apa yang berlaku?

Sebenarnya saya apabila ke Singapura, Mogok Utusan masih berjalan dan memang tugas saya sentiasa memberi perangsang kepada pejabat-pejabat Utusan Melayu supaya teruskan perjuangan. Saya sentiasa berulang-alik ke Singapura dalam tugas begitu.

Apa yang penting, saya memastikan wartawan mempunyai tugas lebih daripada semata-mata untuk bekerja atau makan gaji.

Utusan Melayu sangat terkenal pada masa itu sebagai wadah perjuangan kemerdekaan. Saya sendiri sebelum jadi wartawan dan pengarang mengikuti perjuangan kemerdekaan dan apabila masuk ke Utusan Melayu memperkuatkan lagi keinginan untuk memberikan sumbangan melalui Utusan Melayu. Saya fikir tugas yang penting banyak saya lakukan di zaman sebelum merdeka.

Bagaimana Pak Said tak dibenarkan balik ke Kuala Lumpur?

Saya fikir Kerajaan Persekutuan mengambil kesempatan saya ke Singapura untuk menemui orang-orang yang mogok. Pada waktu itu, Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman mengambil kesempatan melarang saya balik ke Tanah Melayu.

Sebelum merdeka, Tunku Abdul Rahman dah dilantik sebagai Ketua Menteri dan bekerjasama dengan Inggeris mengadakan undang-undang yang digunakan untuk menyekat saya balik ke Kuala Lumpur dan sejak itu saya dilarang masuk ke Malaya selama 30 tahun.

Apakah kesan Mogok Utusan kepada kebebasan media hari ini?

Pada waktu itu, orang tak terfikir mogok seperti dilakukan wartawan Utusan Melayu sebab selalunya orang mogok sebab nak minta naik gaji, kebaikan layanan atau faedah kerja tetapi mogok Utusan Melayu tidak ada kena mengena dengan hal ini.

Jadi, mereka melihat ini sebagai satu fenomena yang baru dalam dunia surat khabar dan hubungan pekerja dengan majikan.

Boleh Pak Said ceritakan pengalaman Pak Said ketika ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)?

Saya ditahan di bawah ISA selama 17 tahun. Tak sangka ditahan begitu lama sebab sebelum saya, ramai ditahan di bawah ISA tetapi oleh kerana pada zaman itu perjuangan kita agak berbeza dengan nak minta naik gaji, jadi kena lama. Ini perjuangan membebaskan wartawan supaya dapat bekerja tanpa gangguan. Suatu perkembangan baru dalam hubungan antara pekerja dan majikan.

Bagaimana Pak Said melihat perbezaan media dulu dan sekarang khususnya tugas sebagai wartawan?

Kalau nak ceritakan memang jauh bezanya sebab zaman itu setiap wartawan juga orang politik kerana sama-sama ikut memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Wartawan sekarang tidak berperanan seperti itu. Wartawan sekarang sebahagian besarnya hanya menganggap kerja mereka sebagai pekerjaan dan tidak ada kena mengena dengan tugas sebagai pejuang kemerdekaan sebab negara sudah merdeka. Wartawan juga melihat dirinya bekerja sebagai mata pencarian bukan perjuangan.

Perkembangan politik hari ini, bagaimana Pak Said melihat suasananya berbanding dahulu?

Sebenarnya Pakatan Rakyat (Pakatan) pembangkang kepada pemerintah selagi Pakatan sendiri tidak dapat menyatukan dirinya sebagai pembangkang yang berkesan. Sampai sekarang, kemampuan Pakatan untuk bersaing dengan pemerintah masih belum tercapai.

Suasana politik yang bagaimana menjadi harapan Pak Said hari ini?

IMG_7339Saya sebenarnya sudah lama terkeluar dari bidang ini. Apa yang saya harapkan negara kita benar-benar bebas menjalankan dasar yang lebih menguntungkan rakyat dan untuk ini rakyat harus diberikan kebebasan untuk memilih. Tak usah ditakut-takutkan. Undang-undang ISA itu sendiri adalah untuk menakutkan rakyat supaya jangan menentang kerajaan.

Apabila hal seperti itu masih berlaku, kemampuan parti pembangkang untuk jadi saingan agak sukar walaupun wujud perkataan pembangkang tetapi sukar mendapat sokongan rakyat. Ini yang penting sekali harus dilakukan pembangkang supaya menyatukan rakyat untuk menjadi saingan kepada kerajaan.

Apa pandangan Pak Said berkenaan perhimpunan aman contohnya seperti Bersih?

Saya sebenarnya tidak begitu mendekatkan diri dengan keadaan sekarang kerana kesihatan terganggu. Saya kurang mengikuti secara dekat. Bagaimanapun, saya percaya jika parti pembangkang yang ada sekarang memperjuangkan kepentingan rakyat, ertinya sokongan rakyat akan beralih kepada mereka. Jika kita lihat, sekarang perpaduan pembangkang masih kurang.

Perhimpunan ini sebenarnya adalah perkara biasa bagi negara yang mengamalkan demokrasi. Sebenarnya, tidak boleh melarang jika rakyat tidak berpuas hati atau ada masalah nak diberitahu kepada umum. Ini perkara biasa.

Cuma, jika kerajaan yang berkuasa merasakan diri mereka terancam, mungkin akan menggunakan kuasa untuk melarang perhimpunan seperti itu. Sebab itu, undang-undang seperti ISA diadakan walaupun mahu berikan hak demokrasi kepada rakyat tetapi ia akan menyebabkan apa yang diberikan itu terjejas dan rakyat akan lari kepada pembangkang. ISA itu pada umumnya diadakan untuk menyekat perkembangan pembangkang.

Apa pandangan Pak Said terhadap Kerajaan Pakatan di Selangor yang diterajui Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali? Adakah pentadbiran Kerajaan Pakatan di Selangor mampu memberi faedah kepada rakyat Selangor?

Saya tidak terlalu mengikuti tetapi percaya jika Kerajaan Pakatan di Selangor ini tergelincir daripada tujuan utama iaitu tidak mengutamakan kepentingan rakyat, pasti rakyat akan jauhkan diri mereka daripada kerajaan. Apatah lagi, jika parti dalam Pakatan tidak dapat menyatupadukan perjuangan mereka.

Jika kita lihat perkembangan politik pada masa ini, selagi perpaduan antara pembangkang belum cukup kuat untuk menyaingi pemerintah, maka ia akan terus menghadapi tekanan hebat dari kerajaan.

Apa pandangan Pak Said terhadap usaha Kerajaan Selangor memastikan kebebasan maklumat di negeri itu diperkukuhkan dan tidak disekat?

Itu sebenarnya memang bagus, kalau rakyat bebas dapat maklumat. Namun, seperti yang saya katakan tadi, kalau kerajaan tidak menyenangi perjuangan rakyat, pemerintah akan gunakan kuasa itu untuk menyekatnya.

Akhir sekali, mungkin Pak Said ada nasihat untuk golongan wartawan dan penulis khasnya juga tidak ketinggalan kepada pemimpin politik yang ada sekarang?

Susah juga itu… (ketawa). Saya sendiri sudah tidak mengikuti secara aktif perkembangan yang berlaku tetapi percaya apa yang dilakukan pembangkang. Selagi mereka mendekati dan mementingkan kepentingan rakyat, saya percaya apa yang mereka mahu akan tercapai.

Pengamal media yang penting. Seperti yang saya katakan tadi, susah nak bandingkan dahulu dan sekarang kerana keadaan begitu jauh berbeza. Selagi mereka berfikir dan mementingkan kemahuan rakyat, akhirnyarakyat akan sedar bahawa kepentingan mereka diambil perhatian dan wartawan akan mendapat sokongan daripada rakyat.

Categories
BERITA UTAMA

Q & A: DEIG ‘platform’ gabung aktiviti pelaburan

Isu Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan Berhad (DEIG) hangat diperkatakan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), baru-baru ini. Ramai mempersoalkan penubuhan syarikat itu. Malah, dikatakan DEIG sebuah syarikat yang ‘disorok’ di bawah Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI). Ikuti temubual eksklusif bersama Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman dan Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin oleh wartawan Norhayati Umor.

Penubuhan DEIG dipersoal dan dipertikaikan, apakah tujuan sebenar DEIG ditubuhkan?

Pertama sekali ingin kami tekankan betapa pentingnya sebuah negeri makmur seperti Selangor untuk memajukan dan memperkasakan syarikat induk pelaburan atau dana kekayaan negeri (SWF) dalam eko-sistem ekonomi tempatan dan global yang semakin mencabar. Dengan adanya entiti korporat sebegini, segala pemilikan aset dan pelaburan dapat dimaksimakan untuk penjanaan pendapatan secara berterusan bagi membangunkan negeri serta rakyat secara amnya.

Sebelum itu, kami kongsikan secara ringkas latar belakang MBI. MBI ditubuhkan pada tahun 1994 berdasarkan Enakmen No 3 Menteri Besar Selangor 1994 bertujuan untuk menjadi pemegang amanah kepada aset dan pelaburan Kerajaan Negeri.

MBI diberi tanggungjawab mentadbir sejumlah aset dan pelaburan yang besar serta berperanan dalam menguruskan program memakmurkan rakyat Selangor.

DEIG IssueBagaimanapun, pada ketika ini MBI tidak pernah memberi pulangan Kerajaan Negeri dalam bentuk dividen kerana mempunyai fungsi bertindih dan tidak dapat memberi fokus kepada aset dan pelaburan. Natijah daripada itu, kita dapat melihat 12 kumpulan anak syarikat serta aset MBI berada dalam keadaan yang “fragmented” dan “disarray”.

Oleh itu, proses rasionalisasi dan konsolidasi anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC) perlu dilakukan untuk mencipta nilai yang mampan (sustainable value creation) terhadap aset-asetnya dan memastikan ‘diversification of income’ kepada Kerajaan Negeri. Selepas membuat proses diagnostik dengan melakukan analisa terhadap struktur dan sistem sedia ada, kami merasakan bahawa perlu ada “mental courage” dan anjakan paradigma untuk merealisasikan proses penstrukturan semula ini.

Di samping itu, satu sistem tadbir urus yang kukuh dalam pelaksanaan segala proses yang direncana bagi memastikan aspek ketelusan dan akauntabiliti menjadi keutamaan. Berdasarkan semua faktor ini, DEIG ditubuhkan sebagai sebuah syarikat induk pelaburan yang mempunyai objektif untuk memberi sumbangan signifikan kepada Kerajaan Negeri melalui pengurusan yang lebih mampan dan profesional serta mengikut piawaian pentadbiran korporat di peringkat tertinggi.

Boleh jelaskan masalah MBI sebenarnya sehingga perlu menubuhkan entiti baru?

Pada peringkat awal, kami mendapati MBI mempunyai dua peranan utama iaitu melaksanakan pengurusan program memakmurkan rakyat seperti HIJRAH, YAWAS, Wifi Selangorku dan sebagainya serta pengurusan pelaburan juga aset.

Program memakmurkan rakyat di sini bermaksud menjadi pentadbir untuk program tanggungjawab sosial manakala pengurusan pelaburan pula objektifnya adalah untuk menjadi pemangkin eko-sistem ekonomi yang baik di dalam negeri.

Kedua-dua perkara ini mempunyai perbezaan ketara dari segi objektif dan peranan, justeru itu amat sukar untuk menentukan apakah fungsi sebenar dan ‘Key Performance Index’ atau KPI yang hendak diberikan kepada MBI supaya peranannya lebih jelas dan berkesan.

Akibat daripada pengurusan pelaburan yang longgar serta tidak fokus ini, kami mendapati pelaburan MBI ketika ini tidak menghasilkan sinergi dan strategi kebersamaan demi menjana pulangan maksima kepada Kerajaan Negeri.

Kami melihat perlunya ada fokus dan sistem untuk menilai pencapaian. Apa gunanya organisasi yang besar dengan aset yang banyak tetapi terlalu banyak peranan sehingga boleh menimbulkan kekeliruan daripada segi objektif utama.

Oleh itu, sebuah entiti baru diperlukan untuk melancarkan proses rasionalisasi dan konsolidasi supaya lebih berkesan tetapi pada masa sama menerapkan nilai-nilai kebertanggungjawaban melalui laporan terus kepada Kerajaan Negeri.

Dakwaan dua pemegang saham dalam syarikat itu?

Pada awal penubuhan, kami berdua ditugaskan sebagai ‘promoter’ (penaja) syarikat untuk tujuan pendaftaran. Dan ini adalah proses biasa untuk menubuhkan syarikat. Apabila siap, kami menukar pemilikan DEIG kepada milik penuh MBI seperti yang dicatatkan dalam Sijil Pemilikan bertarikh 20 Julai 2015.

Proses catitan rekod penukaran milik di peringkat Suruhanjaya Syarikat Malaysia sudah dilakukan dan kami masih menunggu maklum balas daripada pihak mereka.

Hakikatnya, kini DEIG adalah 100 peratus milik penuh MBI.  Atas dasar kebertanggungjawaban juga, oleh kerana DEIG masih dalam proses awal penubuhan serta masih dalam proses menerapkan tadbir urus korporta, maka tiada suntikan dana selain dari RM2 yang dilakukan.

sijil-daftar-DEIGSegala hal ehwal kewangan tidak akan dilaksanakan selagi sistem tadbir urus korporat tidak dipasakkan ke dalam entiti ini. Daripada segi komposisi lembaga pengarah pula, seperti yang tercatit dalam Borang 49 (Borang Lembaga Pengarah) Ahli Lembaga Pengarah ialah Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Noordin Sulaiman.

Mereka adalah wakil kerajaan. Kami berdua wakil pengurusan.

Kami sedia maklum terdapat pihak yang mempersoalkan kehadiran kami berdua dalam lembaga pengarah DEIG serta beberapa anak syarikat lain, justeru ingin kami menjelaskan bahawa kami mempunyai peranan khusus iaitu untuk menjalankan proses diagnostik di peringkat anak syarikat bagi tujuan perancangan strategik di peringkat MBI.

Ini adalah fasa pertama dan apabila proses ‘talent acquisition’ yang terdiri daripada golongan profesional dilakukan, kami akan serapkan mereka ke dalam lembaga pengarah syarikat-syarikat terbabit.

Dakwaan mengatakan DEIG satu indikator yang bakal berdepan dengan masalah urus tadbir memandangkan entiti ini bebas daripada diaudit?

Ini adalah dakwaan yang tidak berasas. DEIG didaftar mengikut Akta Syarikat 1965 dan adalah milik penuh MBI. Oleh itu sebarang maklumat operasi dan kewangan diperingkat DEIG akan direkod dalam MBI melalui kaedah ‘consolidated account’ atau akaun disatukan.

Dari segi ‘oversight’, akaun DEIG akan diaudit oleh firma terkemuka ‘Big Four’ dan melapor terus kepada Jawatankuasa Audit dan Risiko. Selain itu, ia juga boleh dinilai agensi kerajaan atau Jawatankuasa DNS yang sepatutnya.

MBI kemudian akan membentangkan akaun yang sudah disatukan kepada Kerajaan Negeri dan terbuka untuk audit oleh Jabatan Audit Negara. Kami juga mempunyai perancangan yang kukuh untuk proses pemilihan pelaburan iaitu segala keputusan akan melalui beberapa ‘decision gates’ termasuk Jawatankuasa Eksekutif dan Lembaga Pengarah yang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan dan wakil sektor swasta. Setiap aset yang dilaburkan mesti melalui kesemua proses ini.

Walaupun rumit, ini penting untuk memastikan keputusan yang dibuat adalah telus dan wajar berdasarkan sistem tadbir urus korporat yang terbaik dan ia harus menjadi keutamaan memandangkan kami memegang amanah rakyat Selangor.

Jika DEIG entiti yang akan menguruskan pelaburan 12 anak syarikat, apakah pula peranan MBI selepas ini? Adakah hasil itu akan dapat dinikmati rakyat?

Seperti yang kita katakan, ketika ini MBI ada dua fungsi iaitu melaksanakan pengurusan program memakmurkan rakyat serta pengurusan pelaburan dan aset.

Selepas penstrukturan semula ini, MBI akan memberi lebih fokus kepada soal kebajikan dan kemakmuran rakyat di Selangor melalui program seperti HIJRAH, Wifi Selangorku, UNISEL dan YAWAS. Peranan MBI akan menjadi lebih jelas dan mudah untuk tujuan penambahbaikan.

Adakah aset milik MBI akan dipindah milik kepada DEIG?

Pelancaran Darul Ehsan Investment Group di SACC MB (7)Secara dasarnya, ketika persidangan baru-baru ini, DNS bersetuju bahawa aset-aset Kerajaan Negeri perlu menjalani proses rasionalisasi dan konsolidasi.

Kami sudah meneliti segala pilihan yang ada untuk menjalankan inisiatif ini dan merumuskan bahawa penubuhan DEIG adalah inisiatif terbaik untuk merealisasikan aspirasi berkenaan. Sebagai syarikat pelaburan induk sudah pasti DEIG akan memiliki aset-aset strategik Kerajaan Negeri.

Pelbagai kaedah sedang diteliti antaranya pertukaran syer, suntikan modal baru dan lain-lain lagi. Namun, semua kaedah ini akan dimuktamadkan di peringkat yang sepatutnya dan kami akan memastikan prosesnya jelas sebelum diteruskan bagi memastikan segala proses dilakukan berlandaskan prinsip ketelusan, akauntabiliti,dan tadbir urus korporat yang terbaik.

Beberapa maklumat telah kita perolehi daripada pihak-pihak berkepentingan untuk diberi pertimbangan sewajarnya.

Apakah jangkaan entiti ini untuk tiga tahun akan datang?

Proses rasionalisasi dan konsolidasi adalah satu ‘journey’ untuk syarikat GLC dan ia tidak berlaku dalam sekelip mata. Insiatif ini memerlukan sokongan dan kefahaman daripada semua ‘stakeholder’ di dalam Kerajaan Negeri dan pihak pengurusan juga harus menetapkan satu sistem tadbir urus korporat yang terbaik.

Pada fasa pertama ini, kami akan melakukan proses diagnostik dan mengumpul data bagi mengenal pasti pasti kekuatan, kelemahan, ancaman dan peluang untuk setiap GLC.

Pada masa sama, kami akan terus mencari modal insan terbaik demi memastikan golongan profesional yang terlatih diberi peluang mengendalikan pengurusan GLC. Dengan adanya modal insan profesional, aspek tadbir urus korporat tinggi akan diterapkan dengan lebih mudah.

Selepas semua ini dilakukan, segala maklumat akan digunakan dalam perancangan strategik yang lebih terperinci untuk setiap GLC. Insya Allah pada penghujung tahun ketiga, kita akan melihat impak awal apabila GLC tidak lagi bergantung kepada dana dan peruntukan kerajaan untuk tujuan operasi, sebaliknya mencipta nilai strategik mampan dan menyumbang secara signifikan kepada Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor secara amnya.

Ingin kami tegaskan, penubuhan syarikat induk pelaburan adalah amat penting bukan saja dalam melancarkan proses rasionaliasasi dan konsolidasi tetapi juga untuk mempelbagaikan pendapatan Kerajaan Negeri selain bergantung kepada sumber ekonomi sedia.

Cabaran dan keadaan ekonomi global yang tidak stabil memerlukan satu langkah drastik dalam memastikan Kerajaan Negeri berupaya menjana pendapatan secara mampan pada masa hadapan.

Categories
SENI

Galeri Shah Alam perlu nafas baharu

Oleh: HAFIZAN TAIB

Galeri Seni Shah memerlukan pemerkasaan untuk memastikan ia berfungsi dan dapat mengenengahkan hasil seni kepada masyarakat. Pembaharuan dirancang memerlukan sokongan semua untuk merealisasikan hasrat menjadikan Shah Alam dan Petaling Jaya sebagai kota seni. Ikuti sesi Q & A bersama Pengarah Yayasan Seni Selangor, Prof Madya Mohd Said Abu

Boleh ceritakan berkenaan Galeri Shah Alam dan perancangan seterusnya?

Saya masih lagi mengusahakan pembinaan sebuah bangunan galeri yang baharu dan berharap Kerajaan Negeri bersedia membantu supaya ia menjadi kenyataan dalam masa terdekat. Bangunan sedia ada bukan galeri sebenar kerana asalnya pejabat kebudayaan dan kesenian Selangor.

Mohd SaidKita perlu menggunakannya kerana tiada pilihan dan disewa daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Bangunan galeri ini dalam keadaan uzur dan kita memerlukan sebuah bangunan baharu supaya pameran dan aktiviti seni dapat digerakkan dengan aktif dan sempurna.

Bagaimana perbandingan antara galeri di Selangor dengan negeri-negeri lain?

Kalau dilihat negeri lain antaranya Johor, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan sebagainya, kebanyakan galerinya di bawah bidang kuasa muzium negeri yang mana galeri bukan bahagian utama di sesebuah bangunan. Kita tidak mahu begitu tetapi kita mahu sebuah bangunan galeri yang lengkap.

Apa diperlukan dan bagaimana mahu mewujudkan sebuah bangunan galeri penuh yang lengkap?

Yang utama bangunan perlu dibangunkan mengikut klasifikasi ditetapkan sebagai sebuah galeri. Maka dengan itu ia mempunyai segala kemudahan perlu untuk semua aktiviti terutama ruang pameran yang cukup dan lengkap untuk diadakan pameran termasuk bilik simpanan untuk menempatkan semua koleksi yang ada.

Buat masa sekarang memang kita mempunyai sejumlah koleksi berharga tetapi agak bermasalah berikutan keadaan bangunan yang agak lama.

Dalam masa lebih 30 tahun tentu galeri ini banyak mengadakan pameran dan melahirkan ramai karyawan. Boleh tuan jelaskan?

IMG_6283Memang galeri ini penuh sejarah dengan banyak pameran dibuat di sini dan banyak karyawan mencipta nama dengan memulakan karier dengan mempamerkan hasil karya di sini. Contohnya ramai mahasiswa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadikannya untuk menjalankan banyak aktiviti dan pameran.

Boleh namakan antara karyawan dimaksudkan?

Antaranya Harun Mokhtar berasal dari Sungai Besar, Selangor. Karyawan lain termasuk Suzlee Ibrahim yang mana mula mengadakan pameran pertamanya di sini dan setakat ini sudah membuat 28 pameran solo dengan yang terbaharu pada 3 September depan.

Saban tahun Yayasan Seni Selangor banyak menganjurkan pameran seni dan lukisan. Apa perancangan seterusnya bagi memajukan bidang ini dan mungkin ada usaha untuk mengadakan pameran besar atau antarabangsa di sini?

Kita mengadakan pameran dan aktiviti secara berterusan baik untuk peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Setakat ini memang Galeri Shah Alam mendapat perhatian dan sambutan baik dan dianggap yang kedua selepas Balai Seni Lukis Negara.

Kita juga sudah banyak mengadakan pameran untuk pelukis luar serta bekerjsama dengan pihak luar mengadakannya di luar negara.

Memang kita mempunyai cita-cita untuk mengadakan pameran besar atau utama tetapi apa yang penting adalah sebuah bangunan galeri baharu perlu diwujudkan bagi merealisasikannya.

Jika berjaya kita boleh mengadakan apa saja pameran dan mengundang nama besar ke sini. Kalau Singapura boleh mengadakan pameran Picasso maka kita juga boleh jika kemudahan itu disediakan. Saya berharap galeri baharu ini dapat diwujudkan segera.

Setakat ini apa masalah utama dihadapi di galeri ini?

IMG_6307Masalahnya jika hujan dan kawasan galeri ini saya gelarkan ‘air terjun’ yang mana bukan sahaja air datang dari atas tetapi juga dari bawah. Terdapat bahagian atau banyak yang dimasuki air dan memang ia antara masalah utama dihadapi di bangunan ini.

Saya memang berharap sangat supaya Kerajaan Negeri membantu segera dengan ianya dibangunkan semula demi memartabatkan seni di Selangor.

Apa rancangan seterusnya bagi menarik minat orang ramai terhadap seni dan berkunjung ke galeri?

Kita sentiasa menggerakkan aktiviti secara aktif dan menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak supaya ia mampu diadakan secara berterusan. Setakat ini kita mendapat maklum balas positif dengan kehadiran memberangsangkan daripada masyarakat.

Memang pameran dan aktiviti dijalankan seperti lukisan, fotografi, arca dan sebagainya memenuhi syarat dan minat semua karyawan, peminat termasuk orang ramai.

Bersesuaian dengan hasrat dan matlamat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Shah Alam dan Petaling Jaya sebagai kota seni, kita berusaha merealisasikannya dengan terus menggerakkan pelbagai program berkaitan seni.

Kerajaan Negeri banyak membantu yayasan bagi menjayakan segala aktiviti termasuk menyediakan peruntukan secukupnya.

Harapan kita semoga bangunan baharu dapat dibina segera supaya satu galeri penuh dan lengkap tersergam di Shah Alam khususnya Selangor.