Categories
AGENSI SELANGOR

Maqis Selangor tahan kontena susu kambing dari New Zealand

SHAH ALAM, 13 NOV: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor menahan sebuah kontena membawa susu kambing dari New Zealand bernilai RM752,302.64 di Pelabuhan Klang Barat, Klang, dekat sini Khamis lepas.

Kontena yang membawa susu kambing seberat 15,057.4 kilogram ditahan susulan hasil pemeriksaan rutin dijalankan kira-kira 10.30 pagi mendapati tidak mempunyai permit import sah dikeluarkan oleh Maqis.

“Kesemua barang dagangan bernilai RM752,302.64 itu ditahan untuk tindakan lanjut,” menurut Maqis dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: New Zealand tangguh pilihan raya umum sehingga Oktober

MOSCOW, 17 OGOS: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, memutuskan untuk menangguhkan pilihan raya umum sehingga 17 Oktober, disebabkan wabak Covid-19, lapor agensi berita Sputnik.

Ardern juga mempertimbangkan beberapa pilihan lain, termasuk mengadakan pemilihan pada 19 September, seperti yang dijadualkan, menangguhkannya selama empat minggu atau mengadakannya pada 21 November.

“Saya memutuskan untuk menukar tarikh pilihan raya selewat-lewatnya empat minggu sehingga 17 Oktober. Pada akhir minggu lalu, saya diberitahu ia mungkin boleh diadakan pada tarikh ini dan kurang berisiko berbanding jika kita mengekalkan status quo,” kata Ardern semasa taklimat media yang disiarkan di Facebook.

Minggu lalu, New Zealand merekodkan empat kes baharu untuk pertama kalinya dalam masa 102 hari, mendorong pihak berkuasa mengenakan peraturan kuarantin di Auckland.

Sehingga kini New Zealand mengesahkan 1,271 kes, dengan jumlah korban seramai 22 orang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Rakyat Malaysia dikhuatiri maut letusan gunung berapi di New Zealand

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Sekurang-kurangnya seorang rakyat Malaysia antara lapan yang dikhuatiri maut dalam insiden letusan gunung berapi di White Island, New Zealand semalam.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman facebook hari ini, berkata pihak berkuasa New Zealand memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya seorang mangsa adalah rakyat Malaysia.

Seorang jurucakap ketika dihubungi Bernama pagi ini memberitahu pihaknya sedang menjalankan misi mengumpul maklumat mangsa terlibat.

“Mereka kini mengadakan mesyuarat mengenai kejadian itu dan buat masa ini kami tidak dapat mendedahkan maklumat lanjut,” katanya.

Ledakan gunung berapi yang berlaku di White Island, yang juga dikenali sebagai Whakaari, 48 kilometer dari North Island New Zealand, meletuskan abu dan wap besar di udara ketika sekumpulan pelancong mengunjungi pulau itu. Setakat ini lapan orang tidak dapat dikesan dan usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Sementara itu, jurucakap Wisma Putra berkata, pihaknya bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi di Wellington dan pihak berkuasa tempatan di sana bagi mendapatkan butiran mangsa.

“Kami sedang mengusahakan perincian mengenai lokasi mangsa… di hospital mana mangsa dihantar… Setakat ini saya tidak mempunyai maklumat mengenainya dan selepas kami mendapatkan semua maklumat, kami akan memaklumkannya,” katanya kepada Bernama.

Suruhanjaya Tinggi juga menasihati rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan berhampiran rantau itu supaya berhati-hati dan mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi di talian

“+ 64-43852439 / + 64-210440188 (selepas waktu kerja) atau e-mel [email protected],” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Seorang lagi mangsa kemalangan di New Zealand meninggal dunia

KOTA KINABALU, 8 DIS: Seorang lagi mangsa kemalangan di Kaikoura, New Zealand disahkan meninggal dunia pada 6.30 petang waktu tempatan (1.30 tengah hari waktu Malaysia) hari ini.

Mangsa itu adalah Nur Irfan Adanan, 15, yang juga anak sulung kepada pasangan suami isteri, Dr Rumihati Abd Hamid, 49, dan Adanan Jemain, 49, yang maut bersama anak kedua mereka, Maisarah Arifah Adanan, 13, dalam kejadian terbabit.

Perkara itu disahkan oleh anak saudara Allahyarham Dr Rumihati, Afifah Saiffuddin, 33, yang menerima berita itu daripada ahli keluarganya yang kini berada di Hospital Christchurch, New Zealand.

“Ahli keluarga yang datang ke sana sempat bertemu arwah (Nur Irfan) sebelum dia menghembuskan nafas terakhir kerana arwah memang kritikal selepas kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Ulu Putatan di sini hari ini.

Menurut Afifah, kesemua jenazah dijangka dikebumikan esok dan kini sedang dalam proses menunggu kebenaran untuk proses pengebumian di Christchurch.

Beliau berkata solat ghaib di sini untuk jenazah hanya akan dilakukan selepas semua urusan di New Zealand selesai.

Katanya, anak bongsu mangsa yang cedera dalam kemalangan itu, Nur Arifah, 11, mendapat rawatan di Hospital Wellington dilaporkan stabil dan kini ditemani ahli keluarga lain yang baru tiba tengah hari tadi waktu tempatan.

Pada 6 Disember lalu, tiga rakyat Malaysia dilaporkan meninggal dunia manakala dua lagi parah ketika bercuti di negara berkenaan.

Mereka sekeluarga yang menaiki kereta sewa terbabit kemalangan dengan lori di Lebuhraya Negeri 1, utara Kaikoura pada 3.10 petang waktu tempatan (10.10 pagi waktu Malaysia).

Sementara itu, di PUTRAJAYA, Wisma Putra yang turut mengesahkan berita itu berkata Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington sedang menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga bagi memastikan urusan pengebumian di negara itu berjalan lancar.

“Kementerian Luar Negeri merakamkan ucapan takziah dan melahirkan rasa simpati kepada ahli keluarga dan kenalan mangsa yang terlibat dalam insiden ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keluarga sepakat kebumikan mangsa kemalangan di New Zealand

KOTA KINABALU, 8 DIS: Keluarga kepada tiga beranak yang maut dalam kemalangan di State Highway 1, Kaikoura, New Zealand, kelmarin, sepakat untuk mengebumikan jenazah di negara berkenaan.

Kejadian yang berlaku pada 3.01 petang waktu tempatan itu, telah mengorbankan Dr Rumihati Abd Hamid, suaminya Adnan Jeman, masing-masing berusia 49 tahun dan seorang anak perempuan pasangan itu manakala dua lagi mangsa sedang menerima rawatan lanjut.

Mengesahkan perkara itu, Zaiton, 61, yang merupakan kakak kepada Allahyarham Dr Rumihati berkata abangnya, Othman, kini dalam perjalanan ke New Zealand untuk menguruskan pengebumian.

“Adik saya, suami dan tiga anak perempuannya yang berusia 15, 13 dan 11 tahun bertolak ke New Zealand untuk bercuti pada 2 Disember lepas dan dijangka kembali ke Malaysia pada 17 Disember ini.

“Arwah merupakan anak bongsu daripada lapan beradik dan kali terakhir saya bertemu mereka pada Isnin lepas,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga itu di Kampung Ulu Putatan, di sini hari ini.

Zaiton berkata abangnya, Othman yang menerima khabar sedih itu meminta mereka reda kerana kemalangan itu turut mengorbankan seorang anak saudara mereka.

Bagaimanapun, sehingga kini mereka belum dapat mengetahui identiti anak saudara yang terkorban itu.

“Saya ingat hanya adik saya dan suaminya, rupanya anaknya juga tapi siapalah yang terbabit itu, kami tidak tahu,” katanya yang tidak dapat menahan tangisan.

Zaiton berkata sebelum bertolak Dr Rumihati meminta mereka mengisi borang pemeriksaan kesihatan dan biasanya mereka akan pergi ke rumahnya yang tinggal berhampiran dengan rumah keluarga mereka, selepas pasangan itu berpindah dua tahun lepas.

Zaiton berkata kebiasaannya Dr Rumihati akan bercuti setiap hujung tahun malah arwah juga pernah membawanya bercuti ke Jepun, Beijing dan Hong Kong sebelum ini.

“Anak-anak arwah sangat rapat dengan anak-anak saya sebab saya yang menjaga anak-anaknya,” katanya yang menyifatkan arwah seorang yang manja.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Pelancong ke New Zealand dikenakan bayaran levi bermula 1 Julai

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 JULAI: Pelancong antarabangsa yang ingin berkunjung ke New Zealand perlu membuat bayaran levi sebanyak RM97.15 (NZD35), bermula 1 Julai lalu.

Kementerian Kementerian Perniagaan, Inovatif dan Pekerjaan negara itu di laman sesawang rasminya memaklumkan, bayaran levi dikenakan ekoran peningkatan jumlah pelancong ke negara berkenaan
sejak beberapa tahun lalu dan pertumbuhan itu dijangka berterusan.

Menurut kenyataan itu lagi, bayaran levi yang dibuat pelancong akan dilaburkan bagi projek pelancongan dan pemuliharaan mampan.

Kerajaan memperkenalkan Levi Pelancongan dan Pemuliharaan Pelancong Antarabangsa (IVL) bagi membolehkan pelancong menyumbang secara langsung kepada infrastruktur yang digunakan serta membantu melindungi persekitaran semula jadi yang terdapat di New Zealand.

IVL adalah sebuah pelaburan di New Zealand, dan ia dijangka meningkat lebih daripada RM1.25 bilion (NZD450 juta) dalam tempoh lima tahun pertama.

Bagaimanapun, terdapat pengecualian bayaran IVL kepada beberapa kumpulan termasuk warga New Zealand, pelancong transit, warganegara Australia, penduduk tetap, krew kapal dan syarikat penerbangan.

Turut terkecuali ialah penduduk dari Kepulauan Pasifik iaitu Kepulauan Cook, Fiji, Papua New Guinea, Samoa, dan Kepulauan Solomon.

Orang ramai boleh melayari www.immigration.govt.nz/new-zealand-visas untuk maklumat lanjut.

Categories
GLOBAL

Penganas serang masjid di New Zealand mengaku tidak bersalah

MOSCOW, 14 JUN: Warga Australia, Brenton Tarrant mengaku tidak bersalah melakukan pembunuhan beramai-ramai di dua masjid di bandar Christchurch, New Zealand, lapor agensi berita Sputnik, memetik media tempatan pada Jumaat.

Perbicaraan kes itu dijadual pada 4 Mei 2020.

Tarrant tidak hadir di Mahkamah Tinggi Christchurch, sebalikya muncul menerusi persidangan video dari penjara berkeselamatan tinggi di Auckland, demikian menurut laporan Stuff.

Tarrant berdepan 51 pertuduhan melakukan pembunuhan dan 40 pertuduhan cubaan membunuh, selain terlibat dalam serangan pengganas.

Mahkamah mengarahkan Tarrant ditahan sehingga 17 Ogos sehingga kes didengar semula.

Laporan mengatakan kira-kira 80 waris mangsa hadir pada sisi pendengaran kes itu pada Jumaat.

Serangan di Christchurch 15 Mac lalu meragut 51 nyawa, manakala puluhan lagi cedera.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Agong zahir takziah, simpati keluarga Muhammad Haziq

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, remaja Malaysia yang terkorban dalam insiden tembakan rambang di Christchurch, New Zealand, pada 15 Mac lalu.

Baginda turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya menghormati perasaan serta memberikan sokongan kepada keluarga mangsa yang maut dan juga cedera dalam mengharungi ujian itu.

“Seri Paduka juga mengingatkan rakyat Malaysia supaya menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan hasutan berunsur kebencian yang disebarkan melalui pihak-pihak tidak bertanggungjawab, termasuk menggunakan alasan kebencian terhadap ajaran Islam dan penganutnya.

“Tiada agama yang mendorong penganutnya untuk mengamalkan sebarang bentuk keganasan terhadap individu yang lain,” menurut kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah di atas perhatiannya dalam mengendalikan insiden itu, termasuk dengan menghantar pegawai kanan daripada kementerian dan juga pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington untuk berada di Christchurch bagi menghulurkan bantuan yang sewajarnya.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang turut ke Christchurch bagi memberi sokongan dan bantuan.

“Penghargaan juga kepada kerajaan New Zealand atas kerjasama dan bantuan yang dihulurkan kepada para mangsa yang terlibat termasuk daripada segi mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan,” menurut baginda.

Muhammad Haziq antara 50 orang yang terbunuh dalam tembakan rambang pada 15 Mac lalu yang dilakukan seorang lelaki pengikut ideologi ketuanan bangsa kulit putih di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch.

Bapa Mohd Haziq, Mohd Tarmizi Shuib, 42, dan dua lagi rakyat Malaysia, Muhammad Nazril Hisham Omar, 46, dan Rahimi Ahmad, 39, turut cedera dalam serangan itu.

– BERNAMA

 

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

ADN bukan Islam berselendang, solidariti insiden Christchurch

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 MAC: Sebagai tanda solidariti terhadap insiden tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu, beberapa Ahli Dewan Negeri wanita bukan Muslim menunjukkan rasa hormat dengan memakai selendang semasa Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS).

Antara mereka yang kelihatan memakai selendang pada Persidangan DNS adalah Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze; ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong, ADN Kampung Tunku, Lim Yi Wei dan ADN Balakong, Wong Siew Ki.

Difahamkan, Kempen “Head Scarf for Harmony” itu diwujudkan selepas wanita di New Zealand takut keluar rumah dengan tudung kepala yang mungkin menjadi sasaran keganasan.

Berdasarkan kempen itu, mereka digalakkan untuk menyebarkan mesej kemanusiaan sejagat dan sebarkan kasih sayang sesama insan di seluruh dunia menerusi poskan gambar atau status di sosial media samada Facebook, Twitter atau Instagram masing-masing.

Terdahulu, insiden penembakan secara rambang itu, berlaku pada 1.40 tengah hari (8.40 pagi waktu Malaysia), Jumaat lalu meragut sekurang-kurangnya 50 nyawa manakala puluhan yang lain cedera.

Tragedi itu turut menyaksikan seorang remaja Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang dilaporkan hilang sebelum ini meninggal dunia dalam insiden tembakan rambang itu.

 

 

Categories
SELANGOR

DNS sebulat suara kutuk serangan di Christchurch

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 MAC: Dewan Negeri Selangor (DNS) sebulat suara meluluskan usul tergempar mengutuk serangan berdarah di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lalu.

Usul tersebut dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang, Saari Sungib di bawah Peraturan Tetap 17(1) dan dibahaskan hampir satu jam oleh empat wakil kerajaan dan seorang wakil pembangkang.

Antara ADN yang mengambil bahagian bagi membahaskan usul tersebut adalah Syamsul Firdaus Mohamed Supri (Taman Medan), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang), Lim Yi Wei (Kampung Tunku), Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru) dan Law Weng San (Banting).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam penggulungannya berkata, tindakan kejam dan melanggar batasan kemanusiaan itu sememangnya satu perlakuan ekstrim serta diluar pemikiran manusia.

“Semua pihak perlu sepakat untuk bersama-sama menolak dan tidak membenarkan unsur-unsur sedemikian berlaku di negeri ini.

“Saya minta agar semua pihak tidak terpengaruh dengan anasir-anasir tersebut yang memberi kesan buruk buat masyarakat,” katanya.

Setakat ini, 50 orang dilaporkan terkorban dalam kejadian tembakan yang berlaku di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand.

Dalam pada itu, Speaker DNS, Ng Suee Lim menggesa Kerajaan Negeri untuk mengukuhkan dasar dan program keharmonian sesama budaya di negeri ini bagi meningkatkan sikap saling menghormati antara satu sama lain.

Katanya, Kerajaan Negeri juga perlu menguruskan fungsi atau peranan institusi surau, masjid dan institusi agama lain di Selangor sebagai medium menyebarkan mesej keamanan serta menghilangkan prejudis terhadap agama dan bangsa lain.

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Rakyat Malaysia cedera dalam tembakan di masjid Christchurch

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Seorang rakyat Malaysia cedera dalam insiden tembakan di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand, hari ini.

Menurut akaun Twitter rasmi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, mangsa kini menerima rawatan di sebuah hospital.

“Seperti yang dilaporkan, terdapat insiden tembakan di sebuah masjid di Christchurch pada pukul 1.40 tengah hari (8.40 pagi waktu Malaysia) hari ini.

“Suruhanjaya Tinggi kini berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai mangsa.

“Setakat ini, seorang rakyat Malaysia disahkan cedera dan kini menerima rawatan di sebuah hospital,” menurut tweet itu.

Satu lagi tweet oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menyebut mangsa kini dalam keadaan stabil dan isterinya sudah dihubungi.

Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi juga meminta rakyat Malaysia yang terjejas dalam insiden itu dan memerlukan bantuan agar menghubungi mereka di talian +64210440188 atau [email protected].

Menurut laporan, polis di New Zealand mengesahkan beberapa kematian dalam insiden tembakan di dua buah masjid di bandar Christchurch.

“Seorang telah ditahan, bagaimanapun polis percaya bahawa mungkin terdapat pesalah lain…. Ini adalah satu insiden yang sedang berlaku dan kami berusaha untuk mengesahkan fakta ini…,” kata Polis New Zealand melalui akaun Twitter.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Rundingan gagal, lebih 3,000 doktor muda mogok

WELLINGTON: Hampir 80 peratus doktor muda yang bertugas di hospital awam New Zealand meninggalkan tugas masing-masing hari ini.

Ia susulan kegagalan rundingan antara kesatuan dengan kerajaan berhubung persekitaran kerja dan gaji.

Mogok itu ternyata menjadi tamparan kepada kerajaan Perdana Menteri, Jacinda Ardern terutama dalam usaha melaksanakan janji untuk menyalurkan dana untuk perkhidmatan sosial dan mengekang kepincangan ekonomi ketika mengambil alih jawatan itu pada 2017.

Pertumbuhan gaji yang lembap dan kos sara hidup melampau dipercayai penyebab pekerja terpaksa bergelut.

Tahun lalu, guru sekolah, jururawat dan pegawai mahkamah bertindak tahun lalu demi untuk menuntut kenaikan gaji.

“Mereka mahu mengawal waktu kerja kami, bagaimana kami bekerja dan dimana kami bekerja,” kata Setiausaha Kesatuan Kebangsaan, Dr Deborah Powell.

“Kami cuba untuk menyelesaikan masalah ini tanpa mengadakan mogok tetapi kami tidak diberi pilihan,” katanya.

Pada awal minggu lalu, lebih daripada 3,300 doktor muda daripada 3,700 yang berkhidmat di hospital kerajaan, meninggalkan tugas di hospital dan klinik sebaik saja rundingan dengan kerajaan tidak menemui jalan penyelesaian.

Persatuan Doktor Residen New Zealand (NZRDA) berkata, rundingan sudah diadakan dengan Lembaga Kesihatan Daerah (DHB) selama lebih daripada satu tahun berhubung terma-terma baharu, yang menetapkan pembayaran untuk kerja lebih masa, hujung minggu dan tugas malam.

Susulan kegagalan rundingan membuatkan kesatuan itu mengisytiharkan mogok selama 48 jam pada 29 dan 30 Januari depan, bertujuan untuk memberi tekanan kepada kerajaan.

– Reuters