Categories
SELANGOR SENI

RusSEL anjur Bengkel Seni Cetak bersama seniman

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 FEB: Rumah Seni Selangor (RusSEL) mempelawa orang ramai untuk menyertai Bengkel Seni Cetak (Etching) di CHETAK 12 STUDIO, Ampang, pada 25 dan 26 Februari ini.

Program yang mendapat sokongan sepenuhnya daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu dijadual bermula dari jam 10 pagi hingga 5 petang.

Kurator II RUsSEL, Alina Abdullah berkata, bengkel berkenaan akan diajar oleh seniman Samsudin Wahab dan Faizal Suhif dari Chetak 12 Studio.

“Hari pertama bengkel tertumpu kepada teknik penghasilan plat cetak, manakala hari kedua pula bengkel mencetak karya goresan (etching) peserta ke atas kertas.

“Peserta boleh memilih sama ada mahu belajar teori sahaja atau praktikal,” katanya.

Bayaran penyertaan bagi bengkel berasaskan praktikal adalah RM180 termasuk harga plat, selain turut didedahkan dengan bengkel teori secara percuma.

Sebarang pertanyaan dan pendaftaran, orang ramai boleh menghubungi urusetia (Farez) di talian 012-9367296.

Categories
SELANGOR SENI

RUSSEL hab seni dan budaya Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 27 JAN: Rumah Seni Selangor (RUSSEL) berpotensi dijadikan hab seni yang mendasari semua disiplin bagi memberdaya dan meningkatkan pelbagai aktiviti kesenian serta kebudayaan, di negeri ini.

Pengarah Pameran Seni Lukis Artis Residensi (AKAR) RUSSEL, Samsuddin Lappo berkata, hab seni itu bukan sahaja meliputi seni visual, bahkan menggabungkan seni penulisan, lukisan kraf, persembahan muzik dan tayangan filem.

“Kita menerima sambutan begitu menggalakkan daripada komuniti setempat dan orang luar yang mahu menyertai bengkel kesenian yang kita adakan secara percuma di rumah seni ini.

“Malah, setiap hebahan di media sosial berkaitan program atau bengkel sampai kepada orang luar, seterusnya menarik minat mereka untuk datang dan melihat sendiri keunikan seni yang terdapat di RUSSEL,” katanya kepada SelangorKini.

Mula dibuka pada April 2018, RUSSEL berperanan sebagai tempat berkumpul penggiat seni untuk menjalankan aktiviti bercorak formal mahupun santai.

Berada di suatu lembah tepian lot sebuah banglo di Petaling Jaya, RUSSEL dihuni tiga pelukis residen yang memulakan gerak langkah ‘bercucuk tanam’ umpama seorang petani yang berbudi kepada bumi.

Perjalanan tiga pelukis residen terbabit iaitu Anasuha Suhairi, Arina Kiswantoh dan Mat Ramli Mansor adalah dengan merentasi proses pemikiran, pengamatan, pendedahan serta pengkajian diperoleh daripada ‘bumi’ seni demi menghasilkan karya unik juga mampu mencuri perhatian umum.

Samsuddin berkata, konsep utama rumah seni itu adalah penyediaan studio yang menjadi tempat bagi pelukis terbabit menghasilkan karya mereka dalam tempoh tertentu.

Katanya, studio itu dilengkapi dengan peralatan lengkap yang membantu proses kreatif pengkarya, selain menyediakan beberapa ruang salon kepada peminat dan penggiat seni.

“Ini adalah pameran kali pertama hasil daripada tiga pelukis berkenaan dan pengambilan seterusnya untuk tiga seniman atau artis baharu adalah pada Februari.

“Mereka akan menghuni di RUSSEL selama enam bulan untuk mengekspresi ilham dan berkarya.

“Selain itu, kita akan mengadakan program sampingam lain setiap bulan sekurang-kurangnya empat bulan misalnya bengkel seni halus dan seni kraf, forum seni seterusnya pameran,” katanya.

Categories
SELANGOR SENI

Isu dera kanak-kanak cetus inspirasi hasil karya

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 27 JAN: Isu penderaan tragis membabitkan kanak-kanak di negara ini menyuntik inspirasi kepada Anasuha Suhairi menghasilkan karya lukisan sepanjang menyertai Program Residensi Rumah Seni Selangor (RUSSEL).

Mengetengahkan tema ‘RASA’ sebagai tajuk siri untuk keseluruhan karya, Anasuha turut berkarya menggunakan gambar diolah dengan menggabungkan gambar bantuan lain menjadi satu gambar.

Katanya, beliau cenderung merujuk kepada foto bertemakan perasaan dan suasana sekeliling memandangkan perasaan itu penting serta diperlukan semua orang.

“Saya suka memerhati, mengkaji dan menilai, malahan pengamatan saya akan menjadi lebih teliti apabila meneliti imej yang dekat dengan saya seterusnya menterjemahkan rasa hubungan itu pada kanvas.

“Tidak semestinya isu tetapi apabila saya melihat perwatakan seseorang itu, ia secara tidak langsung memberi inspirasi kepada saya,” katanya kepada SelangorKini yang ditemui pada Pameran Seni Lukis ‘Akar’, di RUSSEL, di sini, semalam.

AKAR yang berlangsung sejak 14 Januari hingga 14 Februari ini turut menampilkan beberapa penggiat seni lukisan lain seperti Arina Kiswantoh dan Mat Ramli Mansor.

Pengisian program memfokuskan kepada pembabitan komuniti seperti bengkel seni halus dan seni kraf, forum seni serta pameran.

Pensyarah Program Seni Halus Universiti Teknologi Mara Machang, Kelantan berusia 28 tahun itu berkata, daripada segi bahantara karya, beliau banyak menggunakan konsep tradisional iaitu medium cat minyak dan akrilik atas kanvas.

Katanya, teknik digunakan untuk mendapatkan bentuk subjek pada peringkat awal karya ialah ‘glazing’ dan ‘scumbling’.

“Saya merakam proses percubaan teknik daripada bentuk realis kepada semi realis.

“Ini adalah suatu anjakan keberanian saya dalam meneroka teknik di luar kebiasaan kerana seorang artis perlu sentiasa mencuba teknik baharu dan berani daripada teknik yang biasa digunakan. Ini adalah ‘RASA’ sebenar saya sebagai pengkarya,” katanya.

Pada masa sama katanya, RUSSEL memberi peluang kepada penggiat seni untuk berkumpul dan menjalankan aktiviti bercorak formal atau santai.

“Selama tempoh enam bulan di sini, RUSSEL menyediakan studio kepada kami untuk bekerja dan elaun.

“Seperti pekerja biasa, saya akan menggunakan studio ini untuk melukis atau apa sahaja berdasarkan jadual proses hasil kerja,” katanya.

 

Categories
NASIONAL SENI

RUsSEL persembah Pesta Tinta kepada pencinta seni

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 13 OKT: Rumah Seni Selangor (RUsSEL) mempersembahkan Pesta Tinta kepada pencinta seni puisi dengan menampilkan penyair terulung Malaysia dan Indonesia.

Program yang berlangsung selama dua hari sehingga 13 Oktober itu bertujuan membicarakan hal-hal puisi baik di dunia puisi Indonesia mahupun Malaysia dalam menghadapi perubahan politik negara.

Kurator II RUsSEL, Alina Abdullah berkata, pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang dua hari Pesta Tinta itu berlangsung antaranya Diskusi Seni “Puisi Dalam Politik Baru” yang diadakan pada malam ini (semalam).

“Malam ini (semalam) kita menampilkan Penyair Tamu khas dari negara Seberang, Joko Pinurbo selaku ahli panel bergandingan bersama Zaen Kasturi yang juga merupakan pengarang generasi baharu Malaysia.

“Antara hal dibincangkan pada Diskusi Seni ini adalah berkenaan dengan perbezaaan antara seni sastera di Malaysia dan Indonesia apabila pola politik yang sudah berubah pada masa kini,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, sambutan diterima amat menggalakkan dengan kehadiran ramai pengarang senior baik di Malaysia mahupun di negara seberang ditambah juga kehadiran golongan belia.

“Sambutan amat menggalakkan dan kita amat mengalu-alukan lebih ramai lagi kehadiran orang ramai pada Pesta Tinta yang berlangsung sehingga 13 Oktober ini dengan pelbagai aktiviti menarik akan diadakan.

“Malah, penglibatan golongan belia dilihat cukup menggalakkan dan hal ini seharusnya dipuji kerana mereka masih berminat mendalami serta mempelajari ilmu puisi ini,” katanya.

Antara pengisian Pesta Tinta selama dua hari itu turut diadakan Bengkel Puisi dan Musikalisasi Puisi “Selamat Menunaikan Ibadah Puisi” yang turut disertai Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.

RUsSEL merupakan rumah seni dibawah inisiatif Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang sudah dibuka kepada umum sejak 4 April lalu.

Ia ditubuhkan bertujuan membuka ruang kepada komuniti membuat aktiviti seni dan sastera seperti melukis, menghasilkan karya, pameran dan kraftangan.