Categories
KENYATAAN MEDIA

Selangor nilai potensi penuh berdasar nilai bersih terkini untuk penjualan tanah Canal City

Oleh: SEKRETARIAT AKHBAR SELANGOR

Perjanjian jual-beli di antara Tropicana Corp Berhad (Tropicana) dan Eco World Development Group Berhad  (Eco World) yang melibatkan tanah seluas 1,172 ekar yang dahulu dikenali sebagai Canal City, telah memberi Kerajaan Selangor satu perspektif baharu terhadap perjanjian yang telah dibuat oleh anak syarikat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan anak syarikat Tropicana,  Sapphire Index Sdn Bhd (Sapphire Index).

Kerajaan Negeri melalui Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) membuat perancangan untuk menawarkan kepada Tropicana penjualan secara tunai berdasarkan Nilai Bersih Terkini (Net Present Value) berjumlah RM844.2 juta berbanding pulangan berjumlah RM1.3 billion yang sepatutnya dibayar dalam tempoh 20 tahun oleh Tropicana.

Kita membuat keputusan ini susulan pengumuman oleh Tropicana menerusi anak syarikatnya Sapphire Index yang telah menjual 308.72 ekar tanah kepada Eco World menerusi Prominet Stream Sdn Bhd pada harga RM470.67 juta.  Oleh kerana Tropicana menyedari tanah berkenaan mempunyai potensi besar daripada jualan,  kerajaan negeri juga akan melakukan perkara yang sama.

Kerajaan Negeri berharap bayaran tunai boleh dibuat oleh Tropicana secepat mungkin kerana dana tersebut boleh disalurkan untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan hartanah dan program-program kebajikan untuk rakyat Selangor.

Kerajaan Negeri bersedia untuk membantu Tropicana and Eco World Development mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan bagi memastikan perancangan pembangunanan berjalan dengan lancar.

Tanah Canal City seluas 1,172 ekar telah diambil alih MBI dan  PNSB dilantik sebagai Pengurus Projek untuk menguruskan rancangan pembangunan  di atas tanah berkenaan. Daripada keseluruhan tanah itu,  424 ekar diwartakan untuk pembinaan jalan dan kemudahan awam manakala selebihnya iaitu 748 ekar untuk pembangunan.

Pada April 2013, PNSB dan anak syarikat Tropicana, Sapphire Index telah menandatangani perjanjian jual beli merangkap perjanjian pembangunan dengan tawaran pulangan minima RM1.3 bilion untuk tempoh 20 tahun.