Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri wujud hab inovasi tambah baik program sains sukan

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kerajaan Negeri bakal mewujudkan Hab Inovasi Sukan Selangor dalam masa terdekat bagi menambah baik program sains sukan sedia ada.

EXCO sukan berkata ia susulan penganjuran Selangor Youth Skills (SYS) 2021 dan dikendalikan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menerusi Unit Inovasi Sukan.

“Agensi tersebut mempunyai sains sukan tetapi hanya memfokuskan kepada pembinaan dan kesihatan fizikal serta biomekanik dalam kalangan atlet di Selangor.

“Oleh demikian, kita berpendapat penubuhan hab ini memberi peluang kepada belia untuk menyumbangkan idea inovasi dalam bidang berkaitan selain menjadi peneraju pada masa hadapan” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata MSN Selangor akan mencari pelbagai teknologi contohnya daripada segi pakaian, basikal dan kerusi roda paralimpik atau yang bersesuaian untuk diperkenalkan kepada kerajaan Negeri.

Terdahulu Mohd Khairuddin hadir ke Majlis Pelancaran SYS 2021 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

SYS 2021 yang bertemakan Inovasi Sukan Masa Hadapan mempertandingkan 10 sektor kemahiran iaitu filem dan video pendek, teknologi seni bina, hackathon, gubahan lagu, pembuatan perabot, teknologi grafik, ciptaan animasi, teknologi fesyen, reka bentuk terrarium dan pemasaran sosial media.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Selangor anjur pertandingan cungkil bakat belia, tawar hadiah RM100,000

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menganjurkan pertandingan Selangor Youth Skills (SYS) 2021 dalam mencungkil bakat dan idea inovasi belia dalam pelbagai sektor.

EXCO pembangunan generasi muda berkata pertandingan secara dalam talian selama lima hari bermula 22 September menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM100,000.

Mohd Khairuddin Othman memaklumkan setakat ini sebanyak 500 penyertaan diterima dari seluruh Malaysia sejak dibuka pada 1 Ogos lalu.

“Pertandingan ini dianjurkan dengan penyertaan belia di Selangor dan luar untuk diangkat bakat masing-masing ke peringkat lebih tinggi.

“Kita juga mahu memberi fokus kepada inovasi teknologi sukan selain membuka ruang kepada mereka mempamerkan bakat dalam pelbagai sektor terutama sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran SYS 2021 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Pertandingan bertemakan Inovasi Sukan Masa Hadapan mempertandingkan 10 kemahiran iaitu filem dan video pendek, teknologi seni bina, hackathon, gubahan lagu, pembuatan perabot, teknologi grafik, ciptaan animasi, teknologi fesyen, reka bentuk terrarium design dan pemasaran sosial media.

Bagi sektor filem dan video pendek, teknologi seni bina, hackathon dan ciptaan animasi yang melibatkan berkumpulan pemenang tempat pertama membawa pulang wang tunai RM6,000, tempat kedua RM4,000 manakala RM2,000 untuk tempat ketiga beserta medal dan trofi.

Manakala sektor gubahan lagu, pembuatan perabot, teknologi grafik, teknologi fesyen, reka bentuk terrarium design dan pemasaran sosial media dipertanding secara individu dengan pemenang pertama mendapat wang tunai RM5,000 diikuti kedua RM3,000 serta RM1,000 untuk ketiga beserta medal dan trofi.