Categories
SUKANKINI

Emas Sukan Paralimpik Tokyo jadi buruan Suresh

SEPANG, 11 JUN: Selepas meraih pingat emas pada Kejohanan Para Memanah Dunia 2019 di Belanda, Ahad lepas, pemanah para negara, S Suresh kini mengintai peluang mengulangi pencapaian sama pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Anak jati Kuala Ketil, Kedah itu mengakui kejayaan berkenaan amat bermakna untuk dirinya selaku pemanah para negara memandangkan ia merupakan penyertaan sulungnya pada Kejohanan Dunia.

“Saya berharap kejayaan ini akan terus menaikkan semangat saya, untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Saya rasa peluang saya untuk menang pada Sukan Paralimpik 2020 nanti amat cerah, namun saya tidak boleh memandang rendah keupayaan atlet lain, kerana Sukan Paralimpik menampilkan saingan berbeza,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini bersama skuad memanah para negara.

Ketibaan mereka disambut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Timbalannya, Steven Sim Chee Keong dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Suresh pada masa sama turut mendedikasikan emas berkenaan kepada jurulatihnya, Marzuki Zakaria, keluarganya serta rakan sepasukan lain yang banyak memberikan sokongan moral kepadanya, untuk menempa nama di persada sukan antarabangsa.

Mengulas lanjut, Suresh mengakui jangkaan rakyat Malaysia terhadap dirinya tetap tinggi selepas meraih pingat emas, namun menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa, terutamanya pada Sukan Paralimpik 2020.

Dalam pada itu, Marzuki berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan barisan kejurulatihan memanah para negara, dan Bahagian Paralimpik MSN bagi program latihan untuk Suresh, dan skuad memanah para negara bagi menghadapi saingan di Tokyo nanti.

Beliau pada masa sama turut berpuashati dengan kejayaan Suresh yang mengikuti jejak langkah dua pemanah para negara, iaitu Allahyarham Salam Sidek yang meraih gangsa pada Kejohanan Dunia 2011 dan Hasihin Sanawi yang memenangi perak pada Sukan Paralimpik London 2012.

Ditanya mengenai resepi kejayaan Suresh, Marzuki mendedahkan ia hasil perancangan rapi barisan kejurulatihan dan Bahagian Paralimpik MSN sejak 2015, menerusi program latihan dan penyertaan dalam pelbagai pertandingan tempatan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, Suresh layak menerima imbuhan sebanyak RM80,000 di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) MSN kerana mengharumkan nama negara pada kejohanan antarabangsa.

Beliau pada masa sama turut meminta rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan padu kepada atlet negara, terutamanya atlet paralimpik, dalam mencipta lebih banyak kejayaan di persada sukan antarabangsa.

“Insentif tersebut diharap dapat mendorong beliau (Suresh) untuk meraih pingat emas untuk negara pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020,” jelas Syed Saddiq.

Pada kejohanan dunia 2019, Suresh mempamerkan prestasi cemerlang selepas menumpaskan wakil Amerika Syarikat, Eric Bennett, 7-3 (26-28, 26-26, 27-25, 26-25, 29-27) pada aksi final recurve individu lelaki, sekali gus menempah tiket ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

S Suresh raih slot ke Sukan Paralimpik 2020

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Misi merebut slot kelayakan ke Sukan Paralimpik 2020 tercapai apabila atlet memanah recurve para negara, S Suresh meraih slot secara merit ke Tokyo, Jepun, awal pagi tadi.

Kejayaannya itu hadir selepas beliau berjaya melangkah ke final acara recurve individu lelaki yang dijadualkan pada Ahad ini, pada Kejohanan Memanah Para Dunia 2019 di Hertogenbossch, Belanda, malam tadi.

Jurulatih skuad memanah para negara, Marzuki Zakaria ketika dihubungi Bernama berkata walaupun tidak dapat menyambut 1 Syawal bersama keluarga namun pengorbanannya itu menjadi sangat bermakna dengan kejayaan yang dicapai Suresh.

“Alhamdulillah. Sasaran saya untuk pastikan pemanah recurve negara layak secara merit ke Sukan Paralimpik berhasil memandangkan kali terakhir kita layak secara merit pada 2011. Kejayaan ini adalah kejayaan bersama antara Majlis Sukan Negara (MSN) yang telah merangka program bersama skuad memanah para.

“Begitu juga dengan Institut Sukan Negara (ISN) yang membantu memberikan sokongan kepada pasukan kami. Apa pun saya rasa masih ada perkara yang perlu diperbaiki agar pemanah para negara dapat melakukan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Marzuki berkata skuad para negara berada di Belanda sejak 30 Mei lepas sehingga 30 Jun ini bagi memastikan pemanah negara mendapat pendedahan secukupnya.

Ditanya mengenai perancangan latihan intensif untuk pemanah para negara, Marzuki mengakui cuaca di Belanda sangat sesuai untuk mereka menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di Tokyo nanti.

“Perancangan itu ada, memandangkn cuaca di sini sejuk dan kemungkinan cuaca di Tokyo 2020 nanti juga sejuk, saya bercadang untuk mencari tempat yang cuacanya lebih kurang sama untuk membiasakan atlet kita dalam pertandingan nanti. Apa pun itu perlu perbincangan dan kelulusan daripada pihak atasan,” katanya.

Untuk rekod, Suresh meraih pingat perak perseorangan recurve dalam Kejohanan Memanah Antarabangsa Fazza di Dubai, bulan lepas. – BERNAMA