Categories
NASIONAL

Kerjasama kementerian, RBA basmi buruh paksa

GEORGE TOWN, 12 FEB: Kementerian Sumber Manusia akan bekerjasama dengan sebuah yayasan global dari Amerika Syarikat untuk menangani isu berkaitan buruh paksa dalam negara.

Menterinya, M Kula Segaran berkata, kerjasama dengan Yayasan Perikatan Perniagaan Bertanggungjawab (RBA) yang ditubuhkan untuk menyokong hak pekerja secara global itu akan dapat menaikkan imej Malaysia selain membawa kesan ekonomi yang positif.

“Kita hendak (menaikkan imej negara dalam) memerangi buruh paksa sehingga ke akar umbi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Serantau RBA Mengenai Buruh Paksa 2019 di sini, hari ini.

Katanya, negara maju sering melaksanakan sekatan ke atas barangan dikeluarkan negara yang didapati mengamalkan buruh paksa dan ia sekali gus boleh menjejaskan perkembangan ekonomi.

“Jika negara kita didapati terbabit dalam elemen buruh paksa ini, maka ia akan menjejaskan ekonomi negara untuk jangka masa panjang,” katanya.

*Sumber: BERNAMA