Categories
AGENDA NASIONAL

Keluarga mangsa kemalangan di New Zealand diberi bantuan

KOTA KINABALU, 9 DIS: Bantuan sewajarnya akan disalurkan kepada ahli keluarga empat rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas jalan raya di New Zealand, pada Jumaat lepas, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas Datuk Uda Sulai.

Uda, yang juga Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah berkata, ia termasuk urusan jenazah empat beranak itu yang dijangka dikebumikan di Christchurch esok.

Beliau berkata perkara itu juga akan dimaklumkan kepada Ketua Menteri Sabah jika peruntukan khas diperlukan bagi membantu ahli keluarga tersebut.

“Saya cuba usahakan seberapa yang boleh daripada peruntukan ADUN, khasnya daripada eKasih yang dapat kita salurkan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarga mangsa di Kampung Ulu Putatan di sini, hari ini.

Kemalangan di State Highway 1, Kaikoura, New Zealand, pada Jumaat lepas itu mengakibatkan kematian pasangan suami isteri Dr Rumihati Abd Hamid, 49, dan Adanan Jemain, 49, serta anak kedua mereka, Maisarah Arifah, 13, manakala dua lagi cedera parah.

Bagaimanapun, seorang daripada anak mangsa yang parah, Nur Irfan, 15, yang juga anak sulung pasangan suami isteri itu, disahkan meninggal dunia pada 6.30 petang waktu tempatan (1.30 tengah hari waktu Malaysia) semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keluarga sepakat kebumikan mangsa kemalangan di New Zealand

KOTA KINABALU, 8 DIS: Keluarga kepada tiga beranak yang maut dalam kemalangan di State Highway 1, Kaikoura, New Zealand, kelmarin, sepakat untuk mengebumikan jenazah di negara berkenaan.

Kejadian yang berlaku pada 3.01 petang waktu tempatan itu, telah mengorbankan Dr Rumihati Abd Hamid, suaminya Adnan Jeman, masing-masing berusia 49 tahun dan seorang anak perempuan pasangan itu manakala dua lagi mangsa sedang menerima rawatan lanjut.

Mengesahkan perkara itu, Zaiton, 61, yang merupakan kakak kepada Allahyarham Dr Rumihati berkata abangnya, Othman, kini dalam perjalanan ke New Zealand untuk menguruskan pengebumian.

“Adik saya, suami dan tiga anak perempuannya yang berusia 15, 13 dan 11 tahun bertolak ke New Zealand untuk bercuti pada 2 Disember lepas dan dijangka kembali ke Malaysia pada 17 Disember ini.

“Arwah merupakan anak bongsu daripada lapan beradik dan kali terakhir saya bertemu mereka pada Isnin lepas,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga itu di Kampung Ulu Putatan, di sini hari ini.

Zaiton berkata abangnya, Othman yang menerima khabar sedih itu meminta mereka reda kerana kemalangan itu turut mengorbankan seorang anak saudara mereka.

Bagaimanapun, sehingga kini mereka belum dapat mengetahui identiti anak saudara yang terkorban itu.

“Saya ingat hanya adik saya dan suaminya, rupanya anaknya juga tapi siapalah yang terbabit itu, kami tidak tahu,” katanya yang tidak dapat menahan tangisan.

Zaiton berkata sebelum bertolak Dr Rumihati meminta mereka mengisi borang pemeriksaan kesihatan dan biasanya mereka akan pergi ke rumahnya yang tinggal berhampiran dengan rumah keluarga mereka, selepas pasangan itu berpindah dua tahun lepas.

Zaiton berkata kebiasaannya Dr Rumihati akan bercuti setiap hujung tahun malah arwah juga pernah membawanya bercuti ke Jepun, Beijing dan Hong Kong sebelum ini.

“Anak-anak arwah sangat rapat dengan anak-anak saya sebab saya yang menjaga anak-anaknya,” katanya yang menyifatkan arwah seorang yang manja.

-BERNAMA