Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Prestasi MARRIS era BN lebih mengecewakan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 JULAI: Sejumlah RM268.1 juta peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) berjaya disalurkan kepada agensi pelaksana bagi kerja yang sudah dilantik kontraktor, setakat 31 Julai lalu.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, ia bersamaan 44.7 peratus dari siling tahun semasa MARRIS berjumlah RM600 juta, bagi tahun 2017.

Katanya, pencapaian ini dijangka terus meningkat memandangkan terdapat tuntutan RM198 juta yang sedang dalam proses dan semakan akhir di peringkat Perbendaharaan Negeri sebelum peruntukan disalurkan.

TURAP JALAN“Dengan mengambil kira data ini, komitmen perbelanjaan MARRIS Kerajaan Negeri setakat 31 Julai 2017 adalah berjumlah RM 466.1 juta atau 76.4 pertus.

“Jika diteliti, rekod ini juga adalah jauh lebih baik berbanding prestasi perbelanjaan MARRIS pada 2006 dan 2007 sewaktu di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya dalam kenyataan.

Zaidy berkata, Selangor menerima pemberian MARRIS berjumlah RM174.1 juta dan RM252.6 juta, masing-masing pada 2006 dan 2007, sewaktu zaman BN.

Katanya, perbelanjaan direkodkan pada tahun berkenaan adalah berjumlah RM27.5 juta (15.8 peratus) pada 2006 dan RM 139.04 juta (55 peratus) pada 2007.

“Rekod dan statistik menunjukkan Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan sudah merancang dan melaksanakan gerak kerja penyelenggaraan Jalan Negeri dengan amat baik dan kesemua proses adalah mematuhi tatacara perolehan dan kewangan semasa.

“Rekod perbelanjaan juga dilaporkan kepada Kementerian Kewangan (MOF) pada setiap bulan dan selanjutnya dipantau Jawatankuasa Pengurusan Pemberian (JPP) MARRIS juga di peringkat MOF,” katanya.

Pada 29 Julai lalu, Ahmad Zahid mendakwa Kerajaan Negeri tidak menambah baik kemudahan jalan negeri di bawah MARRIS selepas menerima peruntukan lebih RM200 juta daripada Putrajaya.