Categories
ADN SELANGOR

Fungsi Selcat semak, imbang – Ketua pembangkang

SHAH ALAM, 12 FEB: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) berfungsi sebagai semak dan imbang kepada pentadbiran Selangor, kata ketua pembangkang.

Rizam Ismail yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Air Tawar berharap Selcat terus melaksanakan fungsi dengan berkesan terutama membabitkan isu dekat dengan rakyat.

“Kita puji peranan Selcat mengadakan pendengaran awam untuk menilai keberkesanan sistem penyampaian pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk prestasi ahli majlis.

“Selcat memainkan peranan dengan memanggil pihak berkaitan memberi keterangan beberapa isu berbangkit membabitkan PBT,” katanya pada sidang media di Dewan Annex di sini hari ini.

Selcat bersidang pada 20 Febuari ini bagi menilai prestasi PBT dengan memanggil 17 saksi memberi keterangan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selcat nilai prestasi PBT 20 Februari ini

SHAH ALAM, 12 FEB: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) akan bersidang 20 Febuari ini bagi menilai prestasi pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Pengerusinya, Ng Suee Lim berkata seramai 17 saksi akan dipanggil memberi keterangan di Bilik Gerakan di Dewan Annex, SUK.

“Antara saksi ialah EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing R Rishyakaran, ADN Jeram Mohd Shaid Rosli dan ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri.

“Saksi lain membabitkan datuk bandar, yang dipertua, ahli majlis dan wakil persatuan penduduk,” katanya di Dewan Annex hari ini.

Suee Lim berkata, perkara yang bakal dibangkitkan pada sesi itu ialah berkaitan isu sampah dan sistem penyampaian selain langkah memperkasakan lagi PBT.

Selcat dianggotai ADN Bukit Lanjan Elizabeth Wong, ADN Hulu Kelang Saari Sungib, ADN Banting Lau Weng San, ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, ADN Sungai Air Tawar Rizam Ismail dan ADN Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.