Categories
NASIONAL

Srikandi : Puteri Umno Tak Tahu Bezakan Antara Kritikan dan Fitnah

SHAH ALAM, 24 JAN : “Kalau itu peranan yang dimainkan oleh Ketua Puteri Umno, saya menganggap ia sebagai satu sikap mencari populariti murahan,” itulah reaksi Ketua Srikandi PKR, Siti Aisyah Shaik Ismail ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Siti Aisyah memberi respon berhubung kenyataan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang mempersoalkan tindakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah RM50 juta terhadap akhbar Utusan Malaysia yang menyiaran artikel bertajuk “Tolak Anwar – Hassan”.

Beliau juga menempelak Timbalan Menteri Kesihatan itu yang secara jelasnya tidak dapat membezakan di antara kritikan dan tohmahan fitnah.

“Saya sudah beberapa kali tegaskan bahawa sebagai seorang Timbalan Menteri, seorang pemimpin muda, dia harus kembali kepada politik nilai. Jangan terlalu banyak bicara soal pemimpin pembangkang terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sehinggakan jelas hari ini dia sendiri tidak dapat membezakan di antara kritik dan tohmahan fitnah,” ujarnya.

Siti Aisyah berkata, artikel Utusan Malaysia itu yang disiarkan pada 17 Januari lalu adalah nyata sebagai fitnah terhadap Anwar dan bukan kritik sepertimana pernah disuarakan Datuk S Nalakaruppan dan beberapa individu lain termasuk pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.

Dalam kenyataan media semalam, Rosnah ketika mengulas tindakan Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Utusan Malaysia, turut mencabarnya menyaman Nalakaruppan, Raja Petra, Ummi Hafilda Ali dan Datuk Shazryl Eskay kerana mereka kerap mengkritik secara terbuka kredibiliti Ketua Pembangkang itu.

“Tetapi apa yang disuarakan Raja Petra, Ummi Hafilda itu hanya orang kata kritis-kritis ringan iaitu orang-orang yang takut dengan aura dan juga kehebatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.” katanya.

Mengulas lanjut, tegasnya, perlu juga memperkatakan isu lain termasuk melibatkan pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) yang terlibat dengan soal penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Sebagai seorang Ketua Puteri Umno, dia harus bicara soal penyelewengan yang dibuat oleh pemimpin Umno dan juga bicara soal bagaimana pemimpin mereka memanipulasi ekonomi rakyat,” katanya.