Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais kecualikan sewa premis, diskaun 50 peratus susulan pandemik

SHAH ALAM, 22 NOV: Seramai 107 penyewa premis dan tanah milik Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menerima pengecualian serta diskaun sewa sebanyak RM1.12 juta.

Bantuan khusus buat penyewa terkesan Covid-19 melibatkan peniaga runcit serta industri kecil dan sederhana antara Januari hingga Ogos lalu, kata setiausaha Mais.

“Mais berharap usaha ini meringankan beban peniaga yang terjejas pendapatan akibat perintah kawalan pergerakan dan penularan wabak,” kata Dr Ahmad Shahir Makhtar dalam kenyataan.

Beliau berkata pengecualian sewa turut diberikan kepada individu berpendapatan rendah, dibuang kerja dan hilang punca pendapatan sepanjang tempoh pandemik.

Manakala pengurangan sewa antara 30 hingga 50 peratus diberikan kepada penyewa terpilih.

Antara Januari hingga Oktober lalu, Mais mengagihkan bantuan fidyah sebanyak RM5.17 juta kepada mereka yang memerlukan membabitkan 32,618 penerima.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Diskaun 40 peratus sewa tapak antara usaha MPKS ringan beban penjaja

SHAH ALAM, 5 SEPT: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menyediakan pelbagai inisiatif bagi meringankan beban peniaga yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kemudahan meliputi diskaun 40 peratus bayaran sewa tapak penjaja dengan syarat tiada tunggakan selain pengurangan 25 peratus caj sewa tapak pasar pagi dan malam sehingga akhir tahun ini.

Yang Dipertuanya Rahilah Rahmat berkata bayaran ansuran sebanyak dua kali bagi permit parkir turut diberikan kepada pengusaha bengkel, kedai aksesori dan cuci kenderaan.

“MPKS juga memberi pengecualian sewa bagi premis yang tidak dibenarkan beroperasi dan diskaun 30 peratus pengurangan kadar sewa bagi perniagaan makanan dan kilang memproses makanan.

“Selain itu, pengecualian denda lewat turut diberikan kepada semua penyewa premis,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah MPKS menyediakan premis dan ruang niaga yang masih kosong untuk disewakan kepada penjaja kecil termasuk memudahkan kaedah tawaran sewaan.

“Bagaimanapun, setiap permohonan masih perlu melalui proses dan syarat yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Rahilah berkata sebanyak 1,500 bakul makanan diagih kepada penduduk terkesan meliputi kawasan strata dan taman perumahan setakat Ogos.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais kecualikan sewa April bantu penyewa, peniaga

SHAH ALAM, 20 MEI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengecualikan bayaran sewa bagi April untuk penyewa premis atau tanah milik agensi itu yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19, kata setiausahanya.

Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata inisiatif itu seiring dengan tindakan Kerajaan Negeri bagi membantu golongan berkaitan terdiri daripada peniaga runcit atau industri kecil dan sederhana (IKS).

“Sebanyak 134 individu atau syarikat terlibat dan dikenal pasti dengan pengecualian sewaan bagi April lalu dengan jumlah keseluruhan hampir RM518,248.50,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Mais berharap dengan pengecualian sewaan dapat meringankan beban mereka terutama kepada peniaga IKS yang terjejas hasil pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.