KUALA LUMPUR, 21 NOV: Selangor berada pada landasan yang betul untuk menjadi Negeri Pintar utama di ASEAN menjelang 2025 selepas memuktamadkan tiga usaha sama dalam pembangunan bandar pintar dengan syarikat asing pada Kongres Sedunia Ekspo Bandar Pintar (SCEWC) di Barcelona, Sepanyol.
Dalam kenyataan hari ini, ia berkata cabang pelaburan negeri, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), telah menandatangani perjanjian itu menerusi anak-anak syarikatnya iaitu SMARTSEL Sdn Bhd, KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEB) dan Unit Penghantaran Pintar Selangor (SSDU).
Menurut kenyataan itu, SMARTSEL menjalin perjanjian dengan Global Reach Technology UK dan Dune Global Sdn Bhd, untuk memaksimumkan teknologi Wi-Fi dan Hotspot terkini.
Sementara itu, KDEB bekerjasama dengan syarikat perisian berpangkalan di Turki, EVREKA, untuk menyediakan penyelesaian holistik bagi pengurusan sisa dan operasi pembersihan bandar dengan Kecerdasan Buatan dan pembelajaran mesin.
SSDU pula bekerjasama dengan Urbaser Spain dan Mancuso Energy Sdn Bhd berkaitan penyelesaian pengurusan sisa pintar untuk negeri tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman berkata, cabaran itu adalah bagi memastikan rakyat mendapat manfaat daripada kerjasama dan usaha yang sama mereka mungkin ada pada masa depan.
“Usaha bersama itu selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030), matlamat 10 tahun untuk menyusun semula ekonomi yang berintensif buruh berkemahiran rendah Malaysia ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan,” katanya sambil menambah bahawa negeri itu sudah pun melaksanakannya menerusi pelancaran insiatif Smart Selangor empat tahun lepas.
SCEWC yang dianjurkan secara tahunan merupakan perhimpunan pihak berkepentingan terbesar di dunia dalam bidang pengurusan bandar pintar yang bertujuan memperkasakan bandar dan menggabungkan inovasi bandar di seluruh dunia melalui promosi inovasi sosial, mewujudkan perkongsian dan mengenal pasti peluang-peluang perniagaan.
– BERNAMA