Categories
NASIONAL

SKMM tahan tiga individu salah guna sosial media

KUALA LUMPUR, 1 APR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga individu dalam serbuan untuk mengekang penyalahgunaan media sosial.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan SKMM, Datuk Mohd Shafie Harun berkata, kesemua individu ditahan atas kesalahan menjurus kepada perbuatan menghantar kandungan jelik dan video seks serta lucah melalui aplikasi WhatsApp dan sistem pesanan ringkas (SMS) dengan niat menganggu dan menyakitkan hati orang lain.

“Dalam serbuan itu, turut dirampas sejumlah 16 barang kes berupa kad sim, kad memori, telefon bimbit, cakera keras luaran (external hard disk) dan komputer riba, selain penemuan gambar-gambar lucah dan video seks berkaitan dengan kes-kes yang disiasat.

“Operasi serbuan kali ini tertumpu kepada empat lokasi iaitu di Bangi, Shah Alam, Kuala Lumpur dan Cameron Highlands. Serbuan terbaru ini dibuat selepas pihak SKMM menerima aduan daripada orang ramai dan menyusul hanya seminggu selepas serbuan sama dijalankan di 11 lokasi di beberapa buah negeri yang lain,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Mohd Shafie kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan jika sabit kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Kandungan yang diterima dalam telefon pengadu dan kad sim serta telefon bimbit perlu diserahkan kepada Jabatan Forensik Digital SKMM untuk analisa forensik digital.

Sehingga 30 Mac, SKMM telah menerima 110 kes berkaitan salah guna media sosial, manakala tahun lepas sahaja sebanyak 237 kes direkodkan. Selain itu 710 barang kes disita dari 2018 sehingga 30 Mac ini.

Kes berprofil tinggi seperti penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW atau institusi diraja diberi keutamaan ‘satu’ untuk diselesaikan dalam dua hingga empat minggu, manakala kes-kes keutamaan ‘dua’ harus diselesaikan dalam 12 minggu, sementara kes keutamaan ‘tiga’ dalam 24 minggu.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, kempen advokasi di seluruh negara menerusi program ‘Klik Dengan Bijak’ akan terus diperhebatkan bagi menyemai penggunaan internet secara berhemah dalam kalangan pengguna media sosial di negara ini.

Pengguna media sosial juga dinasihatkan supaya membuat aduan kepada pihak SKMM sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan dengan isu salah guna media sosial dengan menyalurkan maklumat ke ​​​​​​​talian 1800-188-030, email ([email protected]). WhatsApp (016-2206 262), SMS (15888) dan Twitter (@MCMCReact).

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kekang penyalahgunaan media sosial, MCMC serbu 11 lokasi

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Sebelas lokasi di beberapa negeri diserbu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam usaha mengekang penyalahgunaan media sosial di negara ini.

Serbuan dengan sokongan pihak polis itu dilakukan di Putrajaya; Petaling Jaya (Selangor); Perai dan Simpang Ampat (Pulau Pinang); Kerteh dan Kuala Dungun (Terengganu); Pasir Puteh (Kelantan); Kluang dan Indahputra (Johor); serta Bachang dan Masjid Tanah (Melaka) susulan aduan mangsa.

Dalam kenyataannya hari ini, Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan MCMC, Datuk Mohd Shafie Harun berkata, kebanyakan kesalahan yang dikesan menjurus kepada perbuatan menghantar kandungan bersifat lucah seperti video seks.

Selain itu, katanya, terdapat juga kesalahan membabitkan penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS) yang jelik dan menghina serta kandungan mengancam dengan niat untuk mengganggu dan menyakitkan hati orang lain.

“Dalam operasi serbuan itu, rakaman percakapan turut diambil daripada suspek-suspek manakala beberapa peranti komunikasi, kad SIM, kad memori, komputer riba, dan cakera keras dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohd Shafie berkata, menurut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 adalah satu kesalahan bagi seseorang membuat dan memulakan penghantaran sebarang komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.

“Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau seterusnya menggesa pengguna media sosial di negara ini agar meningkatkan kawalan kendiri ketika mengakses Internet dan tidak menggunakannya sebagai platform untuk menyebarkan perkara-perkara sensitif yang boleh mengundang kemarahan orang awam.

SUMBER: BERNAMA