Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Petronas peroleh kebenaran mulakan kes terhadap LHDN

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Petronas dan tiga syarikat lagi memperoleh kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini bagi mencabar tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenakan taksiran cukai tambahan berjumlah RM3.6 bilion antara 2010 dan 2017.

Peguam S. Saravana Kumar memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak LHDN tidak membantah permohonan itu dan bersetuju kebenaran diberikan kepada syarikat berkenaan bagi memulakan permohonan semakan kehakiman melalui deraf perintah persetujuan yang disediakan oleh pihak syarikat.

“Demi menjimatkan masa mahkamah, kesemua pihak telah mencapai jalan penyelesaian dengan responden (LHDN) bersetuju kebenaran diberikan kepada pihak pemohon bagi meneruskan kes,” kata peguam itu.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid kemudiannya merekodkan perintah persetujuan berkenaan. Bagaimanapun, tarikh pendengaran semakan kehakiman belum ditetapkan oleh mahkamah.

Dalam prosiding hari ini, Saravana Kumar mewakili kesemua pemohon iaitu Petronas dan anak syarikatnya Petronas Carigali Sdn Bhd bersama Sapura OMV Upstream (PM) Inc, dan Tembungo Sub Block PSC manakala Timbalan Penguam Cara Hasil Dr Hazlina Hussain mewakili Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri selaku responden.

Pada Julai lalu, Petronas dan anak syarikatnya, Petronas Carigali bersama Sapura OMV dan Tembungo Sub Block PSC memfailkan tiga permohonan semakan kehakiman terhadap LHDN dengan mendakwa tindakan LHDN adalah di luar kuasa, menyalahi undang-undang, tidak sah, kelampauan kuasa dan tidak rasional dalam membuat taksiran cukai tambahan berjumlah RM3.6 bilion.

Petronas mendakwa LHDN melanggar Seksyen 15(1) Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 dan menyalahtafsirkan Seksyen 72(1)(a) akta tersebut, sama seperti menuduh Petronas mengelak cukai.

-BERNAMA