Categories
AGENDA NASIONAL

Kanak-kanak 10 tahun maut, abang cedera ditimpa pokok ketika mandi sungai

SHAH ALAM, 26 SEPT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut, manakala abangnya cedera selepas ditimpa pokok ketika mandi di Serendah River dekat Hulu Selangor, petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 2.39 petang namun sebaik tiba di lokasi mangsa sudah dibawa ke Hospital KPJ Rawang.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan manakala abangnya yang berusia 11 tahun cedera ringan dan menerima rawatan lanjut.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke hopital oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu komander operasi bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa Mohd Syuhaizaal Ibrahim ketika dihubungi berkata keluarga mangsa memaklumkan sebelum kejadian mangsa bersama beberapa ahli keluarga mandi di sungai tidak jauh dari lokasi penginapan.

“Namun sebaik hendak naik dari sungai untuk kembali ke tempat penginapan, mangsa dan abangnya ditimpa pokok yang tiba-tiba tumbang,” katanya.