Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Yaakob, Rodziah Yakin Menang Walau Ditentang Tiga Penjuru

Pencalonan Parlimen Shah Alam 03

SHAH ALAM, 20 APRIL : Pertembungan tiga penjuru di DUN Kota Anggerik (N40) dan Batu Tiga (N41) diyakini tidak akan menggugat peratusan sokongan terhadap calon-calon Pakatan Rakyat(PR).

Calon dan juga penyandang N40, Dr Yaakob Sapari(PKR) mengalu-alukan seberapa ramai calon untuk turut sama bertanding, sesuai dengan prinsip demokrasi berperlembagaan yang diamalkan negara ini.

“Namun kita yakin, sokongan rakyat kepada PR tidak akan berpecah sepertimana pengalaman kita di Selambau(Kedah) dulu, undi masih tinggi walaupun berhadapan pertandingan 15 penjuru.

“Sama juga di sini, datanglah berapa penjuru sekalipun kita tidak gentar dan yakin sokongan akan terus diberikan pengundi,” ujar Dr Yaakob.

Sementara itu, Rodziah Ismail yang hadir bertanding mempertahankan kerusi N41 pula berkata kehadiran calon-calon bebas hanya akan memecahkan undi BN.

“Mungkin, mereka ini (calon bebas) diwujudkan untuk pecahkan undi tapi selepas lima tahun ini, saya tidak fikir sokongan pengundi kepada Pakatan (Rakyat) akan menurun sebaliknya undi BN yang akan terganggu.

“Kami yakin Selangor akan terus dapat dipertahankan sementara Putrajaya juga akan dapat kita tawan kali ini,” tegas beliau.

Pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) kali ini, Dr Yaakob bakal berdepan calon daripada BN, Yusof Din dan juga seorang calon bebas, Eric Faisal Rosli bagi mempertahankan kerusi N40 yang dimenanginya pada tahun 2008 dengan majoriti 2, 200 undi.

Rodziah pula akan menentang calon BN yang juga bekas Adun Batu Tiga iaitu Datuk Ahmad Nawawi M. Zain selain seorang calon bebas, Mohd Uzi Che Husin.

Rodziah menang kerusi N41 pada PRU12 lalu dengan majoriti undi 3, 563 mengalahkan calon BN, Datuk Salamon Selamat.

Terdapat 54, 952 pengundi berdaftar bagi DUN Kota Anggerik sementara DUN Batu Tiga pula mencatatkan 45, 005 pengundi berdaftar.