Categories
AGENSI SELANGOR

Kerja baiki paip pecah Seksyen 15 siap ikut jadual

SHAH ALAM, 29 DIS: Kerja pembaikan paip pecah di Bulatan Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 15 di sini siap mengikut jadual pada jam 9 malam.

Berikutan itu, Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan bekalan air disalurkan secara berperingkat kepada pengguna terjejas bermula jam 9.30 malam.

Ketua komunikasi korporatnya berkata agihan bagi setiap kawasan bergantung kepada lokasi dan jarak premis dari sumber bekalan air.

“Bekalan air kawasan ini dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari esok,” kata Elina Baseri dalam kenyataan malam ini.

Sebanyak 130 kawasan di wilayah Klang/Shah Alam serta Petaling mengalami gangguan bekalan air susulan insiden paip pecah pagi tadi.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang www.airselangor.com atau rujuk saluran komunikasi melalui Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi pusat perhubungan di talian 15300.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerja baiki paip pecah Seksyen 15 siap sepenuhnya malam ini

SHAH ALAM, 29 DIS: Kerja pembaikan paip pecah di Bulatan Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 15 di sini dijangka siap sepenuhnya pada jam 9 malam ini.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan kerja tersebut sedang giat dijalankan dan kini mencapai tahap 54 peratus.

“Kerja pembaikan ini dijangka siap sepenuhnya pada jam 9 malam ini dan bekalan air akan mula disalurkan kepada premis pengguna selepas itu,” kata Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri.

Sebanyak 130 kawasan di wilayah Klang/Shah Alam serta Petaling mengalami gangguan bekalan air susulan insiden paip pecah pagi tadi.

Bekalan air bagi wilayah terbabit ditutup bermula jam 1 tengah hari dan tempoh pemulihan bergantung kepada lokasi serta jarak premis.

Status gangguan bekalan air boleh didapati melalui laman web http://www.airselangor.com, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi pusat perhubungan di talian 15300.

Categories
AGENDA NASIONAL

Paip pecah di Seksyen 15, 130 kawasan bakal alami gangguan bekalan air

SHAH ALAM, 29 DIS: Bekalan air di dua daerah di Selangor akan ditutup pada jam 1 petang ini susulan insiden paip utama pecah di Bulatan Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 15 di sini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata penutupan bagi kerja baik pulih menyebabkan gangguan bekalan air di 58 kawasan di Klang/Shah Alam dan 72 kawasan di Petaling.

“Kerja pembaikan dijangka siap sepenuhnya pada jam 9 malam ini dan bekalan mula disalurkan kepada premis pengguna setelah kerja pembaikan siap dilaksanakan.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis,” katanya dalam kenyataan.

Air Selangor menasihati pengguna menyimpan bekalan secukupnya sebelum penutupan dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang Air Selangor di http://www.airselangor.com atau saluran komunikasi rasmi syarikat itu seperti aplikasi Air Selangor serta media sosial Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.