Categories
SELANGOR

MPK Lancar Operasi Tunda Atasi Kesesakan

KLANG 6 SEPT: Bagi mengatasi masalah kesesakan di bandar Klang, Majlis Perbandaran Klang(MPK) menjalankan operasi zon tunda hari ini.

Selain mengatasi kesesakan ia juga bertujuan mendidik masyarakat supaya lebih berdisiplin terutama dalam aspek meletekkan kenderaan di tempat yang sesuai tanpa perlu mengganggu perjalanan trafik.

Pembantu Penguatkuasa Kanan MPK, Rizal Md Yusof berkata sebelum ini terdapat banyak rungutan daripada orang awam mengenai kesesakkan di Jalan Tengku Kenanga ekoran sikap pemilik kereta yang meletakkan kenderaan bertindih di jalan utama.

Menurutnya, dari Mac sehingga Ogos tahun ini, sebanyak 269 buah kenderaan ditunda.

“Alhamdulillah operasi berjalan dengan berjaya di mana sedikit sebanyak mendidik masyarakat dan melancarkan perjalanan trafik di kawasan Klang.

“Petugas kita menjalankan tugas dengan baik, tidak ada sebarang kecacatan dan kerosakan pada objek yang ditunda.

“Kereta yang ditunda kita simpan di kawasan berpagar dan selamat serta dikawal 24 jam. Setakat ini masalah (rungutan) itu tiada,” katanya.

MPK menyediakan 300 ruang tempat letak kereta di hadapan Padang Ceti memandangkan Jalan Tengku Kelana menjadi tumpuan pengunjung membeli belah.

Jelas beliau, orang awam banyak membantu MPK terutama dalam urusan makluman kepada pemilik bahawa kenderaan mereka ditunda pihak MPK.

Selain kompaun, MPK turut bekerjasama dengan balai polis berhampiran bagi memudahkan urusan pemilik mengesan kenderaan mereka semula.

Kenderaan yang ditunda dikenakan saman dan denda maksimum RM300 manakala upah kos tundaaan pada kadar RM100. Menurut Rizal, kadar RM300 tersebut bergantung kepada budi bicara pengarah undang-undang.

Dalam pada itu, orang awam yang ditemui menyambut baik langkah MPK yang dilihat sebagai satu usaha melancarkan lagi perjalanan trafik di Klang.

R. Kalimuthu, 59, berkata, operasi sebegini perlu dilakukan lebih kerap dan berterusan memandangkan terdapat banyak tempat letak kereta awam yang disediakan.

“Jalan Tengku Kelana selalu sesak. Tempat letak kereta banyak tapi siang hari parkir bertindih.

“Tempat letak kereta awam disediakan dengan kemudahan meter dengan kadar RM0.50 sejam. Kalau ada lebih masa, resit masih boleh digunakan di tempat lain,” ujar beliau lagi.