SHAH ALAM, 28 JAN: Kerajaan Selangor sedang membangunkan sistem memantau penggunaan tanah diusahakan petani bagi mengelakkan masalah lambakan hasil pertanian.
EXCO pertanian berkata langkah itu membolehkan pihaknya mengenal pasti jenis tanaman yang kurang diberi perhatian seterusnya memberi cadangan kepada petani untuk mengusahakan.
“Contohnya cili. Kita nak pantau di mana ditanam supaya tahu keperluan banyak mana. Jika penanamannya kurang, kita boleh galakkan petani tanam.
“Bila tak ada maklumat, semua akan tanam cili menyebabkan harga jatuh…belum lagi ambil kira lambakan dari negeri lain. Jadi ini cabaran kita kerana tak ada data rangkaian lengkap dalam satu-satu masa,” kata Ir Izham Hashim dalam rancangan Apa Khabar Selangor? disiarkan secara langsung di Facebook Parti Amanah Negara Selangor.
Menurutnya, Kerajaan Selangor turut berusaha mengetengahkan kaedah tanaman moden seperti fertigasi yang digabungkan dengan teknologi ketika ini.
“Ini merupakan gandingan yang cantik, boleh dapat hasil berkualiti. Teknologi canggih bolehkan petani memantau tanaman mereka melalui aplikasi sahaja.
“Ramai anak muda menceburi bidang ini cuma mereka memerlukan bantuan dari segi modal untuk memulakannya,” katanya.