Categories
AGENDA NASIONAL

2,156 disaring di Pasar Jalan Othman, seorang positif Covid-19

SHAH ALAM, 15 MEI: Seramai 2,156 individu di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sudah disaring sehingga semalam, kata ketua polis daerah Petaling Jaya.

Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata hanya seorang positif wabak daripada 1,300 keputusan saringan diterima.

“Saringan membabitkan 1,557 warga tempatan dan 599 warga asing. Saringan di Zon A,B dan C selesai sepenuhnya dan hanya tunggu baki keputusan.

“Kes positif yang dikesan merupakan wanita tempatan berusia 28 tahun dan kini dikuarantin di Pusat Kuarantin Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata empat ahli keluarga wanita itu juga sudah menjalani saringan namun keputusan belum diterima.

Kawasan berkenaan diisytiharkan diletakkan di bawah PKPD bermula 10 hingga 23 Mei susulan terdapat 26 kes positif Covid-19 dan berpotensi memberi risiko penularan jangkitan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan tambah makmal, lebih 37,000 sudah saring Covid-19

SHAH ALAM, 30 MAC: Sejumlah 37,674 individu sudah melalui ujian saringan bagi mengesan Covid-19 di negara ini sehingga semalam, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mengikut data di Facebook KKM hari ini, hasil saringan berkenaan 26,991 didapati negatif manakala 2,470 positif dan 8,213 masih menunggu keputusan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di Twitter memaklumkan 10 makmal termasuk makmal bergerak ditambah bagi mempercepatkan hasil ujian dan membolehkan lebih ramai individu disaring.

Setakat semalam jumlah kematian akibat wabak itu meningkat kepada 35 mangsa manakala kes sembuh seramai 388 orang.

Sementara itu, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh kampung di Hulu Langat, Selangor membabitkan kawasan di Batu 21 hingga Batu 24, Sungai Lui sehingga 13 April depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan bermula 12 tengah malam itu diambil susulan nasihat KKM yang mengesahkan terdapat 71 kes positif jangkitan Covid-19 membabitkan 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23, Sungai Lui.