KUALA LUMPUR, 7 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan mengeluarkan amaran kepada rakyat Malaysia berhubung satu sindiket penculikan yang menyasarkan kanak-kanak berumur di bawah 15 tahun bagi mendapatkan organ tertentu untuk dijual.
Supt Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Supt A. Skandaguru berkata hasil semakan mendapati mesej yang tular di media sosial itu mendakwa sindiket terlibat menggunakan kereta Proton Wira dan sebuah van putih bagi menjalankan aktiviti dan telah tular sejak 2016 sebelum kembali diulang siar.
“PDRM mengesahkan tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan kes penculikan dan pernjualan organ manusia seperti yang didakwa…Tiada sebarang amaran sedemikian pernah dikeluarkan oleh pihak Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, PDRM juga menafikan pernah mengeluarkan amaran menerusi ‘Gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Bukit Aman’ seperti didakwa oleh sindiket yang turut menyenaraikan harga organ manusia seperti jantung, hati, paru-paru, buah pinggang serta mata dalam mesej yang ditularkan itu.
Sementara itu, A. Skandaguru menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai berita-berita yang tidak berasas serta tidak sahih selain mengelak berkongsi atau menyebar berita palsu kerana ia boleh menimbulkan kegusaran awam.
-BERNAMA