Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Sabitan Akta Perhimpunan Aman tidak wajar – Nik Nazmi

nik-nazmi batik 01(KENYATAAN MEDIA) Tindakan mensabitkan Setiausaha Pengelola KEADILAN Johor, di bawah Akta Perhimpunan Aman ialah sesuatu yang amat memalukan terhadap usaha negara melindungi hak asasi manusia.

Ini merupakan suatu penghinaan terhadap hak asasi rakyat untuk berhimpun sebagaimana terjamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Denda sebanyak RM6,000 atau penjara 3 bulan ialah suatu hukuman yang terlalu berat hanya di atas kegagalan memberikan notis 10 hari kepada pihak berkuasa.

Tempoh notis ini tidak munasabah sebagaimana pernah disuarakan oleh Majlis Peguam. Pihak berkuasa tidak memerlukan 10 hari untuk mengawal trafik atau mengawal orang ramai memandangkan itu adalah objektif notis.

Selain daripada itu, banyak demonstrasi dan perhimpunan pro-kerajaan yang dibuat tanpa mematuhi tempoh notis 10 hari tetapi tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa mahupun pihak penganjur didakwa.

Pada masa yang sama, ramai pimpinan pembangkang dan aktivis Pakatan termasuk saya sendiri didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman kerana melanggar peruntukan ini. Jelas sekali ini merupakan pendakwaan terpilih oleh pihak berkuasa.

Ini sesuai dengan corak kerajaan yang semakin menghakis ruang demokrasi dengan memperkenalkan pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah dengan membawa balik penahanan sehingga 2 tahun tanpa pendakwaan atau perbicaraan.

Jelas sekali, dakwaan Najib Razak bahawa beliau menginginkan rekonsiliasi nasional hanyalah kata-kata kosong semata-mata. Beliau meneruskan dasar lapuk UMNO-BN yang telah ditolak majoriti rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Nik Nazmi Nik Ahmad
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia