Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 700 pegawai, anggota polis jalani kuarantin selepas PRN Sabah

KUANTAN, 2 OKT: Lebih 700 pegawai dan anggota polis kini menjalani kuarantin selepas ‘diterbangkan’ ke Sabah bagi membantu operasi sepanjang pilihan raya negeri (PRN) itu, kata Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Ramli Din.

Beliau berkata daripada jumlah itu, lebih 200 kakitangan ialah dari Semenanjung yang kini ditempatkan di sebuah hotel yang diwartakan sebagai pusat kuarantin oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) manakala bakinya dari Sarawak yang diarahkan menjalani kuarantin di sebuah pusat latihan di negeri tersebut.

“Kita mula menghantar bantuan tenaga ke Sabah secara berperingkat sebelum hari penamaan calon (12 September) dan jumlah pegawai dan anggota yang perlu dihantar semakin meningkat menjelang hari pengundian kerana lebih ramai anggota sedia ada di sana perlu dikuarantin.

“Mereka yang menjalani proses kuarantin kini sedang menunggu keputusan ujian saringan dan belum dibenarkan pulang ke rumah kerana kita tidak mahu mengambil risiko berlaku penularan disebabkan oleh anggota kita yang telah berkhidmat di Sabah,” katanya.

Ramli berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2020 di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini, yang dirasmikan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Turut hadir ialah Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan dan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ramli menjelaskan walaupun jumlah mereka yang perlu menjalani kuarantin agak besar, perkara itu tidak menjejaskan perjalanan atau operasi pihak polis di negeri yang menghantar pegawai atau anggota tersebut.

Ditanya kesediaan polis jika kerajaan mahu melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran peningkatan kes positif Covid-19 selepas PRN Sabah, Ramli berkata mereka tidak mempunyai kesukaran kerana sudah berpengalaman daripada PKP sebelum ini.

Mengulas mengenai Hari Inovasi itu, Ramli berkata untuk tahun ini mereka menerima 35 penyertaan melibatkan ciptaan baharu atau inovasi ke atas kemudahan sedia ada yang dapat membantu memudahkan atau menambah baik pelaksanaan tugas polis.

Sebagai contoh, beliau merujuk kepada inovasi oleh polis Kedah dua tahun lalu, dinamakan ‘ballistic chamber’ yang digunakan pegawai atau anggota untuk mengosongkan senjata api sebelum diserahkan kepada bahagian persenjataan, sekali gus mengurangkan risiko berlaku kemalangan tembakan.

Beliau juga berkata setiap rekaan dan inovasi yang dihasilkan perlu melepasi piawaian SIRIM sebelum boleh dikembangkan untuk kegunaan dalaman polis, selain terdapat beberapa produk yang dihasilkan menerima ‘lamaran’ daripada pihak swasta untuk dimajukan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis giat kekang seludup dadah guna dron

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Polis terus memperhebatkan usaha mengekang penyeludupan dadah yang semakin canggih dan terdesak sehingga menggunakan teknologi dron ketika ini.

Justeru, rangkaian kerjasama dengan pihak berkuasa dari negara jiran, terus diperkasa bagi menggagalkan kegiatan penyeludupan dadah secara moden itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Ramli Din berkata, kerjasama dengan pihak berkuasa dari Singapura, Thailand dan Indonesia sangat diperlukan bagi mengekang apa jua modus operandi baharu yang digunakan mana-mana sindiket bagi membawa masuk bekalan dadah.

“Penggunaan dron dalam penyeludupan dadah adalah modus operandi baharu yang dikesan di Johor. Pihak kami sedang adakan kerjasama erat dengan pihak berkuasa dari negara jiran untuk menyiasat perkara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Jelasnya, kawalan di sempadan negara juga dipertingkatkan bagi mengekang aktiviti penyeludupan dadah bukan sahaja menerusi dron tetapi apa jua cara sekalipun.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis kini memburu seorang lelaki Singapura dikenali sebagai ‘Boy Setan’ yang juga suspek utama bagi kes penyeludupan dadah menggunakan dron ke republik itu, baru-baru ini.

Menurut Ayob Khan, lelaki itu yang nama sebenarnya ialah Mohamad Azli Ahmad Said, 40, turut dikehendaki pihak berkuasa Singapura kerana kesalahan berkaitan dadah.

Sabtu lepas, polis menangkap dua lelaki Singapura kerana menggunakan dron untuk menyeludup dadah ke Singapura dari Malaysia.

Menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Biro Narkotik Pusat (CNB), data penerbangan yang diambil daripada telefon seorang suspek menunjukkan dron itu diterbangkan dari Kranji, Singapura ke Johor Bahru sebelum kembali semula ke Kranji.

Susulan maklumat itu, polis Singapura turut menahan seorang wanita berusia 24 tahun dan seorang lelaki berusia 40 tahun untuk siasatan lanjut.

– BERNAMA