Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Negeri imbangi pembangunan, kelestarian alam sekitar

SHAH ALAM, 1 MAC: Kerajaan Selangor memandang serius perancangan dan pembangunan yang dilaksana di negeri ini dengan mengambil kira dampak terhadap alam sekitar.

Dato’ Menteri Besar berkata kedua-dua aspek itu harus seimbang dan diberi perhatian bagi mewujudkan amalan gaya hidup hijau sekali gus mengurangkan pembebasan karbon.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan inisiatif itu juga mampu mempercepat transformasi untuk menjadikan Selangor sebagai negeri rendah karbon.

“Kita sentiasa mengambil berat setiap pelaksanaan pembangunan yang dilihat dapat memberi impak kepada masyarakat sekeliling.

“Pihak berkuasa tempatan dan swasta perlu berperanan menentukan corak pembangunan mengambil kira aspek keperluan fizikal, ekonomi, sosial serta ekosistem kondusif,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Reka Bentuk Cadangan Pembangunan Kompleks Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Komponen Komersial di Pusat Konvensyen Shah Alam dekat sini hari ini.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Dalam majlis itu, Amirudin turut menyampaikan hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi dan sijil kepada AJC Planning Consultants Sdn Bhd selaku juara pertandingan yang dianjurkan November lalu.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik inisiatif PNSB yang meneroka dan mengenal pasti mercu tanda ikonik di Seksyen 5 di sini untuk menempatkan pejabat anak syarikat negeri serta pusat komersial.

“Lokasi yang strategik menjadi satu pembaharu inovatif sekali gus melonjakkan status bandaraya Shah Alam ke arah lebih sistematik, terkini dan efisien,” kata Amirudin lagi.

 

Categories
PBT SELANGOR

MDHS anjur seminar pengurusan tenaga, capai misi rendah karbon

SHAH ALAM, 27 NOV: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) pada Selasa menganjurkan Seminar Kesedaran Kepentingan Pengurusan Tenaga bagi mencapai misi bandar rendah karbon menjelang 2035.

Yang Dipertuanya Dr Mohd Azhar Mohamed Ali berkata program anjuran Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia berlangsung secara dalam talian dan disertai 50 kakitangan.

“Seminar bertujuan menjadikan MDHS sebagai organisasi mengamalkan pengurusan tenaga lestari dengan langkah tepat melalui budaya berhemah, penyelenggaraan dan penggunaan peralatan cekap tenaga,” katanya dalam kenyataan pada 24 November.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan itu antara yang tersenarai menyertai Projek Rintis My Relamp dalam pelaksanaan Cabaran Rendah Karbon 2030.

Mohd Azhar berkata projek tersebut membabitkan penukaran lampu biasa kepada cekap tenaga bagi mengurangkan intensiti pelepasan karbon seluruh negara.

“Ia selaras komitmen kerajaan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 45 peratus menjelang 2030,” katanya lagi.