Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kaji selidik: Lebih ramai cari kerja baharu 12 bulan ini

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Randstad menerusi kaji selidiknya “The 2020 Covid-19 Labour Pulse Survey” mendedahkan lebih satu daripada dua responden tempatan (58 peratus) menyatakan hasrat untuk mencari pekerjaan dalam tempoh 12 bulan ini.

Peneraju global dalam industri perkhidmatan Sumber Manusia ini menjalankan kaji selidik ke atas 531 pekerja dalam negara antara 26 Jun, 2020 dan 5 Julai, 2020, untuk memahami sentimen tenaga kerja tempatan mengenai pasaran pekerjaan tahun ini dan cabaran serta pengalaman pencari kerja setakat ini.

Kaji selidik itu turut mendapati daripada 58 peratus responden, 24 peratus berhasrat menukar kerjaya atau industri yang mereka ceburi; 13 peratus menyatakan kemahiran dan pengalaman mereka tidak lagi memenuhi keperluan kerja semasa dan 15 peratus pula menyebut mereka telah diberhentikan.

Selebihnya pula memberikan alasan berkaitan gaji untuk mereka menukar majikan, dengan 26 peratus responden melaporkan mengambil pengurangan gaji atau pembekuan gaji, sama ada untuk tempoh selamanya atau untuk sementara; 24 peratus pula tidak puas hati dengan gaji mereka sekarang.

Selain itu, 72 peratus daripada semua responden bersedia untuk mengambil kerja secara kontrak profesional atau berasaskan projek dalam keadaan pasaran buruh semasa.

Dan daripada 28 peratus yang tidak cenderung kepada kerja secara kontrak, 70 peratus memberi contoh kekurangan keselamatan dan kestabilan kerja sebagai alasan mengapa mereka lebih rela menunggu tawaran kerja tetap.

Sementara itu Pengarah Urusan Randstad (Malaysia dan Singapura) Jaya Dass berkata pandemik Covid-19 menyaksikan syarikat melabur dalam membina infrastruktur dan rangkaian digital, yang menjurus kepada sejumlah besar pekerjaan didigitalkan atau dipindahkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PETRONAS majikan paling menarik 2019

SHAH ALAM, 22 OGOS: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) sekali lagi dinobatkan sebagai pemenang anugerah Majikan Paling Menarik 2019 di Malaysia oleh agensi pengambilan pekerjaan utama dunia, Randstad.

Syarikat minyak dan gas nasional itu mengatasi dua syarikat multinasional lain iaitu Shell Malaysia yang berada di kedudukan kedua dan Nestlé (Malaysia) Bhd (ketiga).

Ketiga-tiga syarikat berkenaan menerima skor daya tarikan tertinggi dalam Penyelidikan Jenama Majikan, yang dipilih daripada 75 syarikat komersial terbesar di Malaysia berdasarkan saiz tenaga kerja.

Pengarah Urusan Randstad Malaysia dan Singapura, Jaya Dass dalam kenyataan mengucapkan tahniah kepada pemenang atas usaha cemerlang mereka mewujudkan jenama majikan yang kukuh, di sebalik pasaran yang semakin dinamik dan kompetitif.

“Apabila syarikat memupuk tempat kerja yang memberi inspirasi dan kuasa kepada kakitangan untuk berbangga dengan setiap pekerjaan dilakukan, maka pengalaman mereka akan lebih berharga.

“Kami (Randstad) berharap dapat melihat lebih banyak syarikat memberi tumpuan kepada pengukuhan jenama majikan mereka untuk meningkatkan kualiti hubungan dengan pekerja,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Kumpulan Pengurusan Sumber Manusia PETRONAS, Datuk Raiha Azni Abd Rahman berkata, syarikat itu sentiasa menghargai dan komited memberi pengalaman positif kepada kakitangannya.

“Program pembangunan kepimpinan dan keupayaan PETRONAS yang terkemuka menawarkan peluang pertumbuhan kerjaya kepada pekerja kami di seluruh dunia dan terbukti menghasilkan bakat terbaik.

“Kami terus memupuk persekitaran tempat kerja yang kondusif untuk pekerja, termasuk pelaksanaan pengaturan kerja yang fleksibel, reka bentuk semula tempat kerja, meningkatkan faedah dan penggunaan teknologi digital,” katanya.

Berikut adalah 10 Majikan Paling Menarik 2019 di Malaysia:

1. Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS)
2. Shell Malaysia
3. Nestlé (Malaysia) Berhad
4. Intel Malaysia Sdn. Bhd.
5. Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn. Bhd.
6. AirAsia Berhad
7. IBM Malaysia Sdn. Bhd.
8. Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd.
9. Sime Darby Berhad
10. Sony EMCS (Malaysia) Sdn. Bhd.