Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

SIE 2018 expo terbesar, tarik penyertaan dari seluruh dunia

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Expo Antarabangsa Selangor (SIE) 2018 dilangsungkan dari 6 September hingga 9 September, berjaya menarik penyertaan lebih ramai peserta dan pemain industri dari seluruh dunia.

Exco Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, expo memasuki tahun keempat itu juga diyakini menjadi expo terbesar pernah dianjurkan Kerajaan Negeri di negara ini.

“SIE 2018 adalah expo terbaik pernah diadakan berbanding expo sebelumnya kerana diadakan di tempat lebih baik dan besar untuk peserta dan pempamer iaitu dengan keluasan tapak expo 11,000 meter persegi berbanding 6,000 meter persegi tahun lalu.

“Kita juga yakin mampu mencapai sasaran penyertaan 25,000 pelawat dan peserta dengan nilai transaksi RM250 juta dalam expo kali ini,” katanya kepada media selepas majlis perasmian penutup Expo Antarabangsa Selangor di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, semalam.

SIE 2018 adalah salah satu acara dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2018 bermula pada 6 hingga 16 September ini.

Dua lagi acara ialah Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor 2018 dari 6 dan 7 September serta Konvensyen Ekonomi Digital & Bandar Pintar Selangor (13 hingga 15 September).

Mengulas lanjut, beliau berkata, acara tahun ini menyaksikan penyertaan lebih banyak pihak dari seluruh dunia termasuk empat negara dari benua Afrika, beberapa negara Eropah serta tiga negara ASEAN baharu iaitu Laos, Vietnam dan Filipina bersama Indonesia dan Thailand.

Katanya, Kerajaan Negeri menaruh harapan Expo Antarabangsa Selangor akan menjadi landasan penting dan berperanan sebagai penghubung kepada pelabur dan usahawan dari serata dunia bagi menjalin hubungan serta mengembangkan perniagaan.

“Saya percaya ia adalah expo terbesar pernah diadakan di negara ini yang menjadi landasan kepada usaha menarik pelaburan dan mengembangkan perniagaan khususnya di rantau ASEAN.

“Kita berharap ia akan lebih berjaya dengan penyertaan lebih besar pada tahun depan bukan setakat dari segi jumlah penyertaan negara tetapi juga syarikat,” katanya.

Beliau berkata, SIE 2018 dianjurkan Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) tidak bertujuan bagi mengaut keuntungan tetapi dengan objektif menjadi landasan dan penghubung kepada negara ASEAN bersama dunia antarabangsa.

Categories
EKONOMI SELANGOR

SIE 2018: 85 peratus booth terjual

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 JUN: Selangor International Expo 2018 (SIE) terus mendapat sambutan yang menggalakkan dari syarikat tempatan dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Dato’ Hasan Azhari berkata, sebanyak 85 peratus daripada booth ditawarkan SIE sudah terjual.

Katanya, ia membabitkan penyertaan dari negara Sweden, Vietnam dan Indonesia.

“Kita masih mempunyai 15 peratus kekosongan lagi dan kita menjangkakan jumlah ini akan bertambah dari masa ke semasa.

“Setakat ini, penyertaan menggalakkan daripada dalam dan luar negara, sebanyak 85 peratus sudah dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Prapelancaran Selangor Industrial Ride 2.0, di Ibu Pejabat INVEST, di sini.

SIE 2018 merupakan salah satu daripada tiga majlis besar yang bakal berlangsung di Selangor International Business Summit 2018 bermula 6 hingga 16 September depan.

Persidangan itu akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), Kuala Lumpur.

Ia merangkumi tiga program utama iaitu Selangor International Expo, Selangor-ASEAN Business Conference 2018 dan Selangor Digital Economy Convention (sebelum ini dikenali sebagai Smart City International Convention).

=EZY=