Categories
SELANGOR

Ajaran Hizbut Tahrir sesat

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 NOV: Ajaran Hizbut Tahrir difatwakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sebagai ajaran sesat.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid, berkata orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan dilarang dan diharamkan untuk berpegang kepada fahaman serta ajaran itu.

Katanya, Hizbut Tahrir adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

“Mereka mendakwa pemerintah, ahli parlimen dan ulama Islam kafir serta harus diperangi kerana menerima sistem kufur, bahkan negara Islam juga semuanya kafir kerana berhukum dengan sistem kufur selain haram menyertai sistem kerajaan sekarang.

“Hizbut Tahrir juga menafikan istilah “al-Qadha’ wa al-Qadar”, berpegang kepada fahaman Qadariyyah serta menganggap aqidah Siyasiyyah lebih penting daripada aqidah ruhiyyah.

ajaran sesat1“Mereka menolak sumber aqidah melalui hadith Ahad dan mendakwa Nabi dan Rasul tidak maksum sebelum diangkat menjadi Nabi atau Rasul,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mana-mana orang Islam yang berbai’ah atau mengamalkan fahaman dan ajaran itu harus segera bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah SWT.

“Sebarang variasi, versi, bentuk atau cabang ajaran, pegangan atau fahaman baru mempunyai persamaan dengan unsur Hizbut Tahrir adalah bercanggah dengan aqidah ajaran Islam.

“Sebarang publisiti dan sebaran yang menonjolkan Hizbut Tahrir atau yang mempunyai persamaan dengannya dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran dalam mana-mana laman sesawang, blog, facebook, twitter atau media sosial lain adalah diharamkan,” katanya.

Orang Islam yang melakukan perkara terbabit boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di Selangor.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.