Categories
SELANGOR

Kerjasama majikan sedia peluang pekerjaan untuk asnaf

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAJANG, 13 JAN: Pihak industri khususnya majikan disaran tampil bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada anak asnaf, di negeri ini.

Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf LSZ, Dr Adibah Abdul Wahab berkata, langkah itu disifatkan wajar kerana turut memberi peluang kepada semua pihak untuk bersama meringkankan beban keluarga golongan terbabit.

“Strategi kami adalah untuk menjalin kerjasama dengan semua pihak yang boleh menyediakan pelbagai bidang kemahiran bukan sahaja kepada golongan asnaf, tetapi masyarakat lain yang memerlukan.

“Pendekatan ini secara tidak langsung membantu asnaf daripada terus dihimput belenggu kemiskinan, seterusnya berupaya membangunkan tahap ekonomi mahupun sosial keluarga apabila bekerja kelak.

“Selain menyediakan peluang pekerjaan, pembabitan semua pihak ini turut membolehkan golongan asnaf ‘sustain’ dalam setiap pekerjaan yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Program Latih & Kerja Belia Selangor anjuran Skills Johor, di German-Malaysian Institute (GMI), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Skills Johor, Zakbah Harun dan Ketua Seksyen Pembangunan Perniagaan GMI, Mohd Tanwyn Mohd Khushairi.

Terdahulu, program yang mendapat penajaaan sepenuhnya daripada LZS itu membabitkan penyertaan seramai 31 pelatih lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terdiri daripada golongan asnaf fakir, dari seluruh Selangor.

Sepanjang tujuh hari program berlangsung, pelatih didedahkan dengan beberapa modul latihan seperti ilmu peruncitan dan perkhidmatan, membuat resume, pembangunan jati diri dan strategi pengurusan kewangan.

Dr Adibah berkata, kesemua pelatih berkenaan juga berjaya menerima tawaran pekerjaan daripada beberapa rakan syarikat termasuk Family Mart, Jaya Grocer dan Golden Screen Cinema (GSC).

“Dalam masa terdekat mereka akan mula bekerja kerana sudah melepasi proses temuduga, malahan majikan yang mendapatkan pekerjaan kepada mereka turut memberikan respon positif semasa menjalani temuduga.

“Mereka datang dengan persediaan penuh rapi terutama daripada segi pengetahuan, kemahiran, pakaian dan komunikasi,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

31 peserta tamat program Latih & Kerja Belia Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAJANG, 13 JAN: Seramai 31 pelatih terdiri daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya menamatkan program Latih & Kerja Belia Selangor anjuran Skills Johor, di German-Malaysian Institute (GMI) di sini, hari ini.

Program julung kali yang turut mendapat kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu berlangsung selama seminggu, bermula 7 Januari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Skills Johor, Zakbah Harun berkata, program itu adalah sebahagian daripada inisiatif pihaknya ke arah memperkasa belia Selangor, sekali gus membantu meningkatkan kebolehpasaran mereka.

“Hal ini kerana, pada masa yang akan datang, Malaysia tidak perlu lagi mengambil terlalu ramai pekerja asing, bahkan tenaga kerja tempatan pula yang diperlukan di negara asing.

“Selaras dengan agenda kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara termaju di dunia, program ini juga bagi mencapai hasrat kadar sifar kemiskinan di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan program itu.

Hadir sama, Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf LSZ, Dr Adibah Abdul Wahab dan Ketua Seksyen Pembangunan Perniagaan GMI, Mohd Tanwyn Mohd Khushairi.

Terdahulu, program menampilkan pelawak atau selebriti tempatan, Abam Bocey yang turut meluangkan masa berkongsi pengalaman dan kisah keperitan yang terpaksa direntas sebelum beliau menongkah kejayaan dalam perjalanan karier seni.

Zakbah berkata, belia masa kini perlu memiliki kesedaran dan keinginan, selain menanam tekad serta azam tinggi untuk meningkatkan lagi taraf kehidupan mereka ke arah lebih baik.

Justeru, katanya, beberapa aspek ditekankan sepanjang program itu seperti kepentingan pengetahuan, kemahiran dan tanggungjawab dalam diri pelatih.

“Ketiga-tiga elemen ini adalah dorongan utama yang boleh membantu pelatih mencapai impian masing-masing kerana tiada cita-cita yang mustahil dan tiada impian yang boleh dikecapi. Bak kata pepatah, Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

“Begitu juga masa hadapan yang cerah tidak mungkin dapat direalisasikan dalam masa yang singkat dan saya berharap, semangat dirasai pelatih akan sentiasa membakar mereka untuk terus berusaha dengan gigih demi kesenangan masa hadapan,” katanya.

Skills Johor adalah hab kemahiran pertama, di Malaysia yang banyak menyumbang kepada latihan, pengajian teknikal dan vokasional berteraskan keperluan industri.

Bertindak selaku pemangkin modal insan, institusi yang turut beroperasi di Petaling Jaya itu pernah dianugerahkan status sebagai Pentadbir Induk oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Pembangunan Sumber Manusia.