Categories
AGENDA NASIONAL

Polis giat kekang seludup dadah guna dron

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Polis terus memperhebatkan usaha mengekang penyeludupan dadah yang semakin canggih dan terdesak sehingga menggunakan teknologi dron ketika ini.

Justeru, rangkaian kerjasama dengan pihak berkuasa dari negara jiran, terus diperkasa bagi menggagalkan kegiatan penyeludupan dadah secara moden itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Ramli Din berkata, kerjasama dengan pihak berkuasa dari Singapura, Thailand dan Indonesia sangat diperlukan bagi mengekang apa jua modus operandi baharu yang digunakan mana-mana sindiket bagi membawa masuk bekalan dadah.

“Penggunaan dron dalam penyeludupan dadah adalah modus operandi baharu yang dikesan di Johor. Pihak kami sedang adakan kerjasama erat dengan pihak berkuasa dari negara jiran untuk menyiasat perkara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Jelasnya, kawalan di sempadan negara juga dipertingkatkan bagi mengekang aktiviti penyeludupan dadah bukan sahaja menerusi dron tetapi apa jua cara sekalipun.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis kini memburu seorang lelaki Singapura dikenali sebagai ‘Boy Setan’ yang juga suspek utama bagi kes penyeludupan dadah menggunakan dron ke republik itu, baru-baru ini.

Menurut Ayob Khan, lelaki itu yang nama sebenarnya ialah Mohamad Azli Ahmad Said, 40, turut dikehendaki pihak berkuasa Singapura kerana kesalahan berkaitan dadah.

Sabtu lepas, polis menangkap dua lelaki Singapura kerana menggunakan dron untuk menyeludup dadah ke Singapura dari Malaysia.

Menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Biro Narkotik Pusat (CNB), data penerbangan yang diambil daripada telefon seorang suspek menunjukkan dron itu diterbangkan dari Kranji, Singapura ke Johor Bahru sebelum kembali semula ke Kranji.

Susulan maklumat itu, polis Singapura turut menahan seorang wanita berusia 24 tahun dan seorang lelaki berusia 40 tahun untuk siasatan lanjut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Seludup dadah dari Malaysia guna dron, dua lelaki Singapura diberkas

SINGAPURA, 20 JUN: Dua lelaki rakyat Singapura telah diberkas kerana disyaki menggunakan pesawat tanpa pemandu atau dron untuk menyeludup masuk dadah ke republik itu dari Malaysia, demikian menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Biro Narkotik Pusat (CNB).

Data penerbangan yang diambil daripada telefon seorang daripada suspek menunjukkan bahawa dron itu telah terbang dari Kranji ke Johor Bahru dan kembali semula ke Kranji, menurut pihak berkuasa dalam kenyataan bersama di sini hari ini.

Kenyataan itu menyebut bahawa pada 17 Jun kira-kira 5.45 petang, polis mengesan aktiviti luar biasa dron di sekitar Taman Takungan Air Kranji dan menemukan pesawat tanpa pemandu tersebut dengan sebuah beg terpasang padanya, sedang berlegar di udara.

Polis kemudian menahan kedua-dua lelaki, masing-masing berusia 29 dan 34 tahun, yang dipercayai pengendali dron itu.

Pemeriksaan pegawai CNB ke atas sebuah kereta milik suspek membawa kepada penemuan pelbagai jenis ubat terkawal.

Operasi susulan CNB pada hari berikutnya menyaksikan seorang wanita berusia 24 tahun dan seorang lelaki berusia 40 tahun, kedua-duanya rakyat Singapura, telah ditahan berhubung kes itu.

“Siasatan berhubung kes itu sedang berjalan,” kata pihak berkuasa.

Menurut pihak berkuasa, kedua-dua suspek lelaki telah didakwa semalam atas pertuduhan mengedar ubat terkawal Kelas A.

Sejumlah 389 gram dadah jenis syabu, 8 gram heroin, 195 pil ekstasi dan dua pil Erimin-5 yang dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya S$44,000 telah dirampas.

– BERNAMA