Categories
AGENDA NASIONAL

25 rakyat Malaysia dari Nigeria tiba di tanah air

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Seramai 25 rakyat Malaysia di Lagos, Nigeria selamat tiba di tanah air pada jam 9.15 pagi semalam dengan penerbangan repatriasi yang diatur oleh kerajaan negara itu melalui pesawat Air Peace.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata kepulangan kumpulan kedua rakyat Malaysia itu telah dimudah cara oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Nigeria dengan kos pembiayaan penerbangan ditanggung secara persendirian oleh penumpang.

“Pada kesempatan ini, saya bagi pihak kerajaan Malaysia ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan Nigeria yang telah membantu menjayakan kepulangan kumpulan rakyat Malaysia berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, 27 orang rakyat Malaysia di Nigeria telah pulang ke tanah air pada 24 Jun lepas menerusi penerbangan repatriasi anjuran kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut kenyataan itu, pesawat semalam turut dinaiki 67 penumpang dari pelbagai negara yang terkandas di Nigeria sejak penularan pandemik Covid-19 termasuk sembilan warganegara Australia; Brunei (tiga); China (satu); Filipina (tiga); Indonesia (satu) dan Kanada (satu).

Enam warganegara Nigeria serta seorang dari Pakistan; Singapura (1); Taiwan (9) dan 32 warganegara Thailand turut berada dalam pesawat itu yang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan perjalanan pulang ke tanah air masing-masing dengan penerbangan komersial yang dijadualkan.

Dalam kenyataan sama, Kamarudin, yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar, turut memaklumkan seramai 11 pelajar Malaysia dari Khartoum, Sudan telah pulang ke tanah air melalui penerbangan repatriasi Emirates Airlines di KLIA pada jam 3.44 petang ini.

Katanya, kepulangan sekumpulan rakyat Malaysia itu telah dimudah cara oleh Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum dengan kos pembiayaan penerbangan ditanggung secara persendirian oleh penumpang.

Kamarudin berkata Kementerian Luar melalui Perwakilan-Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara akan terus memantau situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang terkesan dengan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 81 rakyat Malaysia, ahli keluarga dari Itali selamat tiba

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Seramai 81 rakyat Malaysia dan tanggungan mereka yang dibawa pulang dari Itali akibat terjejas dengan penularan Covid-19 selamat tiba di negara ini pagi tadi, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Dalam satu kenyataan, Kamarudin berkata pesawat sewa khas AirAsia yang membawa mereka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 pagi.

“Jumlah ini turut merangkumi 34 orang pelajar dan lapan orang pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Rome dan Holy See serta ahli keluarga mereka,” katanya.

Pesawat itu turut membawa seramai 17 orang kru dan tujuh orang penjawat awam iaitu seorang dari Kementerian Luar Negeri, seorang dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan lima orang dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, katanya, setibanya di Malaysia kesemua mereka akan menjalani proses kuarantin di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) selama 14 hari sebagaimana yang ditetapkan oleh KKM.

Kamarudin berkata misi repatriasi ini adalah hasil kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri, NADMA, KKM, Kedutaan Besar Malaysia di Rome dan Holy See serta agensi-agensi lain yang berkaitan.

“Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak NADMA, KKM, Kedutaan Besar Malaysia di Rome dan Holy See serta agensi-agensi lain yang telah memberikan kerjasama yang amat yang baik dalam menjayakan misi ini,” katanya.

Minggu lepas, kerajaan membawa pulang seramai 46 rakyat Malaysia serta sembilan rakyat negara jiran dari Iran menerusi siri ketiga Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) akibat penularan wabak Covid-19.

Dalam dua misi terdahulu kerajaan telah membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas dari Wuhan, China pada 4 dan 26 Februari lepas akibat wabak itu, dengan masing-masing berjumlah 133 dan 66 orang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

189 lagi rakyat Malaysia dibawa pulang dari India

NEW DELHI, 24 MAC: Pesawat yang membawa 189 lagi rakyat Malaysia yang terkandas di India, berlepas dari Chennai dengan penerbangan khas AirAsia pada Selasa.

Satu lagi pesawat sewa khas yang dirancang dari Tiruchirappalli gagal mendapat kelulusan kerajaan India “disebabkan keadaan yang tidak dijangka,” kata konsul jeneral Malaysia di Chennai K. Saravanan.

Seramai 1,726 rakyat Malaysia berada dalam senarai konsulat untuk dipindahkan pada Isnin.

“Konsulat sentiasa memantau keadaan dan kami memberi jaminan kepada rakyat Malaysia yang terkandas, kedua-dua kerajaan sedang bertungkus lumus untuk membawa anda pulang bertemu insan tersayang,” kata Saravanan kepada Bernama.

Kira-kira 400 rakyat Malaysia telah berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi.

Seramai 189 yang dibawa pulang dari Chennai itu termasuk tiga bayi.

Menerusi lima penerbangan khas sejak 18 Mac, seramai 699 rakyat Malaysia dibawa pulang, selepas mereka terkandas akibat larangan penerbangan yang dikuatkuasakan kerajaan India bagi membendung penularan wabak Covid-19.

– BERNAMA