Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tahan pegawai SPRM, bantu siasatan kes rompak berkumpulan

PUTRAJAYA, 12 DIS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan seorang pegawainya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes rompakan secara berkumpulan di ibu negara, Jumaat lepas.

SPRM dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis untuk mengesan pegawai terbabit dan menyerahkannya kepada agensi penguat kuasa itu, petang semalam.

SPRM menegaskan bahawa pihaknya tidak berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dengan sebarang perlakuan jenayah.

“Tindakan tegas termasuk pertuduhan di mahkamah dan tindakan tatatertib dengan hukuman buang kerja akan dikenakan jika terlibat,” menurut kenyataan itu.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan dua individu termasuk seorang pegawai sebuah agensi penguat kuasa ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes rompakan secara berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, yang membabitkan kerugian hampir RM1 juta.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kedai emas rugi RM700,000 dirompak empat lelaki

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Sebuah kedai emas di pasar raya di Bandar Seri Putra, Bangi dekat sini kerugian kira-kira RM700,000 selepas dirompak empat lelaki malam tadi.

Ketika kejadian, tiga pekerja dan enam pelanggan termasuk seorang kanak-kanak berada di premis itu sebelum didatangi empat lelaki bertopi keledar dan bersenjatakan tukul besi dan objek menyerupai pistol.

“Seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas gagal berbuat apa-apa kerana diacu objek menyerupai pistol oleh suspek,” kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Sabri Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Polis menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 8.44 malam.

Mohd Sabri berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian yang berlaku dalam tempoh lima minit itu membabitkan empat suspek termasuk seorang yang berkawal di luar.

“Semua suspek dilihat menggunakan laluan pintu utama untuk masuk dan keluar dari pasar raya tersebut,” katanya sambil menambah semua pekerja dan pelanggan berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 019-2714100.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kedai emas dipecah masuk, pemilik rugi RM5 juta

 

SHAH ALAM, 10 Jun : Pemilik sebuah kedai emas di sini kerugian kira-kira RM5 juta apabila kedainya dipecah masuk oleh sekumpulan penjenayah pada awal pagi Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata bagaimanapun kejadian hanya disedari oleh pemilik kedai berkenaan pada kira-kira pukul 10 pagi tadi apabila hendak memulakan operasinya selepas kedai itu ditutup selama seminggu sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Melalui siasatan awal, kami percaya kejadian berlaku pada antara pukul 2 pagi hingga 6 pagi Jumaat lepas, kegiatan ini dipercayai dilakukan oleh lebih dari dua orang penjenayah profesional.

Penjenayah dipercayai memasuki kedai in melalui saluran angin di belakang kedai sebelum memecah masuk pintu bilik kebal dan memecah empat buah peti besi yang mengandungi barang kemas, jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM5 juta,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di Seksyen 7 di sini hari ini.

Beliau berkata penjenayah dipercayai menggunakan mesin pemotong besi bagi menebuk pintu bilik kebal dan peti besi.

Kata Baharudin lagi, penjenayah berkenaan turut bertindak melarikan alat perakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kedai berkenaan yang baharu memulakan operasinya pada Januari tahun ini.

“Kita (polis) akan mengambil rakaman CCTV dari kedai-kedai bersebelahan untuk membantu dalam siasatan ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. -BERNAMA