Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dewan Rakyat luluskan pindaan Akta KWSP

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2019 yang membenarkan pemindahan sebahagian caruman KWSP suami secara sukarela kepada akaun KWSP isteri atau isteri-isterinya.

Pindaan itu antara lain memperuntukkan kadar caruman yang akan dipindahkan ialah sebanyak dua peratus daripada caruman ahli KWSP yang memilih untuk memindahkan carumannya kepada isteri atau isteri-isterinya.

Ini adalah langkah kerajaan untuk melaksanakan fasa ketiga Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 8 Ogos tahun lepas.

Insentif i-Suri diumum pada perbentangan Belanjawan 2020 sejajar dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan iaitu caruman KWSP untuk suri rumah.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, berkata pemindahan caruman dua peratus daripada 11 peratus KWSP suami kepada akaun isteri adalah secara sukarela.

Amiruddin menjelaskan pemindahan wang caruman ini hanya akan dihentikan apabila berlaku kematian atau penceraian dengan syarat ia dimaklumkan kepada pihak KWSP.

Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2019 antara lain juga bertujuan mengemas kini peruntukan bagi menghalang majikan yang tidak membayar caruman daripada meninggalkan negara tanpa perintah mahkamah serta membenarkan ahli yang telah mencapai 55 tahun untuk membuat pengeluaran hilang upaya atau pengeluaran meninggalkan negara.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KWSP kredit RM9.51 juta insentif kerajaan ke dalam akaun skim I-Suri

KUALA LUMPUR, 5 APR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengkreditkan sejumlah RM9.51 juta yang diluluskan kerajaan ke dalam akaun anggota Caruman Sukarela i-Suri bagi tahun 2018.

Dalam satu kenyataan hari ini, KWSP berkata, jumlah tersebut merujuk kepada insentif RM40 sebulan yang dikreditkan kepada 49,857 pemegang akaun i-Suri yang telah membuat sumbangan minimum sebanyak RM5 setiap bulan.

“Anggota i-Suri boleh menyemak akaun mereka dalam talian melalui kiosk KWSP atau di mana-mana kaunter KWSP di seluruh negara mulai hari ini,” katanya.

Sebagai tambahan kepada insentif RM40 kerajaan itu, anggota i-Suri juga layak menikmati faedah yang sama seperti ahli KWSP, seperti dividen tahunan ke atas simpanan persaraan mereka, pengeluaran simpanan KWSP, faedah hilang upaya dan manfaat kematian.

Dana pencen ini juga menggalakkan lebih ramai suri rumah atau wanita yang menjadi ketua isi rumah dan tersenarai dalam sistem pangkalan data keluarga miskin (eKasih) untuk mendaftar i-Suri.

“Anggota KWSP boleh menyumbang sekurang-kurangnya RM5 setiap bulan ke dalam akaun simpanan persaraan untuk melayakkan mereka menerima insentif kerajaan sebanyak RM40 sebulan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA