Categories
AGENDA NASIONAL

Lapan jemaah tabligh Malaysia kembali ke tanah air dari India

PUTRAJAYA, 13 JAN: Lapan jemaah tabligh rakyat Malaysia kembali ke tanah air dari New Delhi, India hari ini selepas Mahkamah Tinggi Patna, Bihar membatalkan pertuduhan menyalah guna pas lawatan sosial terhadap mereka.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar dalam satu kenyataan memaklumkan mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3.58 petang ini.

Beliau berkata kepulangan mereka menyaksikan hanya terdapat seorang lagi jemaah tabligh rakyat Malaysia yang masih menunggu keputusan mahkamah berhubung kesnya di Kishanganj, India.

“Kementerian Luar, menerusi Perwakilan Malaysia di New Delhi, India akan terus memantau perkembangan kes ini secara rapat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyelaras usaha membawa pulang ahli jemaah tabligh tersebut selepas pembebasan beliau kelak,” katanya.

Kamarudin, yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar, berkata selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa, kesemua jemaah tabligh yang dibawa pulang ke tanah air akan menjalani kuarantin selama 10 hari di stesen kuarantin yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Kamarudin juga berkata Kementerian Luar telah berjaya membawa pulang 188 daripada 189 ahli jemaah tabligh yang berada di India.

Beliau berkata sebelum ini, 180 ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia telah dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) pada tahun lepas.

Kementerian Luar turut merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang terlibat terutama Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Kementerian Kesihatan atas kerjasama serta komitmen berterusan dalam menjayakan misi membawa pulang ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia di India.

“Kerajaan Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan India yang terus membantu urusan kepulangan mereka,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

20 lagi jemaah tabligh rakyat Malaysia pulang dari India

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Seramai 20 rakyat Malaysia dari New Delhi dan Mumbai, India, yang merupakan kumpulan kelima ahli jemaah tabligh selamat tiba di Malaysia pada 3.40 petang semalam.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar dalam satu kenyataan hari ini berkata dengan kepulangan 20 individu itu, kementerian telah membawa pulang seramai 144 daripada 189 ahli jemaah tabligh yang berada di India.

“Terdapat seramai 45 ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia yang masih berada di India dan sedang menjalani proses perundangan di beberapa wilayah di India iaitu New Delhi, Bihar, Telangana dan Tamil Nadu.

“Kementerian Luar memantau rapat perkembangan ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia di India dan berterusan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terpelihara.

“Kementerian Luar juga akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India dalam usaha memudah cara urusan pulang baki 45 ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini, seramai 124 ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia telah dibawa pulang menerusi empat Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana masing-masing pada 18, 22, 29 Julai dan 26 Ogos 2020.

Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 kementerian itu berkata semua ahli jemaah tabligh yang pulang diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di Stesen Kuarantin sejajar dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang terlibat, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kementerian Kesihatan (KKM) atas kerjasama dalam menjayakan misi ini serta ucapan terima kasih kepada kerajaan India dalam membantu urusan kepulangan rakyat Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kumpulan keempat jemaah tabligh rakyat Malaysia dari India selamat kembali

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Kementerian Luar memaklumkan bahawa kumpulan keempat jemaah tabligh rakyat Malaysia melibatkan sembilan orang yang terkandas di Kolkata, India telah selamat tiba di tanah air menerusi pesawat Air India Express semalam.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata secara keseluruhannya, kementerian telah membawa pulang seramai 124 daripada 189 orang jemaah tabligh yang terkandas di negara itu.

“Seramai 115 orang telah dibawa pulang sebelum ini menerusi tiga Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) masing-masing pada 17, 22 dan 29 Julai lepas.

“Sebagaimana tiga kumpulan itu, mereka yang pulang kali ini juga akan menjalani kuarantin wajib 14 hari di Stesen Kuarantin ditetapkan oleh kerajaan,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata sembilan individu terbabit telah ditempatkan di bawah pengawasan pihak berkuasa tempatan India di Haj House, Kolkata sejak 1 April bagi menjalani kuarantin yang ditetapkan pihak kerajaan negara itu dan tidak dikenakan sebarang pertuduhan.

Kamarudin juga berkata sehingga hari ini, terdapat seramai 65 jemaah tabligh tempatan yang masih berada di India dengan 13 orang di New Delhi kerana menunggu pelepasan dan kebenaran pulang daripada kerajaan negara itu manakala selebihnya sedang menjalani proses perundangan di beberapa wilayah iaitu di Bihar, Jharkand, Telangana, Tamil Nadu dan Maharashtra.

Beliau berkata selaras dengan komitmen kerajaan membantu kumpulan jemaah tabligh yang masih terkandas di negara itu, kementerian menerusi perwakilan Malaysia di India akan terus memantau isu tersebut secara rapat serta memberikan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terpelihara.

“Kementerian juga terus meningkatkan usaha serta jalinan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India dalam usaha memudah cara kepulangan 65 jemaah tabligh rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu dengan segera dan selamat,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

131 rakyat Malaysia terkandas di Yaman tiba di tanah air

PUTRAJAYA, 2 OGOS: Kumpulan pertama rakyat Malaysia seramai 131 orang yang dilaporkan terkandas di Yaman sejak Mac lepas susulan pandemik Covid-19, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat sewaan khas Egypt Air pada 8.34 pagi tadi.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata kumpulan kedua seramai 17 orang pula dijadual tiba esok (3 Ogos) dengan penerbangan komersial Emirates pada jam 12.55 pagi.

Beliau berkata perjalanan kesemua 148 rakyat Malaysia tersebut bermula semalam (1 Ogos) dengan penerbangan dari Seiyoun, Yaman ke Kaherah, Mesir sebelum meneruskan perjalanan dengan dua penerbangan berasingan ke Malaysia.

“Rakyat Malaysia dari Yaman ini terdiri daripada pelajar persendirian yang telah menyatakan hasrat untuk pulang ekoran penularan pandemik Covid-19, serta pelajar yang telah tamat pengajian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kamarudin, yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar, berkata sebelum ini beberapa rancangan repatriasi oleh kerajaan Malaysia untuk membawa pulang kumpulan pelajar tersebut terpaksa ditunda atas sebab isu-isu logistik yang tidak dapat dielakkan.

“Namun demikian, pembukaan semula lapangan terbang dan penyambungan operasi penerbangan komersial oleh kerajaan Yaman membolehkan penerbangan sewaan khas repatriasi ini dilaksanakan. Kos repatriasi ini dibiayai secara bersama antara kerajaan Malaysia dengan penumpang yang rata-rata pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata kesemua rakyat Malaysia yang tiba akan menjalani ujian saringan Covid-19 setibanya di KLIA dan seterusnya dibawa menjalani proses kuarantin di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan untuk pemantauan lanjut.

Ia adalah susulan lanjutan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 21 Julai lepas mengenai prosedur kuarantin wajib selama 14 hari, katanya.

Kamarudin berkata Wisma Putra merakamkan penghargaan kepada kerajaan Yaman dan Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Oman yang membantu dalam usaha kepulangan rakyat Malaysia itu ke tanah air serta kerajaan Mesir di atas kerjasama diberikan dalam menjayakan usaha repatriasi rakyat Malaysia tersebut.

Beliau menegaskan Wisma Putra melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara akan meneruskan pemantauan situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang masih berada di luar negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 47 rakyat Malaysia selamat pulang dari Arab Saudi

PUTRAJAYA, 17 JULAI: Empat puluh tujuh rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik Covid-19 selamat pulang ke tanah air hari ini dari Arab Saudi, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata proses kepulangan mereka dimudah cara oleh Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dengan kos pembiayaan tiket ditanggung sendiri sepenuhnya oleh penumpang.

Kesemua rakyat Malaysia itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.26 tengah hari dari Arab Saudi menerusi penerbangan khas Saudia Airlines.

“Kesemua 47 orang rakyat Malaysia ini diwajibkan untuk menjalani proses saringan kesihatan setibanya mereka di KLIA dan seterusnya menjalani proses kuarantin 14 hari di kediaman masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamarudin berkata Wisma Putra juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi yang telah membantu dalam usaha membawa pulang rakyat Malaysia ke tanah air.

“Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara akan meneruskan pemantauan situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang masih berada di luar negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

25 rakyat Malaysia dari Nigeria tiba di tanah air

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Seramai 25 rakyat Malaysia di Lagos, Nigeria selamat tiba di tanah air pada jam 9.15 pagi semalam dengan penerbangan repatriasi yang diatur oleh kerajaan negara itu melalui pesawat Air Peace.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata kepulangan kumpulan kedua rakyat Malaysia itu telah dimudah cara oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Nigeria dengan kos pembiayaan penerbangan ditanggung secara persendirian oleh penumpang.

“Pada kesempatan ini, saya bagi pihak kerajaan Malaysia ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan Nigeria yang telah membantu menjayakan kepulangan kumpulan rakyat Malaysia berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, 27 orang rakyat Malaysia di Nigeria telah pulang ke tanah air pada 24 Jun lepas menerusi penerbangan repatriasi anjuran kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut kenyataan itu, pesawat semalam turut dinaiki 67 penumpang dari pelbagai negara yang terkandas di Nigeria sejak penularan pandemik Covid-19 termasuk sembilan warganegara Australia; Brunei (tiga); China (satu); Filipina (tiga); Indonesia (satu) dan Kanada (satu).

Enam warganegara Nigeria serta seorang dari Pakistan; Singapura (1); Taiwan (9) dan 32 warganegara Thailand turut berada dalam pesawat itu yang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan perjalanan pulang ke tanah air masing-masing dengan penerbangan komersial yang dijadualkan.

Dalam kenyataan sama, Kamarudin, yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar, turut memaklumkan seramai 11 pelajar Malaysia dari Khartoum, Sudan telah pulang ke tanah air melalui penerbangan repatriasi Emirates Airlines di KLIA pada jam 3.44 petang ini.

Katanya, kepulangan sekumpulan rakyat Malaysia itu telah dimudah cara oleh Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum dengan kos pembiayaan penerbangan ditanggung secara persendirian oleh penumpang.

Kamarudin berkata Kementerian Luar melalui Perwakilan-Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara akan terus memantau situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang terkesan dengan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Hampir 3,000 rakyat Malaysia terkandas di luar negara

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Seramai 2,982 warganegara Malaysia masih terkandas di 55 negara akibat pembatalan penerbangan serta sekatan perjalanan yang dilaksanakan negara tersebut susulan penularan Covid-19.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata setakat ini kementeriannya membawa pulang 2,417 rakyat Malaysia dari 26 negara ke tanah air.

“Ini termasuk dua penerbangan yang tiba hari ini iaitu satu dari Bangladesh dan satu dari Itali yang membawa pulang sejumlah 306 warganegara,” katanya menerusi video yang disiarkan di laman Facebook Wisma Putra, hari ini.

Kamarudin berkata kejayaan membawa pulang rakyat hasil kerjasama perwakilan Malaysia di luar negara dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Kementerian Kesihatan dan syarikat penerbangan MAS dan AirAsia.

Beliau turut menegaskan tiada diskriminasi atau pilih kasih dalam usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

Katanya, kerajaan akan terus berusaha memastikan tiada rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara diabaikan keselamatan, kesihatan serta kebajikan mereka dan kementerian akan terus komited menghulurkan bantuan yang sewajarnya.

Beliau menjelaskan rakyat Malaysia yang terkandas adalah mereka yang kebetulan berada di luar negara bagi tujuan kerja, urusan keluarga atau bercuti atau apa-apa sebab seperti itu.

Kamarudin berkata, mereka mempunyai tiket penerbangan pulang ke Malaysia, namun dibatalkan dan tiada alternatif untuk pulang ke Malaysia disebabkan sekatan perjalanan yang dikuat kuasa negara tuan rumah bagi mengekang penularan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

919 pemandu mabuk ditahan tahun lalu

MELAKA, 21 FEB: Seramai 919 individu ditahan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk pada tahun lepas, meningkat seramai 57 orang berbanding 862 orang pada tahun 2018.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar berkata kerajaan akan meneruskan usaha meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk agar kemalangan jalan raya khususnya yang mengakibatkan kecederaan dan kematian dapat dikurangkan.

Beliau berkata pindaan yang melibatkan kajian pelbagai aspek antaranya hukuman lebih berat dan had kandungan alkohol dalam darah pemandu dijangka dibentangkan di Parlimen pada Jun atau Julai depan.

“Di peringkat kementerian dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta semua yang terlibat dalam urusan meminda undang-undang ini telahpun digerakkan dan terdapat beberapa perkara yang kita kena perincikan.

“Memandu di bawah pengaruh alkohol telah diperketatkan di beberapa negara serta peringkat antarabangsa dan kita berhasrat mengikut standard antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taska JPJ Melaka di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Zamakhshari Hanipah dan Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff.

Sementara itu, Kamarudin berkata sebanyak 795 notis advokasi telah dikeluarkan kepada pemandu kenderaan persendirian yang membawa kanak-kanak tanpa menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam tempoh 1 Januari hingga hari ini.

Beliau berkata notis tersebut akan terus dikeluarkan dalam tempoh enam bulan pertama selepas penggunaannya diwajiblan pada 1 Januari lepas bertujuan memberi nasihat, teguran atau amaran kepada ibu bapa agar menitikberatkan penggunaan CRS dalam kenderaan demi keselamatan anak mereka.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 23 Oktober tahun lepas mengumumkan CRS wajib digunakan dalam kereta persendirian bermula 1 Januari lepas.

Kanak-kanak yang mempunyai ketinggian 135 sentimeter ke bawah diwajibkan menggunakan CRS mengikut tahap ketinggian dan berat berdasarkan Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu R44 dan R129.

Langkah itu susulan statistik yang membimbangkan apabila sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari tahun 2007 hingga 2017.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu kerusi keselamatan kanak-kanak, ambil pendekatan nasihat

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Tindakan penguatkuasaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam setiap kereta persendirian pada 1 Januari depan mengambil pendekatan pendidikan dan nasihat, bukan tindakan keras terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan itu.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran kepada keluarga yang mempunyai bilangan ramai anak kecil sehingga tiada ruang mencukupi bagi memasang kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan mereka.

“Kita sedar keluarga yang ada ramai anak dan tempat duduk tidak boleh memuatkan empat atau lima kerusi dalam kereta. Jadi keluarga besar akan diberi pengecualian jika dalam sebuah kenderaan itu tidak membolehkan CRS dipasang dalam bilangan mengikut jumlah anak.

“Kelonggaran diberikan dalam pelaksanaan ini,” katanya dalam sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kamarudin berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PAKATAN-Rasah) yang mahu kerajaan mempertimbangkan penguatkuasaan CSR kepada keluarga mempunyai ramai anak serta kenderaan yang kecil.

Menjawab soalan asal Kee Chin berhubung justifikasi kerajaan mewajibkan semua kanak-kanak yang ketinggiannya bawah 135 sentimeter (cm) supaya menggunakan CRS, Kamarudin berkata ia direka khas untuk memberi pelindungan kepada kanak-kanak.

Katanya ini kerana mereka mempunyai tubuh badan yang masih di peringkat tumbesaran dengan struktur tulang yang masih belum matang.

Penggunaan CRS akan membolehkan tubuh badan kanak-kanak menahan daya hentaman daripada impak kemalangan dengan lebih sempurna berbanding sekiranya hanya menggunakan tali pinggang keledar sahaja, katanya.

“Had ketinggian 135cm dinyatakan dalam peraturan CRS kerana bagi kanak-kanak yang melebihi ketinggian ini mereka mempunyai saiz tubuh badan yang lebih sesuai untuk menggunakan tali pinggang keledar biasa yang sedia ada dalam keadaan selamat.

“Ini kerana tali pinggang keledar tiga point dalam kenderaan adalah direka untuk penumpang dewasa dengan ketinggian 135 cm ke atas,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pertimbang larang kenderaan berat guna jalan raya semasa cuti serentak

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Kerajaan berkemungkinan akan mempertimbangkan untuk melarang kenderaan berat menggunakan jalan raya pada musim perayaan yang jatuh pada cuti sekolah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kebiasaannya larangan kepada kenderaan berat hanya dikuatkuasakan ketika Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina setiap tahun.

“Hari raya kali ini bersama cuti sekolah maka timbul kesesakan di luar dugaan, mungkin di mana hari perayaan bertembung dengan cuti sekolah, maka larangan (menggunakan jalan raya) kepada kenderaan besar perlu dipertimbangkan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika menghadiri Majlis Ibadah Korban dan Aqiqah di Perumahan Polis Desa Tasik, Sungai Besi di sini, hari ini.

Beliau mengulas kesesakan teruk aliran trafik di beberapa lebuh raya utama semalam ekoran orang ramai pulang ke kampung bersempena cuti sekolah dan sambutan Aidiladha.

Bernama sebelum ini melaporkan Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur yang menjadi laluan utama dari Pantai Barat ke Pantai Timur dijangka merekodkan 1.65 juta kenderaan sempena cuti Hari Raya Aidiladha.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Projek Terusan Kra: Kerajaan hormati keputusan Thailand

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Kerajaan menghormati keputusan Thailand sekiranya negara itu mahu meneruskan projek Terusan Kra (Kra Canal).

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pelaburan untuk membina terusan itu melibatkan khususnya negara Thailand dengan tujuan tertentu dan mesti dihormati.

“Kita anggarkan bahawa kesan negatif kepada pelabuhan Malaysia tidak sangat besar tetapi pelabuhan negara jiran lebih besar (menerima) kesan negatifnya,” katanya pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Negara.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Mohd Suhaimi Abdullah yang ingin tahu respons kerajaan selepas Thailand mengumumkan akan mengkaji semula pembinaan terusan sepanjang 102km itu.

Kamarudin berkata, kerajaan mengikuti perkembangan perkara tersebut dan akan mengambil tindakan selanjutnya sekiranya ia benar-benar dilaksanakan negara jiran itu.

Sementara itu, Kamarudin berkata, pelabuhan-pelabuhan negara menunjukkan kemajuan berdasarkan kepada peningkatan sembilan peratus jumlah kendalian kargo pada suku pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata, prestasi keseluruhan pengendalian kontena bagi pelabuhan Malaysia direkodkan 6,315,457 TEU (Unit Bersamaan Dua Puluh Kaki).

“Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas telah merangka pelan induk perancangan pembangunan masing-masing merangkumi pembesaran serta pemodenan infrastruktur pelabuhan,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, kerajaan menggiatkan usaha untuk memperkukuhkan lagi hubungan strategik dalam industri maritim dengan mengadakan rundingan bersama syarikat perkapalan utama dunia.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jawatankuasa Pilihan mampu atasi pembaziran Kementerian Pertahanan

kamarudin

KUALA LUMPUR 21 OKT : Pakatan Rakyat (PR) mencadangkan penubuhan jawatankuasa pilihan bagi meneliti segala urusan berkenaan pertahanan negara.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata jawatankuasa itu akan dianggotai semua pihak di Dewan Rakyat sama ada kerajaan atau pembangkang bagi meneliti perbelanjaan yang dikeluarkan dan bakal digunakan berkenaan hal ehwal pertahanan.

Katanya, cadangan pembentukan jawatankuasa itu disebabkan Kementerian Pertahanan melakukan perbelanjaan dan pembaziran melampau dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan, baru-baru ini.

“Banyak isu berlaku akhir-akhir ini, khususnya berkenaan pembaziran dan penyelewengan di Kementerian Pertahanan.

“Semua ini dapat dilihat dalam kes perbelanjaan kementerian itu membabitkan pembelian senjata, kapal selam dan kehilangan enjit jet pejuang,” katanya pada sidang media pembentangan Belanjawan Alternatif 2014, di Parlimen, hari ini.

Pada masa sama, Kamarudin berkata, PR turut mencadangkan supaya Skim Insurans Petani Nelayan dan Penternak (SIPNP) diwujudkan membabitkan peruntukan RM30 juta untuk memberi perlindungan komprehensif kepada golongan luar bandar yang mempunyai pelbagai masalah, selain kejadian luar jangkaan.

Katanya, skim berkenaan meliputi pembiayaan antara kerajaan dengan nelayan dan petani yang dianggarkan mampu memberi manfaat kepada lebih 700,000 orang.

“PR juga mencadangkan supaya Orang Kelainan Upaya (OKU) berpendapatan bawah RM1,200 sebulan dibantu melalui satu program khas bagi mengurangkan beban yang dihadapi mereka,” katanya. -NFN-