Categories
AGENDA NASIONAL

Kerjasama rakyat penentu kejayaan putus rantaian Covid-19

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Semalam, genap seminggu tiada kematian direkodkan untuk kes Covid-19 di negara ini, manakala jumlah pesakit sembuh pula mencatatkan hampir sembilan kali ganda berbanding 10 kes positif baharu virus itu.

Ia merupakan angka terendah direkodkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan sekali gus menjadi pentunjuk langkah dilakukan kerajaan sebelum ini berada di landasan yang tepat.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pada masa yang sama trend penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat setempat juga semakin berkurangan.

Dalam hal ini, selain petugas barisan hadapan yang tidak jemu memerah keringat dan berkorban masa, penghargaan juga harus diberikan kepada rakyat yang patuh kepada nasihat dan tatacara oeperasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Tanpa kerjasama dan pematuhan ini, perkara ini tidak mungkin dapat dicapai.

Walaupun tidak dinafikan ada segelintir rakyat yang degil dengan melanggar SOP PKPB, ibarat sebuah keluarga, kadangkala ada anak yang taat pada orang tua, kadangkala ada anak yang ‘nakal’ menyebabkan mereka terpaksa dihukum untuk memberikan pengajaran.

Jika bilangan ‘anak yang nakal’ ini terlalu ramai, tentu kerajaan akan menghadapi masalah untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Lihat sahaja keadaan yang berlaku di negara jiran, Indonesia apabila barisan petugas kesihatan kini mula berputus asa kerana semakin ramai rakyat tidak mengendahkan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) yang dikeluarkan oleh kerajaan Indonesia sejak 15 Mac lepas.

Ia menyebabkan bilangan kes positif Covid-19 telah melebihi 23,000.

Tanda pagar #Indonesiaterserah juga menjadi sohor kini (trending) di media sosial dengan warganet Indonesia memberi komen, sindiran, dan menggunakan ‘meme’ sebagai tanda tidak puas hati kepada mereka yang tidak endah kepada arahan PSBB.

Sudah tentu kita tidak ingin perkara ini terjadi di negara kita, seperti kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pematuhan PKPB oleh masyarakat akan meringankan beban tugas petugas barisan hadapan dan ia penting untuk kerajaan merangka ‘exit plan’ sebelum PKPB ditamatkan.

– BERNAMA