Categories
PBT SELANGOR

MDKL tingkat kawalan keselamatan sepanjang RGG’19

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 12 APRIL: Majlis Daerah Kuala langat (MDKL) akan meningkatkan kawalan keselamatan sepanjang berlangsung Retromania Grand Gathering (RGG’19), di Dataran Pantai Morib, bermula Sabtu hingga Ahad ini.

Yang Dipertuanya, Mohammad Zain A Hamid berkata, pihaknya sudah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan pihak penguat kuasa bagi memastikan tahap keselamatan berada pada tahap terbaik, khususnya penunggang motosikal.

“Kita harap pengunjung yang datang dapat menunggang motosikal dengan baik kerana masyarakat menilai dan kita mahu mengubah perspektif umum terhadap ‘mat motor’ yang dikatakan selalu melanggar peraturan.

“Walaupun kita faham akan ada ramai penunggang berkelakuan tidak sopan, tetapi inilah masanya untuk tunjukkan kepada masyarakat bahawa kita adalah penunggang yang baik.

“Kali ini perlu buktikan bahawa kita adalah masyarakat bertamadun dan dapat menunggang dengan baik walaupun secara berkumpulan,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi mengelakkan masalah kesesakan lalu lintas di sekitar daerah berkenaan, Mohammad Zain berkata, pengunjung diingatkan supaya meletakkan kenderaan di sepanjang jalan ke Pantai Morib.

“Kita mahu memastikan masyarakat menilai program ini dengan baik tanpa ada tanggapan serong, jadi sikap kita sendiri perlu dijaga sebaiknya mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

RGG’19: Lebih 25,000 dijangka banjiri Dataran Pantai Morib

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 12 APRIL: Lebih 25,000 pengunjung dijangka membanjiri Dataran Pantai Morib sempena acara himpunan motosikal terbesar, Retromania Grand Gathering (RGG’19), pada 13 dan 14 April ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohammad Zain A Hamid berkata, sasaran itu berdasarkan sambutan luar jangkaan diterima pihaknya melalui siri penganjuran terdahulu.

“Kita akan dapat melihat penyertaan besar kali ini kerana kita sudah menggiatkan promosi acara di seluruh semenanjung Malaysia beberapa minggu lalu, maka impak yang kita harapkan adalah daripada segi kedatangan pengunjung.

“Saya yakin kedatangan pengunjung bukan sahaja dalam kalangan penunggang motosikal dari seluruh Malaysia, malahan penunggang dari luar negara yang bersedia untuk bersama memeriahkan acara selama dua hari ini,” katanya kepada SelangorKini.

Difahamkan, terdapat penyertaan dari Singapura, Thailand dan Sarawak dijangka tiba di Pantai Morib malam ini bersama jentera dua roda untuk membuat persiapan menjelang acara besar-besaran itu.

Pada masa sama, Mohammad Zain berkata, pengunjung diingatkan supaya menitikberatkan aspek kebersihan sepanjang dua hari RGG berlangsung bagi memastikan kebersihan di sekitar Pantai Morib berada dalam keadaan terkawal tanpa dicemari sampah-sarap.

“Selama ini, kita menerima banyak komen daripada orang ramai berkaitan kebersihan, jadi kali ini kita akan menerapkan unsur kebersihan dalam bentuk praktikal supaya masyarakat sedar isu itu.

“Pantai Morib adalah pantai yang sentiasa dijaga, bahkan sentiasa memenangi pengiktirafan daripada aspek kebersihan dan keceriaan selain dijadikan sebagai pantai rekreasi yang menjadi kunjungan ramai,” katanya.

Pernah mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebanyak dua kali, RGG’19 bakal mengetengahkan tema ‘Gila-Gila Zaman Remaja’ adaptasi daripada filem Gila-Gila Remaja.

Pelakon, Faizal Hussein yang popular dengan gelaran ‘Azroy’ dalam filem berkenaan juga akan tampil di pentas RGG.

Categories
SELANGOR

Faizal Hussein kembali gegar Retromania Grand Gathering 2019

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

IPOH, 29 MAC: Pernah menjadi kegilaan ramai wanita sekitar 1985 melalui filem Gila-Gila Remaja, pelakon Faizal Hussein akan kembali di pentas Retromania Grand Gathering 2019 (RGG’19), pada 13 dan 14 April ini, di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat.

Kehadiran pelakon yang pernah menjayakan watak utama sebagai ‘Azroy’ dalam filem itu seakan menyingkap semula nostalgia nashkah arahan Hussein Abu Hassan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Zain A Hamid berkata, selaku penganjur, pihaknya mendapat kerjasama erat daripada pelakon yang memiliki gaya ‘rambut ekor’ sehingga menjadi ikutan golongan remaja sewaktu filem terbabit ditayangkan.

Katanya, pemilihan Faizal juga bersesuaian dengan tema acara yang memasuki edisi ketujuh iaitu ‘Gila-Gila Remaja’.

“Bagi menjadikan penganjuran kali ini lebih meriah dan sentiasa ada kelainan konsep daripada acara terdahulu, kita akan bersama dengan Faizal dalam program itu nanti.

“Orang ramai yang masih terngiang dengan dialog popular ‘Roy, Roy.. Hati Kau Keras… Selalu Berkorban Untuk Orang Lain’, saya menjemput supaya dapat bersama membanjiri Pantai Morib,” katanya.

Memulakan langkah di pentas lakonan sejak 1982 menerusi filem Senja Merah, nama Faizal melonjak naik selepas membintangi watak utama dalam filem Gila-Gila Remaja.

Antara yang turut membintangi filem itu ialah Rosyam Nor, Rehana Yassin, Hussein Abu Hassan, dan Mahyon Ismail.

Filem terbitan Shah Film Productions itu memaparkan tentang seorang lelaki yang jatuh
cinta pada seorang pelajar baru bernama Suziana (Rehana Yassin) atau lebih mesra dengan panggilan Suzi dalam kalangan teman dan keluarga.

 

Categories
PBT SELANGOR

RGG’19: Deruman enjin motosikal gegar kediaman YDP Machang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

MACHANG, 27 MAC: Deruman enjin pelbagai jenis motosikal berkuasa tinggi oleh peserta konvoi Jelajah Semenanjung Malaysia memecah kesunyian dan menggegarkan perkarangan kediaman rasmi Yang Dipertua Majlis Daerah Machang (MDM), hari ini.

Ketibaan konvoi diketuai Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Zain A Hamid sekitar 10 pagi itu disambut mesra Yang Dipertua MDM, Ibrahim Bakri Mat Deris, bersama beberapa pengurusan tertinggi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.

Aneka jenama merangkumi pelbagai jenis model motosikal menyertai konvoi itu antaranya BMW-R1200GS, Kawasaki Versys 650, BMW RY1000, Kawasaki Z-800 dan Kawasaki Z-1000.

Machang, salah sebuah daerah di negeri Cik Siti Wan Kembang menjadi ‘pit stop’ kelima selepas Port Dickson, Alor Gajah, Kulai dan Marang, dalam konvoi yang bermula sejak Isnin lalu.

Terdahulu, konvoi anjuran MDKL disertai kira-kira 30 penunggang motosikal yang bergabung tenaga bagi memperhebatkan promosi sempena acara Retromania Grand Gathering 2019 (RGG19), pada 13 dan April ini.

Ibrahim ketika ditemui berkata, inisiatif penganjuran acara terulung yang akan menghimpunkan semua peminat motosikal dari seluruh negara itu menjadi inspirasi kepada pihaknya untuk melaksanakan program seumpama itu, pada masa akan datang.

Katanya, percaturan cukup baik dibuat MDKL dalam memastikan edisi ketujuh penganjurannya tahun ini berjalan dengan jayanya melalui promosi yang dipergiatkan di beberapa PBT di semenanjung Malaysia.

“Syabas kepada RGG’19 Kuala Langat kerana dapat mengadakan program seperti ini di Dataran Pantai Morib, April nanti.

“Program ini tidak akan terlaksana jika tidak dirancang dengan baik dan teliti tetapi saya percaya MDKL dapat melaksanakannya dengan baik,“ katanya.

Pada masa sama, bahan kempen RGG’19 seperti sijil, plak, cakera padat (CD), poster dan gegantung turut diserahkan kepada MDM sebagai medium promosi untuk menarik lebih ramai penyertaan dalam kalangan masyarakat di Kelantan, khasnya Machang.

Categories
PBT SELANGOR

RGG19: MDM & MDKL komited pertingkat kerjasama

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

MARANG, 27 MAC: Kunjungan istimewa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) ke Majlis Daerah Marang (MDM) dalam menjalin kerjasama mempergiat promosi Retromania Grand Gathering 2019 (RGG19) diharap terus dipertingkatkan, pada masa akan datang.

Yang Dipertua MDM, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Terengganu, pihaknya komited menjayakan apa jua bentuk program yang mampu memberi kesan positif terhadap kedua-dua pihak.

Katanya, hubungan erat antara kedua-dua PBT itu disifatkan wajar terutama dalam memartabat dan membangunkan industri pelancongan yang tersedia.

“Misalnya, acara RGG19 yang dipromosi MDKL ini mampu menarik minat kumpulan permotoran yang ramai dianggotai anak muda pada masa sekarang.

“Justeru, kami cuba memenuhi jemputan RGG19 dan akan menunjukkan ukhwah yang ada boleh dirapatkan melalui jemputan seumpama ini.

“Kami akan ke Kuala Langat untuk melawat daerah itu selain meneroka apa yang terdapat di sana,” katanya ketika ditemui selepas sesi penyerahan bahan promosi RGG19 sempena Jelajah Semenanjung Malaysia MDKL, di Bilik Mesyuarat MDM, di sini, semalam.

Sementara itu, katanya, MDKL juga boleh menggalas peranan sama dengan mempromosi daerah Marang yang diakui terkenal dengan destinasi pelancongan bagi menarik pengunjung tempatan mahupun luar negeri.

Terdahulu, penyerahan bahan promosi berbentuk sijil dan plak itu diserahkan Yang Dipertua (YDP) MDKL, Mohd Zain A Hamid kepada beliau.

Antara bahan promosi lain turut diserahkan ialah cakera padat (CD), poster, flyer dan bunting sebagai saluran hebahan kepada umum.

Turut hadir, Penolong Jurutera Kanan MDM merangkap Presiden MDM Bikers Motor Club, Mohd Saffian Draman.