Categories
SELANGOR

Teruja terima bantuan, ringan beban sambut Aidiladha

OLEH SYASYA SUFIAN

GOMBAK, 7 SEPT: Ketibaan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi membawa keceriaan kepada penerima sumbangan yang disampaikan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Datin Seri Shamshida Taharin di sekitar Gombak, hari ini.

Ibu tunggal, Norlaili Jamaluddin, 47, berkata beliau bersyukur dan teruja bertemu isteri Dato’ Menteri Besar itu yang menyampaikan sendiri sumbangan tersebut.

“Alhamdulillah, pemberian ini cukup besar maknanya kepada golongan asnaf seperti saya dalam meringankan beban menyambut hari raya nanti.

IMG_2378“Dapatlah saya beli barang keperluan dapur untuk memasak makanan yang sedap berbanding hari biasa kerana adakala makan biskut sahaja,” katanya.

Sementara itu, Halim Saad, 47, turut bersyukur menerima sumbangan itu kerana dapat membantu beliau dan isteri membuat persiapan menyambut Aidiladha.

“Setiap bulan kami turut menerima bantuan rumah sewa daripada Lembaga Zakat Selangor sebanyak RM600.

“Namun kerana saya mempunyai tanggungan 10 anak, maka agak memerlukan perbelanjaan yang lebih,” katanya.

Suri rumah, Nur Haslina Zulkiply, 33, berkata beliau berterima kasih kepada penyumbang kerana pemberian berkenaan dapat meringankan beban kewangan golongan asnaf sepertinya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

5 hospital perintis Program Lawatan Medik

Oleh: AFEEQA AFEERA

SERDANG, 10 NOV : Lima hospital dijadikan perintis dalam Program Lawatan Medik anjuran Kerajaan Negeri bagi memberi peluang pemimpin turun padang memantau kebajikan rakyat secara dekat.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata lima hospital  itu ialah Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Ampuan Rahimah,Klang dan Hospital Tanjung Karang.

serdang6Beliau berkata antara agenda menjadi tumpuan adalah Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) yang mengkhususkan kepada golongan wanita teraniaya mendapatkan rawatan serta khidmat kaunseling di hospital.

“Disamping memberikan sumbangan peralatan untuk program OSCC, kita juga ingin melawat golongan wanita dan kanak-kanak bagi mendekati serta berkenalan dengan mereka serta mendapat maklum balas daripada pihak hospital mengenai program Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk memberikan sokongan sekiranya terdapat perkara yang ingin dibangkitkan sama ada di peringkat negeri dan pusat, malah kita sedia bekerjasama jika ada keperluan,” katanya semasa mengadakan lawatan di Hospital Serdang, hari ini.

Turut serta dalam lawatan itu adalah isteri Dato’ Menteri Besar Selangor, Shamshida Taharin.

Dalam lawatan itu, Shamshida dan Daroyah meluangkan masa lebih sejam melawat wad wanita dan pediatrik untuk menyerahkan bantuan berupa wang ringgit dan hamper sumbangan Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Daroyah yang juga Adun Sementa turut meminta rakyat supaya mengambil peluang untuk menyertai program kebajikan yang disediakan Kerajaan Selangor antaranya Skim Bantuan Kesihatan dan Skim Kesihatan Wanita.

Katanya melalui program itu rakyat yang tidak berkemampuan berpeluang menerima rawatan kesihatan secara percuma di hospital kerajaan dengan nilai perubatan di bawah RM5,000.

“Pembedahan kecil di bawah nilai RM5,000 bagi yang tidak berkemampuan boleh mendapatkan bantuan Kerajaan Negeri melalui permohonan di pejabat Adun atau rujuk kepada pihak korporat di hospital,” katanya lagi.

EZY