Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

RUsSEL: Conteng mural pemimpin tindakan biadab, tiada hormat

SHAH ALAM, 20 JULAI: Rumah Seni Selangor (RUsSEL) menyifatkan perbuatan menconteng mural wajah pemimpin negara pada dinding sebuah bangunan di U12 di sini sebagai biadab dan tiada hormat.

RUsSEL dalam kenyataan mengecam perbuatan vandalisme itu yang dianggap mencabul karya seni dan ruang awam.

“Dikhabarkan bahawa lukisan mural yang memaparkan wajah beberapa tokoh pemimpin pada dinding bangunan di U12 dirosakkan oleh pelaku musnah.

“Ini biadab dan tiada hormat. RUsSEL mengecam perbuatan yang mencabul seni dan ruang awam ini,” katanya.

Sementara itu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menghargai karya seni pelukis tempatan turut menzahirkan rasa murka dan dukacita dengan perbuatan vandalisme tersebut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin yang mengecam sekeras-kerasnya perbuatan itu menggesa Majlis Bandaraya Shah Alam dan polis bekerjasama menyiasat serta memastikan pesalah dikenakan tindakan sewajarnya.

Mural tersebut memaparkan wajah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketua pengarah kesihatan.

Turut dipaparkan dalam barisan itu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Potret tersebut dilukis oleh Muhammad Suhaimi Ali, 27; Muhamad Firdaus Nordin, 26 dan Abdul Hadi Ramli, 27.

Categories
AGENSI SELANGOR

Seni Amal SENI-KOV19 ajak pencinta seni beli sambil beramal

SHAH ALAM, 14 APRIL: Rumah Seni Selangor (RusSel) mengajak pencinta seni dan seniman membeli hasil seni sambil beramal di Pameran Seni Amal SENI-KOV19, kata penolong pengurusnya.

Alina Abdullah berkata pameran secara maya diadakan bertujuan membantu golongan terjejas khususnya karyawan ketika penularan wabak Covid-19.

“Selain membantu karyawan terlibat, sebahagian sumbangan juga akan disalurkan ke dalam Tabung Karyawan RusSel. Justeru, marilah bersama kita membantu mereka, sumbangan anda amat kami hargai dengan ribuan terima kasih,” katanya kepada SelangorKini.

Pameran boleh dilayari melalui https://www.rumahseniselangor.com/seni-kov mulai hari ini hingga hujung Mei.

Untuk maklumat lanjut dan mendapatkan e-katalog, hubungi RusSel melalui e-mel: [email protected] atau WhatsApp 016-774 4840 (Alina) dan 012-289 1596 (Anwar).

Categories
SELANGOR

Terjemah bakat kreatif menerusi Bengkel Soft Pastel

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 13 MAC: Orang ramai yang berminat diminta tampil menterjemahkan bakat kreatif mereka menerusi Bengkel Soft Pastel (Volume1) di Rumah Seni Selangor (RusSel), pada 23 Mac ini.

Bengkel seni itu turut menampilkan Amir Street Artist yang juga pelukis pakar dalam teknik ‘soft pastel grey tone’.

Pada bengkel terbabit, Amir turut berkongsi teknik dan cara menghasilkan lukisan ‘soft pastel grey tone’ yang cantik.

Bengkel percuma itu akan diadakan mulai jam 9.30 pagi hingga 3 petang.

Selain itu, peserta digalakkan membawa set pastel grey sendiri.

Manakala, easel, papan lukis dan kertas akan disediakan pihak penganjur.

Untuk mereka yang berminat atau ingin mengetahui lebih jelas berkenaan bengkel itu, boleh hubungi Zulkiflee (012-5691186) atau Amir (017-2971548).

 

Categories
SELANGOR SENI

Jom sertai Bengkel Ilustrasi di RUsSEL

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 JAN: Persatuan Seni Lukis Apa Saja (LUAS) mengajak masyarakat menyertai Bengkel Ilustrasi di Rumah Seni Selangor (RUsSEL), pada 27 Januari ini .

Bertemakan ‘Berjuang Untuk Seni, Bertempur Dengan Bakat’, bengkel itu bertujuan mengasah bakat dan kreativiti seseorang untuk menjadi lebih kreatif.

Dengan yuran pendaftaran RM100 (termasuk sarapan dan makan tengah hari), bengkel itu berlangsung dari jam 10 pagi hingga 3 petang.

Ia juga terbuka kepada golongan belia berusia antara 15 hingga 35 tahun yang mempunyai minat mendalam terhadap dunia seni.

Menariknya, ia turut menampilkan guru berpengalaman luas dalam bidang seni antaranya Illustrator di Sweat & Revenge Studio, Riharu Harun dan Artis Doodle & Pengasas Doodict, Zami Musa.

Menerusi bengkel itu, peserta turut diasah dengan lima jenis pembelajaran antaranya “How To Actually Begin”; “Let’s Start With Doodle”; “Redefine Skill”, “Learn How to Think Like an Artist” dan “Find Your Own Voice”.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Orkid di talian 017-3799774 atau layari Facebook atau Instagram rumahseniselangor.