Categories
SELANGOR

Sungai Klang bakal jadi tumpuan pelancong

SHAH ALAM, 9 JULAI: Tidak mustahil Sungai Klang menjadi lokasi tarikan pelancong sekiranya ia semakin bersih menerusi Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Peniaga, Jamal Syed Mohamed berkata kedainya yang terletak di tepi Sungai Klang menjadi tumpuan pengunjung sejak tiga tahun lalu kerana udara semakin bersih dan nyaman.

“Saya sudah berniaga di tepi sungai sejak 30 tahun lalu, disebabkan sungai semakin bersih, udara pun makin segar, orang semakin ramai datang,” katanya menerusi siaran video ‘Unity in Keeping the Klang River Alive’ oleh SMG, hari ini.

Sementara itu, Ravikumar berkata penduduk Klang sepatutnya berbangga dengan usaha Kerajaan Negeri membersihkan Sungai Klang menerusi Projek SMG.

“Sebelum ini ada penduduk yang sesuka hati membuang sampah ke dalam sungai, tetapi sekarang tidak lagi kerana Sungai Klang sudah semakin cantik.

“Apabila sungai sudah bersih, saya lihat lebih ramai keluarga yang bawa anak-anak berjalan dekat dengan kawasan sungai,” ujar kakitangan awam itu.

Seorang pesara, Ismail Ali pula berkata usaha kerajaan boleh gagal sekiranya rakyat teruskan tabiat membuang sampah ke dalam sungai.

“Kerajaan sudah buat macam-macam untuk bersihkan Sungai Klang, keluar belanja berjuta-juta, jika sikap tidak ubah, projek juga akan gagal.

“Sekiranya ia berjaya, saya yakin kerja pembersihan sungai ini akan mewujudkan aktiviti pelancongan lebih menarik,” katanya.

Tahun lalu, Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd, Syaiful Azmen Nordin berkata taman awam Pengkalan Batu dan hutan paya bakau di muara Sungai Klang adalah dua produk eko-pelancongan yang bakal beroperasi di Klang menjelang 2022.

Projek pembangunan di bawah SMG kini di peringkat permulaan dan bakal menawarkan teksi air sebagai pengangkutan penghubung ke destinasi tersebut.

Projek SMG adalah inisiatif Kerajaan Selangor yang memfokuskan kepada penjanaan semula Sungai Klang membabitkan kawasan seluas 35,612 hektar.

Sementara itu, Landasan Lumayan Sdn Bhd pula adalah anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor yang bertanggungjawab melaksanakan tiga aktiviti utama projek iaitu pembersihan, pemuliharaan dan pembangunan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Maritime Gateway jadikan Sungai Klang sumber ekonomi

SHAH ALAM, 2 JULAI: Pelaksanaan projek Selangor Maritime Gateway (SMG) dapat menjadikan Sungai Klang sebagai sumber air kepada industri dan kawasan perumahan.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara itu tidak mustahil sekiranya perancangan baik dijalankn hingga meningkatkan kualiti air.

“Projek ini turut menjamin kemajuan pembangunan sepanjang tebing Sungai Klang. Matlamat projek ini untuk bersihkannya dan mengesan faktor ekonomi yang boleh digerakkan sepanjang sungai,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas menyampaikan hadiah pertandingan SMG Water You Doing? Show Us Your Art! anjuran Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) di sini hari ini.

Mengulas mengenai pertandingan itu, Amirudin berkata ia satu langkah yang dapat menyedarkan rakyat kepentingan sungai.

Projek SMG dikenalkan pada 2018 membabitkan 120 kilometer Sungai Klang bertujuan menjana semula industri perhotelan, perdagangan, pelancongan, perumahan serta industri perkhidmatan.

Projek dikendalian LLSB itu juga dapat meningkatkan tahap kebersihan kualiti air dalam lembangan dan rizab sungai sekurang-sekurangnya pada tahap kedua indeks kualiti air.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Projek pulihara buah hasil, Sungai Klang makin bersih

SHAH ALAM, 2 JULAI: Projek Selangor Maritime Gateway (SMG) yang dilaksana untuk pemuliharaan Sungai Klang meningkatkan kualiti airnya dari tahap empat kepada tiga, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perancangan berterusan dijangka membawa perubahan dan mungkin boleh mencecah tahap dua dalam masa terdekat.

“Dalam masa sama, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga terdapat tanda positif dari aspek kebersihan air Sungai Klang. Ini perkembangan yang baik,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan hadiah pertandingan SMG Water You Doing? Show Us Your Art! anjuran Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) di sini hari ini.

SMG diperkenalkan pada 2018 membabitkan 120 kilometer Sungai Klang bertujuan menjana semula industri perhotelan, perdagangan, pelancongan, perumahan serta industri perkhidmatan.

Ia akan meliputi keluasan kawasan kira-kira 55,612 hektar sepanjang pesisir Sungai Klang dan projek itu juga dapat meningkatkan tahap kebersihan kualiti air dalam lembangan dan rizab sungai sekurang-sekurangnya, pada tahap kedua indeks kualiti air.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SMG mula beri impak positif, tarik minat pelbagai syarikat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 APR: Selangor Maritime Gateway (SMG) mula memberikan impak positif apabila beberapa syarikat dari dalam dan luar negara menyatakan minat untuk bersama-sama mengembalikan kelestarian Sungai Klang, kata Raja Shahreen Raja Othman.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) itu berkata, pengalaman menyelusuri dua bahagian Sungai Klang sepanjang 112kilometer (KM) membangkitkan lagi semangatnya untuk kembali menobatkan semula Klang yang terkenal sebagai ‘Bandar Diraja’.

Katanya, kecantikan sungai di Beijing, China dan Singapura yang dahulunya pernah dipulihkan akan dijadikan modul SMG dengan menggunakan teknologi bersesuaian kerana sejumlah 50,000 tan sampah sudah dikeluarkan sehingga kini.

“Dalam masa sama, kita sudah keluarkan ‘Expression of Interest’ (EOI) dan banyak syarikat berminat…kerja pembersihan, pemulihan, pembanguanan dan pembiayaan, keseluruhan pakej kita ditawarkan. Tidak semestinya satu syarikat akan mendapat keseluruhan (56KM) kawasan.

“Kita boleh bahagikan untuk beberapa kawasan. Projek ekonomi besar akan berlangsung 20 hingga 30 tahun. Pulau Carey sahaja seluas 1,200 ekar. Belum lagi tanah-tanah sepanjang Sungai Klang atau tanah baharu akan diwujudkan,” katanya dalam wawancara khas bersama media di bangunan MBI, 15 April lalu.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan pelaksanaan pemuliharaan Sungai Klang menerusi projek SMG yang dijangkakan menyemarakkan ekonomi negeri untuk jangka masa panjang serta melantik anak syarikat milik penuh MBI, iaitu Landasan Lumayan Sdn Bhd sebagai pelaksana projek.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut memberitahu Kerajaan Negeri bertekad melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi di bandar sepanjang Sungai Klang dan menjadikan kawasan itu sebagai ‘Smart Central Economic Region’.

Beliau berkata, tiga gerak kerja utama; pembersihan, pemulihan dan pembangunan akan bergerak seiring termasuk proses pertindihan status tanah supaya fasa kedua pada 2022 dapat dimulakan dengan lancar.

Proses ini termasuk memulihkan semula tapak pelupusan sampah lebih 100 ekar di Bandar Sultan Sulaiman yang kembali digunakan secara haram pihak tidak bertanggungjawab walaupun ia sudah ditutup sebelum ini.

“Kita sudah sita tempat itu dan kita sedang tengok semula bagaimana untuk bersihkan semula tapak pelupusan sampah. Teknologi (bersesuaian) memang ada, dan kita sudah mengenal pasti teknologi untuk diketengahkan.

“Bagi saya tempat ini bahaya dan kita kena berusaha membersihkannya semula. Kita boleh lihat air busuk dan hitam masih meleleh masuk ke sungai. Tapak pelupusan ini mengandungi gas metana dan boleh meletup bila-bila masa,” katanya.

Raja Shahreen berkata, dalam usaha membangunkan semula Sungai Klang, ekosistem kawasan paya bakau seluas 71 ekar yang menjadi habitat pelbagai spesis hidupan juga akan dikekalkan.

Katanya, buat masa ini terlalu awal untuk memikirkan konsep pembangunan yang akan dilakukan di masa hadapan tetapi segalanya bergantung kepada potensi tanah sedia ada.

“Proses pembersihan berterusan selagi Sungai Klang hidup. Kita mahu rumah yang dibangunkan, penduduk bangga rumah mereka mengadap sungai, bukan dengan bau busuk.

“Kita sedang memikirkan bagaimana untuk menggunakan semula air sungai walaupun bukan untuk minum tetapi aktiviti lain yang sesuai,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)