Categories
NASIONAL

Kekalkan Jalur Gemilang Tapi Sokong Aspirasi Anak Muda

PETALING JAYA, 3 SEPT : Umno-BN ‘buta sejarah’ apabila memperbesarkan isu pengibaran bendera “Sang Saka Malaya” oleh sekumpulan anak muda pada ambang kemerdekaan 30 Ogos lalu, walaupun bendera parti itu sendiri mempunyai elemen ?sang saka?.

Bendera Umno, iaitu ‘Sang Saka Bangsa’ yang digunakan sejak awal penubuhannya hingga hari ini mempunyai jalur merah dan putih seperti bendera ?Sang Saka Malaya?.

Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata isu itu tidak sepatutnya di perbesarkan seolah-olah ia mengancam keselamatan negara.

Tegasnya, ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyeru generasi muda berfikiran terbuka adalah sesuatu yang dangkal apabila ada generasi muda celik sejarah ditekan hanya kerana mempunyai idea berbeza dalam mengiktiraf sejarah.

Menurutnya, tindakan juak-juak ‘laskar siber’ Umno-BN mengaitkan Sang Saka Malaya dengan pengaruh negara jiran adalah pelik.

“Barisan kepimpinan dan anggota AMK sebulat suara menyokong pendirian kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertegas tidak ada sebarang cadangan bagi menukar ganti Jalur Gemilang dengan Sang Saka Malaya.

“Apa yang berlaku cuma manifestasi suara anak muda yang cerah fikiran dan tajam pengamatan sejarahnya dalam meraikan sumbangan dan semangat tokoh kemerdekaan yang ‘didiamkan’ oleh buku teks sejarah.

?Seperti Dr Burhanuddin Al Helmi dan Ishak Muhammad atau Pak Sako dan lain-lain,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mahu menyiasat kumpulan itu kerana mengibarkan ?Sang Saka Malaya? pada himpunan Janji Demokrasi di Dataran Merdeka Khamis lalu.

Shamsul Iskandar juga menegaskan pihaknya menyokong segala aspirasi dan cetusan anak muda namun ia haruslah berpaksikan sejarah dan mempunyai asas yang kukuh.

Beliau selanjutnya berkata, manifestasi dicetuskan kumpulan anak muda itu kemungkinan tanda protes terhadap sambutan kemerdekaan negara yang terlalu dipolitikkan.

Beliua berkata tiada sebarang alasan bagi polis untuk mengaitkan AMK dengan isu ini.

Tambahnya lagi, isu itu juga tiada kaitan dengan Timbalan Ketua Penerangan AMK, Najwan Ali kerana apa yang dilakukannya sebelum beliau menganggotai AMK.

Berhubung seorang individu yang menulis di laman singaselatan.blogspot.com mengaku mengibarkan bendera ?Sang Saka Malaya? pada malam tersebut.

Individu itu berkata beliau tidak mewakili pihak kerajaan atau pembangkang.