Categories
AGENDA NASIONAL

PNSB pertimbang rayuan, beri masa suku Mah Meri kosongkan tanah

SHAH ALAM, 14 MEI: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) sedia menimbang rayuan Orang Asli suku Mah Meri untuk diberi tempoh masa kepada mereka mengosongkan tanah di Bagan Lalang, Sepang.

Agensi dalam kenyataan berkata pihaknya sudah menerima surat rayuan dari batin Kampung Orang Asli Bukit Bangkong bertarikh 26 April yang memohon lanjutan masa bagi tujuan berkenaan.

“Berdasarkan surat tersebut, PNSB terbuka dengan fasa perundingan yang terus berjalan dan bersedia mempertimbangkan rayuan pelanjutan masa dengan mengambil kira pelbagai aspek semasa.

“PNSB kekal komited dan telus dalam segala urusan. Harus difahami kawasan ini bukanlah penempatan asal suku Mah Meri dan segala keputusan yang akan diambil adalah mengikut tatacara dan lunas undang-undang,” katanya.

Anak syarikat Kerajaan Negeri itu berkata demikian bagi memberi reaksi balas laporan sebuah portal hari ini yang bertajuk ‘Orang Asli Mah Meri diminta kosongkan tanah untuk projek pelancongan’.

Laporan itu menyebut kawasan didiami suku terbabit di Bagan Lalang diarah dikosongkan untuk dijadikan sebahagian destinasi pelancongan masa depan di bawah projek pembangunan Sepang GoldCoast.

PNSB menjelaskan laporan itu adalah tidak tepat kerana Kerajaan Negeri sudah pun menjalankan rundingan dengan pihak yang terlibat melalui tatacara dan undang-undang sedia ada.

Katanya, lawatan tapak secara rambang sering dilakukan pihaknya selain mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Pejabat Daerah/Tanah Sepang pada 27 November 2020 dan 12 April lalu.

“Notis pengosongan tapak yang dikemukakan pada 20 April lalu adalah lebih kepada pemakluman kepada penghuni yang terlibat berkenaan kedudukan binaan mereka yang telah memasuki tanah milik PNSB,” katanya.