Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Dari pondok buang perabot kini jadi lokasi rehat, rewang penduduk

AMPANG, 5 SEPT: Inisiatif ruang komunal diperkenal Kerajaan Negeri bagi meningkatkan keselesaan penghuni pangsapuri kos rendah, mengubah wajah pondok pembuangan perabot di Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya di sini.

Jika dahulu fungsinya hanya untuk membuang perabot usang, namun kini penduduk boleh berehat sambil membaca buku di ruang dihiasi dengan deretan bunga ditanam penghuni.

Turut disediakan ruang memasak digunakan ketika ada majlis bagi menghidupkan suasana gotong royong atau rewang seperti di kampung.

Pengerusi jawatankuasa mengurus komunitinya Budiman Taib berkata penduduk berterima kasih dengan Kerajaan Selangor yang membantu penduduk menyediakan ruang komunal itu.

Menurutnya, usaha itu menceriakan pangsapuri yang sudah berusia 15 tahun dan menyediakan ruang berehat serta bersosial bersama jiran.

Pengerusi JMC Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya, Budiman Taib

“Kami juga dapat menghidupkan aktiviti mengeratkan hubungan, contohnya penduduk berkumpul di situ untuk rewang memasak apabila ada majlis seperti perkahwinan.

“Walapun tinggal di kediaman bertingkat namun kami juga boleh jalankan aktiviti bermasyarakat seperti biasa dengan adanya ruang komunal itu,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian ruang komunal

Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya disempurnakan EXCO Perumahan Rodziah Ismail.

Ruang yang dinaik taraf dengan kos RM15,000 itu dilaksana secara gotong royong oleh penduduk dan wakil Universiti Kebangsaan Malaysia.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Enam ruang komunal siap, sedia laman rehat penghuni rumah kos rendah

AMPANG, 4 SEPT: Enam projek perintis ruang komunal di lapan pangsapuri kos rendah berjaya disiapkan dan memanfaatkan penghuni untuk berehat, kata EXCO perumahan.

Rodziah Ismail berkata perumahan terbabit di Pangsapuri PKNS PJS 2, Petaling Jaya; Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya dan Pangsapuri Sri Impian, Ampang, Ampang serta Pangsapuri Selayang Mulia, Selayang.

Dua lagi di Pangsapuri Kos Rendah Bukit Hatamas, Cheras, Hulu Langat dan Pangsapuri Belimbing Cempaka, Seri Kembangan.

Menurut Rodziah, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM15,000 bagi setiap kawasan dan bekerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang memberi cadangan meningkatkan keceriaan ruang terbabit.

“Seperti di Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya, kita memilih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bergotong royong dengan penduduk untuk menjayakan projek ini.

“Selepas ini mereka akan buat kajian dari segi elemen sosial dan emosi penduduk, bagaimana ruang berkenaan dapat membantu,” katanya selepas merasmikan ruang komunal Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya di sini, hari ini.

Rodziah berharap inisiatif itu dapat dilaksana di semua perumahan kos rendah bagi membolehkan penghuninya menikmati kehidupan lebih baik dengan ada ruang berehat dan berkumpul.

“Kerajaan Negeri bukan hanya mahu menyediakan perumahan selesa dan mencukupi tetapi juga kualiti hidup baik dengan memberi elemen seperti keseronokan,” katanya.