Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sesat cari air terjun, tujuh remaja ditemukan selamat

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Tujuh remaja lelaki yang sesat ketika beriadah di kawasan Jeram Bukit Hitam, Hulu Langat, dekat sini, dipercayai ingin mencari air terjun di kawasan itu, ditemukan selamat awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata kesemua remaja berusia lingkungan 18 tahun itu beriadah di kawasan berkenaan sejak pagi semalam namun disebabkan hari mulai petang dan masih gagal menemukan air terjun mereka mengambil keputusan berpatah balik.

Bagaimanapun, remaja berkenaan gagal menemukan jalan pulang hingga memaksa mereka menghubungi talian kecemasan.

“Bomba menerima panggilan (mereka) 4.15 petang (semalam),” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini dan menambah operasi mencari dan menyelamat dilancarkan sejurus menerima laporan tersebut.

Katanya, operasi bagi mengesan lokasi remaja itu berkumpul agak sukar kerana terpaksa merintis laluan dalam keadaan gelap serta bentuk muka bumi yang berbukit.

“Kesemua remaja itu dapat dihubungi melalui telefon dan ditemukan selamat 1.51 pagi, mereka (kemudian) dibawa keluar dari kawasan itu pada kira-kira 5.59 pagi tadi.

“Kesemua remaja ini tidak mempunyai sebarang kecederaan dan mereka diserahkan kepada pihak polis (dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Norazam berkata operasi mencari remaja berkenaan dilakukan 28 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba Bandar Tun Hussein Onn, Pasukan Pelbagai Kemahiran serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia.

Beliau berkata operasi itu turut disertai Pasukan Bomba Sukarela , Polis Diraja Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah dan pasukan Penyelamat Bencana Malaysia.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

4 sekeluarga sesat daki Bukit Melati ditemui selamat

SEREMBAN, 7 NOV: Empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak lelaki yang sesat kira-kira satu jam ketika mendaki Bukit Melati, di Nilai semalam, berjaya ditemui dalam keadaan selamat.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Raihan Che Mat berkata, empat mangsa terdiri daripada seorang lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemui kira-kira jam 7.40 malam.

“Bomba menerima panggilan kecemasan, pada jam 7.25 malam dan tujuh anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.

“Pasukan penyelamat mendapati kesemua mangsa gagal mencari jalan keluar dan dikhuatiri sesat selepas mendaki bukit berkenaan, namun sejam kemudian mereka ditemui selamat di lokasi ‘check point’ di Cobra Hill dan dibawa turun ke kaki bukit,” katanya lapor BERNAMA.

Raihan berkata, kesemua mangsa dibenarkan pulang selepas disahkan tidak mengalami kecederaan.

Categories
SELANGOR

Ajaran Hizbut Tahrir sesat

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 NOV: Ajaran Hizbut Tahrir difatwakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sebagai ajaran sesat.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid, berkata orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan dilarang dan diharamkan untuk berpegang kepada fahaman serta ajaran itu.

Katanya, Hizbut Tahrir adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

“Mereka mendakwa pemerintah, ahli parlimen dan ulama Islam kafir serta harus diperangi kerana menerima sistem kufur, bahkan negara Islam juga semuanya kafir kerana berhukum dengan sistem kufur selain haram menyertai sistem kerajaan sekarang.

“Hizbut Tahrir juga menafikan istilah “al-Qadha’ wa al-Qadar”, berpegang kepada fahaman Qadariyyah serta menganggap aqidah Siyasiyyah lebih penting daripada aqidah ruhiyyah.

ajaran sesat1“Mereka menolak sumber aqidah melalui hadith Ahad dan mendakwa Nabi dan Rasul tidak maksum sebelum diangkat menjadi Nabi atau Rasul,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mana-mana orang Islam yang berbai’ah atau mengamalkan fahaman dan ajaran itu harus segera bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah SWT.

“Sebarang variasi, versi, bentuk atau cabang ajaran, pegangan atau fahaman baru mempunyai persamaan dengan unsur Hizbut Tahrir adalah bercanggah dengan aqidah ajaran Islam.

“Sebarang publisiti dan sebaran yang menonjolkan Hizbut Tahrir atau yang mempunyai persamaan dengannya dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran dalam mana-mana laman sesawang, blog, facebook, twitter atau media sosial lain adalah diharamkan,” katanya.

Orang Islam yang melakukan perkara terbabit boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di Selangor.

-NFN-